"Argh! Sakitnya." Aidil memegang kepalanya. Ada benjolan yang timbul di dahinya. Nasib baik hanya satu. Jika dua, mungkin akan ada yang menyamakan dia dengan Hellboy. Cahaya Sang Mentari sudah mula bersinar di ufuk timur menandakan sudah menjelang fajar.
Aidil mendongak. Dia jatuh dari tempat yang amat tinggi. Satu keajaiban dia masih hidup. Juga terbit satu harapan bahawa Nalisa dan Hafizah masih hidup. Dia gagahkan otot biseps femoris-nya untuk berdiri. Lengan ditongkat pada tanah. Tubuh dan kudrat digagahinya.
Perlahan-lahan Aidil berjalan di sekitar kawasan itu. Langsung tiada kesan mayat atau darah. Kini dia yakin bahawa mereka berdua masih hidup. Cuma di mana harus dia mencari mereka? Hutan ini terlalu luas.
Aidil terus berjalan meredah hutan tanpa arah tuju dengan harapan jalinan persahabatan mereka akan mempertemukan mereka. Harap jalinan itu masih kuat.
*****
Hafizah menggosok matanya yang masih bergantungan dengan syaitan yang menggodanya meneruskan tidurnya.
"Awak dah bangun," sapa Ezam.
Mendengar suara buah hatinya, hilang segala rasa kantuk serta bertempiaran lari segala syaitan yang cuba menggodanya. Ternyata godaan Ezam lebih mengancam. Hafizah memeluk Ezam dari belakang. "Dah. Saya dah bangun."
"Pakai baju awak dan kita akan pulang. Ibu saya pasti risau sebab kita tak balik semalam," kata Ezam.
Hafizah bingung seketika. Kemudian baru dia sedar akan keadaannya yang telanjang bulat memeluk Ezam. Dia menjauhkan diri dari Ezam. Segera diambil segala pakaiannya lalu dipakai.
"Apa yang awak buat dengan saya?" marah Hafizah disertai juga dengan perasaan malu. Mukanya merah menahan malu. Tak sangka dia memeluk Ezam dalam keadaan bogel. Jatuh maruahnya.
"Maaf. Saya jemur baju awak supaya awak tak kesejukan. Saya bimbang awak akan sakit," balas Ezam dalam nada suara perlahan. Dia terbatuk.
"Hmm, awak tak apa-apa?" Hafizah bimbang melihat keadaan Ezam yang kelihatan tidak bermaya.
"Kita kena balik cepat. Tempat ni tak selamat."
"Apa yang berlaku semalam?"
Dahi Ezam berkerut. Dia berjalan terus. Hafizah menghalang. Pergelangan tangan Ezam digenggam kemas. Ezam kelihatan gelisah.
"Apa yang berlaku semalam?" ulang Hafizah.
Ezam mengunci mulutnya. Peluh mula mengalir di pelipisnya.
"Beritahu saya, Ezam. Awak tak perlu sembunyikan apa-apa dengan saya. Kita kongsi segala-galanya. Saya akan sentiasa berada di samping awak."
Ezam berkeras. "Kita perlu balik."
Genggaman Hafizah dileraikan. Hafizah berasa kecewa dengan Ezam. Ezam pula berasa bersalah tetapi egonya bermaharajalela.
Mereka berdua langsung tidak bertegur sapa sepanjang perjalanan pulang.
*****
Aidil terjumpa sebuah rumah di dalam hutan. Dia mengetuk dan memberi salam. Langsung tiada jawapan. Disangkanya rumah itu tidak berpenghuni. Mungkin itu rumah lama yang telah ditinggalkan. Dia membuka pintu. Pantas bau hanyir darah menangkap deria hidunya.
Aidil segera mencari punca bau itu. Dia mendapati bau itu datang dari sebuah bilik. Dia masuk ke dalamnya dan mendapati mayat seorang wanita tua terbaring kaku di atas katil. Kesan darah masih baru. Hanya beberapa jam. Aidil memeriksa mayat tersebut.
Ada kesan tikaman pada mayat tersebut. Sebilah pisau ditemui berhampiran katil tersebut. Ada kesan darah. Tidak salaah lagi, pisau itu adalah senjata pembunuhan. Tetapi mengapa wanita ini dibunuh? Aidil tertanya-tanya.
Nalurinya sebagai seorang anggota polis masih kuat. Masih ada naluri untuk menegakkan keadilan.
"Ibu!" Satu jeritan kedengaran.
Aidil menoleh. Ezam. Dan... Hafizah.
Ezam segera mendekati ibunya. "Ibu! Apa yang berlaku?!"
Dia mula menangis.
"Aku tak sangka kau berada di sini, Hafizah. Aku sedang mencari kau," kata Aidil kepada Hafizah.
"Ezam selamatkan aku," balas Hafizah. "Tapi aku tak tahu di mana Nalisa dan Fahmi," tambahnya.
"Fahmi sedang dirawat di hospital. Kita perlu cari Nalisa dan segera keluar dari hutan ni.
"Kau tak akan ke mana-mana," kata Ezam dengan nada suara yang menggerunkan.
Aidil menoleh ke arah Ezam.
"Inspektor Aidil, kau dah bunuh ibu." Ezam mencekik Aidil.
"Aku... aku tak bunuh ibu kau."
"Pisau tu buktinya. Pisau tu ada di tangan kau. Tangan kau penuh dengan darah. Aku tak akan lepaskan kau. Aku akan bunh kau."
"Ezam, berhenti," desak Hafizah.
Aidil menendang perut Ezam. Ezam terpelanting ke dinding.
"Berhenti Ezam. Aku tak bunuh ibu kau." Aidil cuba meyakinkan Ezam. Pisau pada tangannya dicampak ke lantai.
Ezam langsung tidak mempedulikan kata-kata Aidil. Dia menerkam Aidil. Mereka tercampak ke dinding. Dinding tersebut runtuh lalu mereka tercampak ke luar rumah.
Hafizah mula menangis. "Ezam, berhenti." Dia tahu desakannya tak akan didengari Ezam. Emosi Ezam agak kurang stabil hari ini.
Aidil dan Ezam terus-menerus bergelut. Mereka berbalas-balas tumbukan. Dengan kemahiran yang dimilikinya, Aidil menjatuhkan Ezam ke lantai lalu mengunci pergerakannya.
"Lepaskan aku! Lepaskan!" marah Ezam. "Aku nak bunuh kau."
"Dengar apa yang aku cakap. Aku tak bunuh ibu kau. Semasa aku sampai, dia sudah tak bernyawa," kata Aidil dengan tenang. Dadanya turun naik kepenatan.
"Tipu. Aku akan bunuh kau."
"Kau bukan pembunuh, Ezam."
"Aku akan bunuh kau dan makan kau macam aku buat sebelum ni di kawasan hotel. Aku nak makan daging manusia."
"Kau... kau bunuh Khairul." Aidil terkejut. Perasaannya bercampur baur.
YOU ARE READING
Kanibal
Mystery / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.