Ezam sedut asap tembakau. Hembus. Sedut. Hembus. Sedut lagi. Hembus lagi. Dia tiada mood untuk buat apa-apa melainkan hisap tembakau sepanjang hari melainkan dia mati sebelum hari ini tamat disebabkan asap tembakau yang telah mengotori paru-parunya. Fikirannya kusut. Hatinya tidak tenteram. Dia rasa seperti dirinya berada dalam bahaya. Semoga tembakau yang dihisapnya mampu menghilangkan kekusutan tersebut.
Ezam berasa telinganya dijentik. Dia menoleh dan mendapati perempuan yang dijumpainya dalam hutan semalam sedang memerhatikannya seperti hendak menjadikannya sebagai makanan tengah hari. Ezam sedikit tersentak. Dia membetulkan posisinya duduk.
"Eh, awak dah bangun! Awak ni buat saya terkejut. Muka awak macam nak makan saya."
"Awak jangan buat-buat terkejut. Nasib baik saya bangun. Asap ni dah jadi macam kabus dalam rumah ni. Kalau saya tak bangun, dah lama saya mati sebab banyak sangat sedut asap ni. Sekarang tepi sikit. Saya nak dapatkan udara segar," kata Hafizah selamba sebelum keluar dari rumah tersebut untuk mendapatkan udara segar. Dia berpusing-pusing.
Ezam hanya memerhatikan gelagat perempuan bandar itu. Sungguh aneh dan melucukan. Gadis itu adalah gadis paling cantik yang pernah dilihatnya. Ketika dia sedang bersiar-siar di kaki Gunung Kinabalu semalam, gadis itu jatuh menghempap tubuhnya. Dia cuba mengejut gadis itu tetapi gadis itu telah pengsan. Mungkin kesan daripada perasaan takut akibat jatuh dari tempat yang tinggi. Mula-mula dia bercadang untuk tinggalkan gadis itu di situ tetapi apabila melihat wajahnya, Ezam mula terpikat. Gadis itu muncul seperti bidadari yang jatuh dari syurga.
Dia kemudiannya membuat keputusan untuk memikul 'bidadari'nya pulang ke rumah. Walaupun tidak mempunyai sayap seperti yang pernah ditontonnya dalam filem-filem barat, gadis itu tetap dianggapnya seperti bidadari yang menjadi anugerah buat dirinya.
Ezam memadamkan puntung rokok tembakaunya dan mencampakkannya ke tanah. Dia menggaru kepala memikirkan cara terbaik untuk memulakan perbualan. "Urm, nama saya Ezam. Awak?" Dia tersengih menampakkan barisan giginya.
"Hafizah," jawab Hafizah memperkenalkan dirinya. "By the way, tadi awak kata muka saya macam nak makan awak tapi saya rasa muka awak macam nak makan saya. Tambahan pula, dengan gigi awak yang terabur macam ikan jerung tu. Creepy," komen Hafizah.
Ezam selamba. Dia menganggap kata-kata itu adalah pujian untuk dirinya. Dia terus memerhatikan gelagat Hafizah seperti ada bidadari yang sedang menari di hadapannya.
"Macamana saya boleh ada di sini?" soal Hafizah. Sudah lama dia hendak bertanya tentang hal itu tetapi dia rasa semuanya akan jadi klise sekiranya dia bangun dan terus menanyakan soalan itu. Oleh itu, dia cuba memanjangkan cerita dengan beramah mesra lelaki yang mencuri hatinya itu.
Ezam menceritakan segala-galanya. Hafizah bersyukur kerana dia selamat. Tetapi dia bimbang akan Nalisa. Fahmi seorang lelaki, dia pasti boleh menjaga dirinya. Sangkaannya betul. Idea untuk terjun itu memang bukan jalan penyelesaian yang baik.
"Terima kasih sebab selamatkan saya," ujar Hafizah walaupun dia masih sangsi dengan Ezam. Adakah Ezam ada buat perkara yang tidak baik kepadanya ketika dia pengsan? Mungkin tidak. Ezam kelihatan seperti seorang yang jujur dan baik hati.
"Sama-sama. Tetapi macamana awak boleh sampai ke situ?" soal Ezam pula.
Giliran Hafizah pula bercerita. Dia memulakan cerita bermula dari kemunculan raksasa yang dipercayai serigala jadian itu. Semasa bercerita, dia dapat lihat dahi Ezam berkerut. Jika dia membaca wajah Ezam, dia tahu bahawa Ezam tidak mempercayai ceritanya.
"Mana mungkin ada raksasa seperti itu. Seumur hidup saya, saya tak pernah langsung terserempak dengan mana-mana raksasa," bantah Ezam.
"Betul. Sumpah." Hafizah mengangkat tangannya seperti berikrar.
Ezam memandangnya dengan penuh rasa hairan. Dia tidak memahami isyarat tubuh yang dilakukan Hafizah.
"Apa yang awak buat tu?" Ezam bertanya.
Hafizah mengeluh. "Awak ni bendul sangatlah, Ezam. Tu tandanya saya bersumpah saya tak tipu."
Ezam terangguk-angguk. Hari itu dia belajar sesuatu yang baru. Walaupun dia sering ke bandar, dia kurang bersosial dan berinteraksi dengan orang lain. Dia cuma ke sana untuk mencari rezeki sama ada halal atau haram. Jika keadaan mengizinkan, dia akan memilih untuk mencari rezeki yang halal seperti yang disyorkan oleh Inspektor Aidil tetapi sekiranya dia berada dalam kesempitan, dia terpaksa mencuri untuk mendapatkan makanan. Kadang-kadang matlamat menghalalkan cara.
"Tapi ibu saya sendiri cakap serigala jadian tu tak wujud," jujur Ezam.
"Ibu? Saya sangka awak tinggal di sini seorang diri. Ibu awak ada di sini?"
Ezam mengangguk. Dia membawa Hafizah memasuki sebuah bilik di dalam rumah usang itu. Hafizah sudah mula berimaginasi. Dia fikir lebih mudah untuk dia mendapat restu untuk bersama dengan Ezam sekiranya ibunya berada di sini. Imaginasinya terbantut apabila melihat keadaan ibu Ezam yang terlantar di atas katil. Tubuhnya yang kurus kering menampakkan rangka tubuhnya.
"Ibu, perempuan yang Ezam bawak semalam dah terjaga," kata Ezam kepada ibunya.
"Betul? Ibu nak jumpa dia," pinta Alice.
Hafizah menghampiri Alice lalu duduk di sisinya.
"Nama makcik Alice. Apa nama kamu?" sapa Alice mesra.
"Hafizah."
"Nama yang cantik. Sama seperti orangnya." Alice menjeling ke arah Ezam. Hafizah menyedarinya tetapi sekadar buat tak tahu. "Kamu dari mana?"
"KL. Kuala Lumpur. Saya datang ke Sabah untuk melancong," terang Hafizah.
"Oh, begitu. Adakah kamu akan pulang ke KL nanti?" Wajahnya kelihatan sedikit hampa.
Hafizah rasa sedikit serba-salah. "Ya, tapi saya masih ada beberapa hari di sini."
"Boleh tak kamu tinggal dua tiga hari di sini? Boleh tak kamu teman makcik?" pinta Alice.
Hafizah diam. Dia masih memikirkan pro dan kontra permintaan tersebut.
"Makcik sudah lama tak berbual-bual dengan perempuan lain. Lelaki macam Ezam tak akan faham perasaan kita sebagai perempuan. Kalau kamu mahu melihat tempat-tempat yang menarik di sini, Ezam boleh bawa kamu. Dia mahir dengan jalan dalam hutan ni."
"Baik, saya setuju." Dia masih bimbang dengan keadaan Nalisa dan Fahmi tetapi ini sahaja yang dia mampu untuk membalas jasa penyelamatnya.
*****
"Aku tak sangka setelah sekian lama aku tinggalkan tanah Sabah ni, macam-macam perkara berlaku. Semuanya berlaku kerana dosa lampau yang belum dilangsaikan." Difu bercakap dengan cermin.
Dia memandang ke arah pantulan cermin. Ada sebuah gambar yang ditampal pada dinding. Gambar tersebut menampilkan tiga orang lelaki yang kelihatan seperti pekerja kilang. Lelaki yang berdiri di tengah mempunyai iras wajah Difu. Hanya dia yang tahu siapa mereka. Di sebelah gambar itu tergantung patung seekor beruang yang sudah koyak. Kapasnya terkeluar. Sebahagian kapas itu berwarna merah kesan darah yang sudah kering.
"Tiada manusia yang boleh lari dari dosa dan tanggungjawab," ujar Difu.
Dia menumbuk cermin di hadapannya sehingga pecah. Pecah seperti hatinya yang berkecamuk mengenangkan dosa dan tanggungjawabnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kanibal
Tajemnica / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.