"Angkatlah Difu. Mana kau?" Aidil sibuk mendail nombor Difu tetapi tidak diangkatnya. "Kenapa kau tak angkat ni? Dah dekat nak sepuluh kali aku call kau."
Aidil membentak. Dia kembali duduk di atas bangku. Bagasi Difu sudah berada di situ tetapi si empunya barang langsung tidak muncul. Sudah lebih kurang setengah jam dia tunggu Difu di situ. Timbul sedikit kekesalan kerana dia menghantar Mina sebentar tadi sehingga terlupa tujuan sebenar dia ke situ. Dia terus menunggu.
Telefonnya berdering mendendangkan lagu rock 80-an nyanyian Achik Spin. Dia mengangkatnya. "Hello~"
"Inspektor, kami dah jumpa mayat yang hilang tu," lapor seorang anggota polis di hujung talian.
"Bagus, bawa balik ke balai untuk dibedah siasat. Saya akan datang sebentar lagi." Talian diputuskan.
Kesabarannya sudah sampai ke kemuncak. Dia ke tandas untuk mencari Difu di tandas. Sebaik sahaja membuka pintu tandas, hidung Aidil mengesan bau hanyir. Bau darah. Dia membuka lampu. Mayat seorang lelaki terbaring di sebalik pintu.
Dia segera menelefon pegawai-pegawainya. Sarung tangan getah disarungkan. Dia memeriksa mayat. Ada banyak kesan cakaran dan gigitan pada mayat tersebut. Aidil memeriksa seluruh tandas untuk mencari klu lain. Dia memeriksa setiap satu kubikel dan mendapati pintu kubikel terakhir pecah. Dia memeriksa kubikel tersebut. Ada klu yang ditinggalkan. Pertama, ada orang yang menggunakan kubikel tersebut kerana dia terlupa menarik pam. Kedua, orang yang menggunakan kubikel tersebut tercicir telefon bimbitnya di dalam mangkuk tandas. Ketiga, orang itu cuba melarikan diri melalui tingkap. Harap-harap dia berjaya. Setibanya pihak polis di tempat kejadian, Aidil pulang ke balai polis untuk mendapatkan laporan mengenai mayat Khairul yang baru ditemui.
*****
"Fuh, penatnya. Kita berhenti di sini dulu boleh?" Fahmi termengah-mengah. Dia memegang lututnya yang bergoyang. Peluh mengalir di pelipisnya.
"Alaa, awal lagi kalau nak berhenti," rungut Hafizah. Adrenalin masih mengalir laju dalam tubuhnya. Dia masih bertenaga dan belum bercadang hendak berhenti mendaki sehingga matahari terbenam.
"Sumpah aku dah tak larat. Stamina dah kering. Aku dah tak mampu teruskan lagi." Fahmi melabuhkan punggungnya.
Hafizah diam sebentar. Sebagai orang melantik dirinya sendiri sebagai ketua, dia perlu membuat keputusan. Hatinya mengatakan bahawa dia harus teruskan. Jika Fahmi mahu berehat, dia perlu menyusul kemudian.
"Kau pergi dulu dengan Kamal." Nalisa bersuara. "Aku temankan Fahmi."
"Ok." Hafizah akur dengan keputusan Nalisa asalkan keputusan itu tidak melambatkannya. "Pastikan korang sempat catch-up dengan kitorang sebelum matahari terbenam. Kita akan berkhemah nanti."
Fahmi dan Nalisa mengangguk. Mereka hanya melihat Kamal dan Hafizah meneruskan pendakian dan meninggalkan mereka.
"Terima kasih sebab temankan," ucap Fahmi kepada Nalisa.
Nalisa membalas dengan senyuman. Senyuman paling manis yang pernah dilihat oleh Fahmi. Dalam hatinya muncul sebuah taman dengan bunga pelbagai warna yang membebaskan haruman yang meransang kelelakiannya.
Lebih kurang setengah jam mereka berdua duduk bersembang sambil menikmati pemandangan. Tanpa disedari, langit semakin gelap walaupun masih awal. Mereka berdua tangguhkan perbualan mereka dan meneruskan perjalanan dengan harapan mereka sempat mengejar Hafizah dan Kamal sebelum hujan turun.
Malangnya harapan mereka hancur. Mereka basah kuyup apabila tiba di khemah. Khemah mereka berasingan. Fahmi bersama Kamal dan Nalisa bersama Hafizah. Hujan turun semakin lebat sehingga malam menjelma. Persekitaran mereka yang berada hampir separuh ketinggian Gunung Kinabalu menyebabkan mereka berasa amat sejuk. Mereka menggigil dan berselimut dalam selimut tebal. Hujan yang turun dengan lebat langsung tidak menunjukkan tanda untuk reda malahan guruh mula berdentum seperti ribut sedang berarak menuju ke arah mereka. Dalam keadaan ketakutan mereka hanya boleh berzikir dan bertafakur. Akibat terlalu ghairah hendak mendaki, mereka lupa untuk memeriksa ramalan cuaca. Mereka cuma berharap cuaca akan bertambah baik nanti.
"Kau ada nampak fon aku tak, Lisa?" soal Hafizah terkial-kial mencari telefon pintarnya.
"Kau pasti kau bawak? Aku rasa aku ternampak fon tu atas katil sebelum kita keluar."
Hafizah menepuk dahinya. Dia terlalu teruja sehingga terlupa memabawa telefonnya. Telefon Nalisa pula sudah kehabisan bateri. Mereka langsung tidak dapat menangkap gambar untuk merakam secebis memori mereka pada hari itu. Malahan, mereka juga tidak dapat berhubung dengan Fahmi dan Kamal di khemah sebelah. Mereka berdua terus berpeluk tubuh dalam kegelapan malam.
"Aaarrrggghhh!!!" Jeritan Fahmi kedengaran dari khemah sebelah.
Hafizah terkejut dan hampir melatah. Suasana menjadi sunyi semula. Hanya bunyi hujan yang kedengaran. Tiba-tiba, bunyi derapan tapak kaki kedengaran menuju ke arah khemah mereka. Semakin lama semakin kuat. Hafizah memeluk Nalisa. Satu bayang muncul di hadapan khemah mereka berdua. Sebuah bayang besar dan berbulu - tidak seperti manusia.
*****
Aidil masih sibuk meneliti fon yang dijumpainya. Walaupun telah tamat waktu kerjanya, dia masih rasa seperti dia mempunyai tanggungjawab dan amanah yang belum diselesaikan. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat tahu bahawa fon itu milik Difu. Di mana agaknya sahabatnya itu telah menghilangkan diri? Adakah dia masih hidup?
Sudah lebih daripada 12 jam dia hilang. Segala bagasinya dibawa Aidil ke rumahnya. Difu merupakan salah seorang sahabat Aidil ketika di sekolah menengah. Dia berasal dari Sabah yang beretnik Dusun. Difu merupakan seorang akauntan dan dia memiliki sebuah syarikat barangan elektronik yang terkenal di Malaysia. Aidil rasa bersalah kerana sebenarnya dia lah yang mendesak Difu untuk pulang ke Sabah. Dia mahu tahu segala rahsia di sebalik legenda serigala jadian yang menjadi isu sekarang. Berdasarkan kes hari ini, dia hanya dapat buat kesimpulan bahawa legenda itu memang benar.
Selama dia menjadi seorang anggota polis, ini merupakan kes paling rumit yang pernah dihadapinya. Dia tak tahu apa-apa tentang makhluk legenda itu bahkan dia belum pernah bersemuka dengannya. Apa kebolehannya? Mampukah peluru membunuhnya? Terlalu banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya. Dan semuanya berakhir dengan tanda soal kerana tidak mampu dijawab. Mungkin dia patut menonton lebih banyak cerita dongeng barat. Atau mungkin dia patut meminta bantuan pasukan ghost buster. Entahlah. Dia buntu. Akalnya menjadi cetek. Fikirannya terhalang seperti ada tembok yang menghalangnya. Tembok itu mengelilinginya. Dan dia terperangkap dalam tembok itu. Sebuah tembok digelar tembok amanat. Dia harus cari jalan penyelesaian atau dia akan terus terperangkap di tengah-tengah tembok itu selamanya dan akan terus dihujani hujan penyesalan.
Aidil meletakkan fon Difu di atas meja di sisi katilnya seraya bingkas bangun dan memakai sehelai seluar khaki dan baju jersey Barcelona. Dia meninggalkan rumahnya demi mencari ketenangan. Dan dia tahu di mana dia akan menjumpainya. Keretanya dipandu menuju ke hospital. Dengan kuasa yang dia ada sebagai seorang polis, dia meminta kebenaran untuk memasuki bilik di mana semua jenazah ditempatkan. Dia duduk di sisi jenazah Khairul. Jenazah itu tidak berbau kerana sudah diawet ketika penyiasatan dijalankan. Dia mula membacakan surah Yaasin kepada sahabatnya itu sebagai penghormatan terkahir. Dan dia masih berpegang pada sumpahnya. Dia akan cari pembunuh Khairul.
*****
Ezam duduk di beranda rumahnya sambil mendengar alunan muzik yang dihasilkan oleh angin, hujan dan hidupan-hidupan hutan. Mulutnya sibuk menghisap tembakau untuk memanaskan tubuhnya. Ibunya sudah tidur dengan nyenyak selepas makan malam. Tambahan pula, keadaan di luar yang sejuk ibarat perasa tambahan untuk membuatkan seseorang mengantuk dan ingin tidur. Tetapi tidak bagi Ezam. Dia rasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku pada malam itu. Hatinya tidak tenang. Dia rasa seperti dia harus berlari masuk ke dalam hutan dan mencari jawapan bagi keresahan yang menyerangnya itu. Tetapi ke mana harus ditujunya?
Dia menghisap tembakaunya sehingga habis dan membuat keputusan untuk bersiar-siar di Gunung Kinabalu. Mungkin dia akan menemui sesuatu di sana. Sesuatu yang dapat menyedapkan hatinya. Atau mungkin juga menyedapkan perutnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kanibal
Mystery / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.