Aidil masih berjalan-jalan di kawasan hutan. Dia masih belum menemui Nalisa yang dicarinya. Masih ada sisa dua hari sebelum tarikh yang dijanjikan untuk bertemu semula dengan Hafizah. Dia harap Hafizah sudah selamat sampai ke tempat selamat. Walaupun dia masih bimbang, dia cuba padamkan perasaan itu dan mempercayai sepenuhnya nelayan yang akan membawa Hafizah pulang. Dia terlalu banyak perkara yang perlu dibimbangkan.
Sekurang-kurangnya, apabila dia berada di dalam hutan, dia tidak perlu risau diburu polis kerana hutan di situ amat luas dan hampir mustahil untuk polis menjejaknya. Dia sudah cuba untuk tidak meninggalkan apa-apa petunjuk yang boleh membawa polis kepadanya. Dia sentiasa berhati-hati. Malah, dia pandai membuat helah sebagai alternatif jika polis cuba mengesannya. Contohnya, dia akan berjalan lebih kurang 100 meter daripada jalan asalnya sekiranya dia hendak membuang air. Dan dia akan menyelamkan tubuhnya ke dalam mana-mana sumber air yang ditemuinya untuk menghilangkan bau badan dan kebersihan.
Dia juga sentiasa berhati-hati dengan hidupan liar. Setakat ini dia belum terserempak dengan mana-mana haiwan liar yang berbahaya selain nyamuk yang rakus menghisap darahnya hampir setiap jam. Tumbuhan liar pula kadangkala mengguris kulitnya dengan duri mereka yang tajam. Mujur Aidil telah biasa dengan perkara sebegini. Dia masih ingat ketika dia dan pasukannya meredah hutan untuk menjejak pendatang asing yang menceroboh kawasan hutan Sabah. Lebih kurang seminggu mereka meredah hutan dengan berbekalkan makanan yang terhad bersama seekor anjing penjejak yang telinganya terjungkit naik. Mereka memburu untuk mencari makanan. Sama seperti yang dilakukannya sekarang. Bezanya, kali ini dia bersendirian.
Aidil mendengus kuat. Dia rindu tugasnya sebagai polis. Cabarannya. Tanggungjawabnya. Dan kepuasan seorang warganegara yang bekhidmat untuk tanah airnya yang tercinta.
Dia terus melangkah. Bunyi ranting-ranting patah dan siulan unggas menjadi lagu merdu yang menemani perjalanannya. Sesekali ada bunyi babi hutan yang melintas girang. Aidil akan cuba bersembunyi agar babi itu tidak menyondolnya dan di'babi'kan olehnya.
Sejujurnya dia sendiri tidak tahu ke mana harus dia mencari gadis yang hilang itu. Hutan yang luas itu bukannya ada mana-mana tempat yang boleh dijangka. Semuanya pohon-pohon hijau yang kelihatan sama. Dia cuma berjalan terus menuju ke tempat yang dijanjikan. Perjalanan itu hanya untuk melengahkan masa dan sedikit usaha untuk menyedapkan hatinya.
Apabila menghitung masa yang telah dihabiskannya di dalam hutan itu sebelum dan sebelum dan selepas dia bertemu Hafizah, mungkin juga Nalisa sudah keluar daripada hutan terlebih dahulu. Lebih baik dia ikut nelayan itu pulang, fikirnya.
Biarlah.
Perkara lalu jangan disesali. Segala keputusan yang dibuat tak mungkin dapat diubah. Kita hanya boleh terus percaya dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Mungkin pilihan itu bukan yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya kita akan terus berjalan dalam mana-mana laluan hidup yang dipilih. Mereka yang gagal membuat keputusan akan terus terkandas dan mensia-siakan masa mereka. Mereka tak akan ke mana-mana. Mereka tidak akan tiba ke destinasi yang dituju. Mereka tak akan capai sasaran mereka. Walau sukar manapun satu pilihan itu, kita tetap kena putuskan juga. Kerana pilihan itu amat penting.
Ketika dia sedang sibuk mengenang masa lampaunya, tiba-tiba dia terbayang wajah seseorang yang juga merupakan orang bawahannya. Kamal. Sepanjang dia bersama lelaki itu, tiada apa-apa yang aneh. Tetapi berdasarkan kejadian di Gunung Kinabalu tempoh hari, Kamal dikatakan berada bersama Hafizah, Fahmi dan Nalisa. Pada masa yang sama, dia juga berada di pejabatnya. Mana mungkin. Setahu dia, tiada pegawai bernama Kamal yang lain bekerja di situ dan dia tak pernah memberi arah supaya Kamal menjadi escort rakan-rakannya pada hari itu. Adakah seseorang menyamar menjadi Kamal dan menipu mereka? Apa motifnya? Di manakah dia sekarang? Mungkinkah dia bersama Nalisa?

YOU ARE READING
Kanibal
Mister / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.