Seorang lelaki dengan kaca mata hitam berjalan sendirian meredah lautan manusia. Dia sebenar-benarnya tidak mahu menarik perhatian sesiapa agar dirinya tidak dicurigai. Tetapi perlakuannya yang berjalan bertentangan laluan orang awam dan pemakaian kaca mata hitam di kawasan teduh ternyata lebih membuatkan dirinya dicurigai. Dia puas. Memang dia ingin begitu. Itulah Pendi.
Dalam hatinya, dia ingin menjadi tumpuan orang ramai. Tetapi dia sedar dia masih diburu polis dan mana mungkin dia akan selamat jika dia ditemui anggota polis. Kaca mata hitam itu diharap dapat menutup identitinya – mengaburi mata-mata di sekelilingnya.
Dia berhenti seketika di sebuah gerai di tepi jalan. Hanya sebuah gerai biasa dengan lori yang boleh dibuka bahagian belakangnya serta sebuah meja plastik yang kelihatan kurang stabil menempatkan buah-buahan sejuk dengan sebekas serbuk asam boi. Di tepi meja itu pula terdapat sebuah kerusi dengan tong ais bersaiz sederhana. Mungkin ada minuman tin sejuk di dalamnya.
Pendi tidak tertarik dengan buah-buahan seperti itu. Cita rasanya lebih kepada makanan ringan yang bergantungan pada van. Dia membelek-belek bungkusan Twisties dan Roller Coaster pelbagai perisa.
"Pasti bungkusan ini hanya berat dek angin. Aku bukan mahu makan angin," perli Pendi sinis.
Dia segera batalkan niatnya untuk membeli (atau lebih tepat mencuri) jajan itu. Dia beralih kepada naskhah-naskhah surat khabar daripada beberapa terbitan berbeza yang terpapar di situ. Kebanyakan muka hadapan hanya memaparkan isu politik yang tak pernah reda sejak dulu. Dia sendiri tidak pasti berapa lama dia sudah dipenjarakan, tetapi apa yang pasti dia sudah muak melihat wajah sama dan isu yang sama menjadi muka hadapan akhbar. Negara ini seperti tiada perkara hangat lain yang hendak dibahaskan selain isu politik yang basi. Ya, isu lama yang tak pernah berakhir. Mungkin sahaja itu hanyalah propaganda ahli politik untuk menghangatkan nama mereka supaya menjadi tumpuan untuk pilihan raya akan datang. Itu kerja mereka. Dan akhbar-akhbar ini dibayar untuk mengikut telunjuk mereka. Dasar penulis yang tiada idea sendiri. Dia lebih gemar membaca buku-buku ilmiah atau fiksyen-fiksyen daripada akhbar-akhbar yang memutarbelitkan kebenaran.
Dia mengambil senaskhah surat khabar secara rawak dan membelek beberapa muka surat. Dia kelihatan seperti tercari-cari sesuatu.
Seorang lelaki yang merupakan peniaga di gerai itu menghampirinya. "Abang, kalau nak baca belilah. Tak mahal pun. Nak baca sampai malam pun boleh," tegurnya.
Pendi menurunkan kaca mata hitamnya lalu menjeling tajam ke arah lelaki itu. Dia kemudiannya teruskan membelek surat khabar itu tanpa menghiraukan lelaki itu. Lelaki itu mengerutkan dahi lalu membiarkan Pendi di situ.
Pendi berhenti di salah satu muka surat pada surat khabar tersebut. "Sial," bisiknya perlahan.
Ini adalah salah satu perkara yang dibimbanginya. Wajahnya terpapar di dada akhbar. Ini akan menyukarkan dia untuk bergerak ke mana-mana. Mungkin sahaja ada mata-mata yang megecamnya dan menunggu masa untuk menghubungi polis. Dia perlu lebih berhati-hati. Bertindak lebih tenang dan profesional.
Pendi tersenyum sinis. Dia anggap situasinya itu sebagai satu cabaran. Dan dia memang gemar mencabar dirinya. Dia memang seorang yang licik.
Dia melilau-lilau ke arah persekitarannya. Sekadar memastikan tiada individu yang mencurigakan sedang memerhatikannya. Buat masa ini, dia tidak punya apa-apa matlamat mahupun arah untuk dituju. Dia sekadar mahu menikmati kebebasannya. Udara di sel penjaranya dulu terlalu sesak dan berbau kepam. Paru-parunya sudah lama tidak menghirup udara segar. Baru kini dia menghargai kebebasannya. Dan dia akan pastikan yang dia tak akan kembali ke sana.
YOU ARE READING
Kanibal
غموض / إثارةHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.