"Inspektor Aidil?" duga Kamal. Dia dapat cam sepasang mata yang bertentang dengan matanya.
Aidil segera berpaling. Dia mesti meloloskan diri. Buruk padahnya jika penyamarannya terbongkar.
Kamal menyambar lengannya cuba menghentikannya.
"Tunjukkan diri kau yang sebenarnya!" arah Kamal. Pistol dihalakan ke arah Aidil.
Aidil segera mengilas tangan Kamal. Dengan kepakaran yang dia ada, amat mudah untuk dia menjatuhkan Kamal. Kamal ditumbangkan. Pistol pada tangannya dirampas lalu dihalakan kembali ke arahnya.
"Siapa kau sebenarnya Kamal?" soal Aidil kembali.
Kamal diam tidak menjawab.
Tindakan Aidil telah menarik perhatian anggota polis lain yang berjaga di kawasan itu. Mereka mengelilingi Aidil dan Kamal. Pistol mereka diacukan ke arah Aidil.
"Campak senjata tu ke tanah. Kalau tak kami tembak."
Aidil menjeling ke sekitarnya. Ada lebih kurang empat orang anggota polis. Dia perlu bertindak segera. Dia tak mahu scene tembak-menembak berlaku. Mereka semua hanya anggota polis yang menjalankan tugas. Aidil faham tanggungjawab mereka. Bagi Aidil, setiap anggota polis adalah komradnya. Dia tidak akan sesekali mencederakan mereka.
Aidil mengangkat Kamal. Lengannya dilingkar di leher Kamal sementara sebelah lagi tangannya mengacukan pistol ke arah kepala Kamal.
"Jangan buat apa-apa. Kalau tak, aku tembak," ugut Aidil.
Anggota-anggota polis tersebut terpaksa akur. Kamal pula takut untuk melakukan cubaan melepaskan diri. Dia risau nyawanya akan melayang hari ini. Perlahan-lahan Aidil membawa Kamal jauh dari tempat mereka. Sekarang dia dan Kamal berada di tebing Gunung Kinabalu. Tebing yang sama yang diceritakan oleh Fahmi.
Aidil tiada pilihan. Dia lepaskan cengkamannya daripada Kamal lalu terjun. Kamal agak terkejut.
Aidil terpaksa lepaskan Kamal. Dia tahu takdir akan menemukan mereka berdua semula nanti. Dia harap dia akan mendarat dengan selamat nanti. Di bawah sana, sama ada dia akan mati atau dia akan hidup dan jumpa mayat sahabatnya atau mungkin dia masih ada perjalanan yang jauh. Dia sendiri tak pasti. Dia cuma pasti persoalannya tidak akan terjawab jika dia tak lakukan sesuatu.
*****
Ezam menarik tubuh Hafizah yang sudah longlai ke tebing sungai. Hafizah tidak sedarkan diri. Dia tidak bernafas. Ezam tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia segera memberikan cpr sehingga Hafizah memuntahkan semua air sungai yang masuk ke dalam peparunya.
Perlahan-lahan Hafizah membuka matanya. Dia dapat lihat Ezam berada di hadapannya. Kemudian, dia kembali pengsan. Ezam mendukung Hafizah. Mereka berdua basah kuyup. Kalau Ezam tak buat sesuatu, mereka akan demam. Rumah Ezam amat jauh. Mereka telah masuk terlalu jauh ke dalam hutan. Nampaknya mereka perlu bermalam di situ.
Ezam tinggalkan Hafizah di kawasan yang dirasakannya selamat sebelum pergi mencari kayu api. Dia menghidupkan api berdekatan kawasan sungai. Dalam hatinya dia menyumpah seranah raksasa yang dilihatnya tadi. Kalau bukan kerana raksasa bertubuh besar dan berbulu itu, dia pasti perkara ini tidak akan terjadi. Seumur hidupnya dia tak pernah lihat mana-mana haiwan buas seperti itu di dalam kawasan hutan itu. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat matanya sendiri.
Darah panasnya dirasakan mengalir semakin laju. Dia rasa seperti dendam kesumatnya membuak-buak. Dia akan tangkap raksasa itu.
*****
Nalisa terus menghitung hari. Hari-harinya yang dipenuhi kesengsaraan. Dia dikurung di dalam kegelapan. Jauh dari cahaya. Dia sendiri tidak tahu kedudukannya. Dia diculik oleh beberapa orang lelaki bertubuh tegap. Dia sendiri tak tahu apa yang diinginkan oleh lelaki-lelaki itu tetapi dia lebih rela dibunuh berbanding diseksa.
Tiba-tiba muncul satu cahaya. Lelaki-lelaki yang membawanya ke sini muncul. Tubuh Nalisa yang lemah di diheret keluar dari kegelapan. Dia dibawa ke sebuah bilik usang yang penuh dengan buku yang bersepah.
"Prof, ini dia perempuan tu," kata salah seorang lelaki itu.
Nalisa mendongak mengecam wajah Prof yang dimaksudkan itu. Prof itu berjanggut putih dan berkaca mata. Dia tersenyum sinis ke arah Nalisa.
"Bawak umpan ni ke kawasannya. Kita akan keluar memburu," kata Prof itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kanibal
Misteri / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.