19

565 33 4
                                    


"PANASNYAAA...." Hafizah menjerit melepaskan geram.

Rasa geram dia terhadap Aidil semakin membuak-buak. Dia sendiri tidak meredai keputusannya untuk mengikut nasihat Aidil. Dia menyesal. Penyesalan yang dia sendiri tidak dapat bayangkan. Dia tidak sangka bahawa dia akan terperangkap dalam situasi yang seteruk ini. Berada di tengah laut di atas bot kecil bersama seorang lelaki yang tidak dikenali. Ditambah pula dengan bau hanyir ikan segar yang baru dijala dan diletakkan bersepah di dalam bot itu.

Hafizah terpaksa memicit hidung dan menutup mulutnya untuk menahan bau itu. Sebagai seorang 'gadis bandar' bau ikan sebegini agak asing buatnya. Dia bukannya seorang wanita yang tidak gemar memasak, tetapi sudah menjadi lumrah wanita berkerjaya di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai masa untuk memasak sendiri makanan di rumah. Makanan hari-harinya dibeli di kedai berdekatan tempat kerja atau rumahnya dan pada hujung minggu, makanan tin yang telah diproses menjadi makanan ruji. Bau yang hanyir sebegini meloyakan tekaknya. Rasa seperti hendak muntah. Bot itu langsung tidak mempunyai tong ikan. Dia menyumpah seranah Aidil dalam hatinya. Penyeksaan yang dialami ini terlalu hebat untuk dilaluinya.

"Emm, lambat lagi ke?" tanya Hafizah kepada lelaki yang tidak berbaju di hadapannya.

Lelaki itu membalas dengan beberapa patah perkataan yang tidak difahaminya. Dia sendiri tidak tahu lelaki itu berasal daripada etnik mana dan bagaimana Aidil boleh faham pertuturan yang kedengaran aneh itu. Lelaki itu belum menunjukkan apa-apa petanda bahawa dia akan kembali ke darat. Cuaca yang teramat panas masih lagi membakar kulit Hafizah. Sesekali dia terbayang bahawa kulitnya akan berubah menjadi lebih gelap seperti lelaki di hadapannya, pasti dia rasa seperti hendak terjun ke dalam laut. Dia akan pastikan Aidil menanggung kos alat kecantikan untuk memulihkan tona kulitnya nanti. Biar padan muka dia.

Untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi di atas bot itu, Hafizah mengambil peluang ini untuk menikmati keindahan laut yang membiru – tidak dikotori bahan-bahan kimia seperti yang sering dilihatnya di pantai-pantai semenanjung. Ombak lembut yang melambung bot itu menimbulkan ketenangan dalam drinya. Wajahnya yang terpantul pada permukaan laut kelihatan berkelip-kelip dek pantulan sinar matahari yang maha terang.

Hafizah menghembus nafas berat. Dia mula terkenangkan Ezam. Rasa cinta yang terjalin dengan lelaki itu masih belum pudar. Walaupun dia telah melihat betapa 'liar'nya perlakuan Ezam. Dia sendiri takut dengan Ezam ketika itu. Dia juga tidak menyangka bahawa Ezam adalah pembunuh teman lelakinya, Khairul. Dia tidak tahu sama ada dia harus membenci Ezam atau memaafkannya. Dia keliru. Dia bingung. Dia tak mahu membuat keputusan berdasarkan emosi dan perasaan, tetapi perasaan itu lah yang sentiasa membelenggu dirinya. Setiap kali nama Ezam terlintas di fikirannya, pasti sahaja dia mula tidak keruan. Bagai ada hormon-hormon yang dirembes di dalam tubuhnya – membuatkan dia menjadi semakin galak. Atau mungkin hanya naluri seorang wanita yang telah jatuh cinta.

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menjerit nama Ezam. Mudah-mudahan jeritannya didengari dan Ezam dapat membawa dia keluar daripada situasi yang menyakitkan hati itu. Sebenarnya, dia amat merindui Ezam. Dia cuma cuba menyembunyikannya. Setiap detik-detik bersama Ezam dirasakan seperti detik-detik terbahagia dalam hidupnya.

Tatkala dia sibuk mengelamun, bot itu terasa terumbang-ambing. Cuaca yang panas berubah teduh. Hafizah mendongak. Sebuah kapal yang agak besar tersergam di hadapannya. Lelaki yang menumpangkannya kelihatan kaget. Dia segera menarik jala ke dalam bot.

Belum sempat Hafizah menghadam situasi tersebut, tangga tali dijatuhkan dari atas kapal. Dua lelaki bertubuh tegap turun bersama senjata tajam yang belum pernah dilihatnya. Rupanya hampir seperti parang tetapi lengkuk pada hujungnya kelihatan berbeza daripada parang biasa.

Salah seorang daripada lelaki yang baru turun daripada kapal itu berbual dengan pemillik bot sementara seorang lagi sedang merenung Hafizah dengan senyuman sinis. Walaupun Hafizah tidak faham apa-apa tentang perbualan dua lelaki tersebut, dia tahu mereka berdua sedang bertikam lidah berdasarkan nada mereka yang agak tinggi. Suasana berubah tegang. Lelaki yang seorang lagi pula cuba mendekati Hafizah. Dia menyentuh lengan Hafizah. Lantas Hafizah menjauhkan tangannya dan cuba menjarakkan diri.

Pertikaman lidah dua lelaki tersebut semakin meleret. Kata-kata yang keluar daripada mulut mereka kedengaran semakin kasar. Hafizah merasakan dirinya tersempit dalam ketidakpastian yang amat serius. Pertengkaran itu berakhir apabila pemilik bot tersebut ditetak pada dadanya. Tubuhnya terkulai layu dan jatuh ke laut. Laut yang biru dicemari darah kotor yang mengalir. Hafizah agak terkejut. Dia kaget namun bingung.

"Bawak dia naik," arah lelaki yang menetak pemilik bot. Darah masih mengalir pada bilah senjatanya.

Lengan Hafizah digenggam kuat lelaki miang tadi. Dia cuba meronta tetapi lengannya disentap kuat sehingga tidak mampu untuk melawan lagi. Kedua-dua lelaki itu membawanya naik ke atas kapal. Bot yang dinaikinya tadi dibakar sebelum abunya karam ke dasar laut.

Hafizah menangis namun langsung tidak dipedulikan. Di atas kapal itu, dia dikelilingi lebih ramai lelaki bengis yang menakutkan. Mereka kelihatan seperti orang lapar yang sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan makanan. Dia tidak dapat membayangkan nasib dirinya. Dia terlalu lemah dan manusia yang lemah sering menjadi mangsa. Dia dibawa masuk ke bilik kapten kapal.

Seorang lelaki duduk membelakangi mereka sambil menghisap tembakau. Hafizah dicampak ke lantai. "Prof, kami bawak umpan baru."

Lelaki yang digelar Prof itu bangkit dan bersemuka dengan mereka. Senyumannya sinis. Tangannya cuba menyentuh wajah Hafizah namun ditepis. Senyuman lelaki itu semakin sinis.

"Garang. Hehehe."

"Jangan sentuh aku," marah Hafizah.

Pap! Penampar hinggap pada wajah Hafizah. Hafizah tersungkur di atas lantai.

"Kasar betul kau ni, Joseph. Muka lebam, tangan terseliuh," komen Prof setelah melihat kesan bengkak pada lengan Hafizah.

"Maaf bos, dia ni memang kasar dari mula-mula jadi lanun lagi," ujar lelaki itu sebelum mengarahkan lelaki bernama Joseph keluar.

Prof mencangkung di sebelah Hafizah. "Maaf ye, lanun-lanun ni memang kasar. Biasakan diri. Tugas kau sebagai kru kapal belum bermula. Selamat datang ke kapal Thousand Dragon."

KanibalTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang