Aidil gelisah. Dia berfikir panjang. Cuba berfikir serasional mungkin. Berfikir merentas masa jauh ke hadapan setakat yang mampu dicapainya. Hanya satu perkara yang membimbangkannya. Berfikir sahaja tak cukup. Dia perlu buat keputusan. Cepat.
Seutas dawai di tangannya digenggam. Inilah cara keluar yang Izyan maksudkan. Dia mahu Aidil cuba lari keluar dengan menggunakan dawai tersebut. Aidil tahu caranya. Tidak sukar untuk melepaskan diri dari penjara, tapi sukar untuk melepaskan diri dari polis dan dia tak mungkin dapat melepaskan diri daripada Allah S.W.T.
Jika dia terus di sini, dia akan dibicarakan dan dihukum. Jika dia melarikan diri, dia mungkin berjaya selesaikan tugas yang dimulakannya dan dia tetap akan dihukum jika dia ditangkap. Hukumannya pasti lebih berat.
Aidil mengatup matanya rapat. Nafasnya dihela panjang. Dia bangun dari tempat duduk lalu menghampiri pintu sel lokapnya. Dia memerhatikan sekeliling. Tiada polis yang berkawal di kawasan berdekatan. Perlahan-lahan dia masukkan dawai tersebut ke dalam lubang kunci pintu selnya. Aidil memusingkannya beberapa kali sehingga ada bunyi klik. Pintu selnya terbuka.
Aidil pandang ke kiri dan ke kanan untuk memastikan line clear. Belum sempat dia melangkah, satu suara memanggilnya. Seorang lelaki yang berada dalam sel di hadapannya memandangnya dengan satu renungan yang tajam.
"Lepaskan aku," kata lelaki itu.
"Aku tak akan lepaskan kau, penjenayah," balas Aidil.
"Mungkin kau akan suka kalau aku buat kecoh sehingga ada polis yang datang ke sini," ugutnya. Dia tersenyum sinis.
Aidil tahu bahawa dia tak boleh biarkan perkara tersebut berlaku. Ini satu-satunya peluang yang dia ada untuk lepaskan diri dan selesaikan apa yang dia mulakan. Dia tak akan benarkan seorang penjenayah merosakkan rancangannya. Dia membuka sel lelaki itu. Selnya terbuka. Lelaki itu keluar.
Tangannya dihulurkan kepada Aidil. "Nama aku Amirrul bin Affandy."
Aidil memandang matanya yang besar itu. Tangannya tidak disambut. Aidil berpaling ke arah bertentangan.
"Jangan sombong Inspektor Aidil. Kita berdua sama. Kita penjenayah."
"Kalau begitu jangan panggil aku Inspektor. Panggil aku Aidil." Dahi Aidil berkerut. Dia bukannya jenis yang suka melayan orang yang banyak cakap ni.
"Kau boleh panggil aku Pendi. Aku bangga dengan nama bapak aku. Tapi aku cuma benarkan orang tertentu panggil aku begitu," kata Pendi. "Aku boleh tolong kau keluar dari sini tanpa dikesan. Kita tak akan terserempak dengan sesiapapun. Anggaplah ini cara aku membalas budi kau."
"Macam mana?" soal Aidil.
"Ikut aku. Kita akan lalu ikut stor."
Aidil masih ragu-ragu untuk ikut dia. Biasanya penjenayah tak boleh dipercayai. Tapi Aidil masih berpegang kepada satu prinsip. Dia masih manusia. Dan manusia mempunyai hati. Hati itu mampu dibersihkan. Tak salah jika kita berikan seseorang peluang untuk berubah. Semua orang mahukan peluang kedua. Aidil juga salah seorang daripadanya. Aidil memilih untuk mengekori Pendi.
Pendi membawa Aidil menyusup ke kawasan stor tanpa dikesan. Pintu stor yang tidak berkunci dibuka. Mereka berdua masuk ke dalam. Pintu ditutup semula. Stor tersebut dipenuhi barang-barang terpakai yang tersusun kemas di dalamnya.
Pendi memanjat barang-barang tersebut menuju ke arah sebuah tingkap kecil tidak bergril yang terletak berhampiran syiling. Tingkap tersebut dibukanya. Tubuhnya yang kecil diloloskan melalui tingkap tersebut. Aidil terus mengekorinya.
Akhirnya, mereka berdua berjaya keluar dari penjara tanpa dikesan. Aidil tak sangka kawalan keselamatan di sini terlalu teruk sehingga terlalu mudah untuk penjenayah macam mereka melepaskan diri. Atau mungkin nasib menyebelahi mereka.
"Sampai di sini saja," ujar Pendi. "Kau masih ada urusan yang perlu diuruskan dan aku juga ada masalah aku sendiri."
Aidil menghulurkan tangan ke arahnya. "Terima kasih."
Tangannya disambutnya. "Kita akan berjumpa lagi nanti. Ini firasat aku."
"Mungkin. Aku cuma harap kita berdua dapat berjumpa sebagai manusia biasa selepas ini. Bukan sebagai seorang polis. Dan bukan sebagai seorang penjenayah. Mungkin sekadar sahabat yang saling terhutang budi."
Mereka berdua berbalas senyuman sebelum berpisah. Pendi masuk ke dalam hutan. Aidil pula menyelinap ke rumah berdekatan dan mencuri beberapa pakaian di ampaian sebelum turut masuk ke dalam hutan.
Dia berjalan melalui jalan pintas menuju kearah hospital. Sampai ke hospital, dia nampak Izyan berada di luar hospital. Dia mendekati Izyan.
"Aku tahu kau akan datang," yakin Izyan.
"Mana Fahmi?"
"Ikut aku."
Aidil mengekori Izyan rapat. Wajahnya ditundukkan. Mereka berdua melalui tangga kecemasan untuk mengelak daripada terserempak dengan orang lain. Sampai ke tingkat empat, mereka berdua tiba di wad Fahmi. Fahmi kelihatan amat bersyukur dapat bertemu Aidil.
"Kau perlu tolong aku, Aidil," pinta Fahmi.
"Ceritakan semuanya."
"Aku ikut Hafizah dan Nalisa mendaki Gunung Kinabalu. Kami bertiga dibawa pegawai kau, Kamal ke sana. Belum sempat kami mendaki lebih tinggi, hujan turun. Kami berkhemah di lereng bukit. Malam itu, tiba-tiba kami berempat diserang seekor raksasa. Seekor serigala jadian," cerita Fahmi.
"Serigala jadian? Kau pasti?" tanya Aidil meminta kepastian.
Fahmi angguk. "Aku memang sure seratus peratus. Aku nampak tubuhnya yang besar dan giginya yang tajam. Sungguh menakutkan. Kemudian seorang lelaki muncul dan selamatkan kami. Aku, Nalisa dan Hafizah ikut lelaki tu terjun dari tebing Gunung Kinabalu. Lelaki tu hantar aku ke sini. Tapi aku tak tahu apa yang berlaku kepada Nalisa dan Hafizah. Dan aku tak tahu sama ada Kamal masih hidup atau tidak."
Aidil mengerutkan dahinya. "Kenapa Kamal ikut korang bertiga?"
"Dia kata kau yang suruh."
Muka Aidil semakin serius. "Aku tak pernah keluarkan arahan tu. Dan aku tahu Kamal berada bersama aku di pejabat pada hari tu. Aku juga sudah melarang Nalisa dan Hafizah daripada daki gunung tu. Macam mana perkara ni boleh berlaku? Siapa Kamal yang ikut korang tu?"
"Aku rasa kau boleh fikir pasal perkara tu kemudian. Kau perlu masuk ke dalam hutan dan cari Nalisa dan Hafizah. Aku betul-betul risau pasal mereka berdua. Serigala jadian tu masih bebas di luar sana," ujar Fahmi bimbang.
Aidil mengangguk faham. "Aku akan cari dan selamatkan mereka. Itu janji aku."
Bahu Fahmi ditepuk Aidil. Aidil beredar bersama sebuah janji yang dipikulnya. Sebuah janji yang dia tak yakin dapat dipenuhinya.
YOU ARE READING
Kanibal
Mystère / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.