"Apa yang terjadi? Di mana aku?" Nalisa duduk di sebuah ruang kosong. Satu panorama yang memutih. Pakaiannya juga serba putih. Dia tidak ingat sejak bila dia berpakaian seperti itu atau di mana dia berada. Tempat tersebut jauh lebih putih berbanding salji-salji di Siberia dan atmosferanya tidak sejuk. Hanya ada rasa kehangatan yang tidak diduga. Dia rasa seperti dia diselubungi cahaya yang menenangkan. Tidak terang. Tidak menyilaukan mata. Sekadar memberi ketenangan. Mungkin ini lah Nur yang sebenar-benarnya. Cahaya milik Ilahi.
Mungkin ini membawa petanda bahawa Nalisa telah meninggalkan alam dunia. Atau mungkin sekadar rahmat dari-Nya setelah diturunkan ujian yang perit buat Nalisa. Dia rasa amat tenang. Amat selesa. Dan amat selamat. Rasa seperti tiada apa lagi yang harus ditakutinya di situ. Tiada lagi ancaman buat dirinya. Ternyata ketakutan itu lahir daripada hati manusia. Apabila hilang rasa itu, bermakna tiada lagi sifat-sifat manusia dalam dirinya.
Nalisa duduk dan menenangkan dirinya. Tiba-tiba satu awan gelap berarak menuju ke arahnya. Awan tersebut membawa hujan, petir dan tiupan angin yang kuat. Tubuh Nalisa terasa sejuk. Dia mula menggigil. Bukan sekadar rasa sejuk yang menyucuk tulangnya, rasa ketakutan muncul kembali. Dari jauh terbit satu lembaga hitam yang amat besar. Saiznya tidak normal untuk seorang manusia, malah tubuhnya yang berbulu lebat amat sinonim dengan haiwan liar. Matanya merah menyala. Anak matanya tidak dapat dibezakan dengan matanya yang biasa. Kesemuanya merah bersinar. Taringnya yang kekuningan tersembol keluar daripada mulutnya. Ada air liur yang meleleh jatuh daripada mulutnya ke tanah. Setiap air liur yang menyentuh tanah merebakkan lagi kegelepan yang semakin menghampirinya.
Lembaga itu merenung tajam ke arah Nalisa. Perlahan-lahan dia mengambil langkah mendekati Nalisa. Jelas sekali dia dapat menghidu ketakutan yang lahir daripada lubuk hati Nalisa. Mungkin rasa takut itulah yang merangsang naluri pemangsanya kepada Nalisa. Lembaga itu bukan manusia dan bukan binatang. Dia juga bukan kedua-duanya. Dia hanyalah sesuatu yang lahir daripada minda-minda negatif manusia. Perasaan takut adalah salah satu daripadanya.
"Jangan! Jangan datang dekat!" Nalisa diselubungi ketakutan. Dia mengulangi ayat-ayat itu beberapa kali.
Semakin kuat jeritannya itu, semakin laju lembaga itu menghampirinya.
"Pergi! Pergi jauh dari aku!" Nafasnya semakin laju. Jeritan tersebut semakin kuat dan semakin mendesak. Air mata yang bertakung di kelopak matanya melimpah ke kedua-dua pipi gebunya. Tangannya yang menggigil dicengkam kuat pada lantai. Perlahan-lahan dia mengengsot menjauhi lembaga itu. Namun begitu, usahanya tidak mampu menyelamatkannya apabila kakinya ditangkap lembaga itu.
Dia meronta sekuat hati namun tidak mampu meleraikan genggaman lembaga itu. Di saat itu, dia hanya terbayangkan kematian. Saat yang lebih perit, di mana Si Pencabut Nyawa muncul dan menarik roh keluar daripada jasadnya. Kesakitannya bukan sesuatu yang boleh dipersoalkan. Saat dan ketika langsung tidak boleh dilewatkan apabila ajal tiba. Sebaik rohnya dicabut, sudah pasti dia akan dihidangkan dengan satu pemandangan yang menyeksa jiwanya di mana tubuhnya dimakan lembaga tersebut. Dalam dunia ini, tiada yang lebih menyakitkan daripada tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya memandang dan menahan rasa sakit di dalam hati.
Di saat nyawa Nalisa di hujung tanduk, terdetik satu ketika di mana dia redha dan berserah kepada Yang Maha Esa. Lantas satu sinaran cahaya yang amat terang muncul. Lebih terang dan lebih menenangka berbanding cahaya yang sebelum ini. Cahaya itu membutakan lembaga itu. Perlahan-lahan setiap inci kegelapan yang mula lenyap dan tinggal lah hanya cahaya.
Nalisa terbaring lemah. Dia cuba menenangkan diri. Nafasnya perlahan-lahan kembali normal. Mata dikejam. Kejadian tadi cuba untuk dilupakannya. Dia sedar sesuatu tentang kejadian tadi. Segala apa yang kita kecapi tidak akan kekal. Manusia memang tak boleh lari daripada masalah. Kadang-kadang masalah tu akan melemahkan kita, buat kita berputus asa apabila jalan penyelesaian. Tapi percayalah bahawa Tuhan adalah penyelesaian bagi segala masalah. Yakin lah dengan kekuasaannya. Minta lah bantuan daripadanya, nescaya segalanya akan dapat diatasi. Itu lah yang membezakan manusia dengan Tuhan. Kita meminta daripada-Nya dan dia akan makbulkannya setimpal dengan apa yang seharusnya kita dapat. Sebagai manusia, kita harus sentiasa taat dengan segala perintah-Nya.
Dalam beberapa detik, dia terlena. Apabila dia terjaga, dia dapat merasakan satu atmosfera yang berbeza. Udara di sekelilingnya ada bau yang agak kurang menyenangkan. Dia membuka mata. Selari dengan pandangan matanya, lampu pendarfluor yang menyala terang menyakitkan matanya. Dia melihat persekitarannya. Benar jangkaannya. Dia sedang berada di hospital dan dikelilingi perkakas-perkakas elektronik. Bau yang dihidunya itu adalah bau ubat-ubatan.
Dia kenal benar dengan bau itu kerana dia pernah ditempatkan di hospital selama beberapa minggu selepas sebuah kemalangan jalan raya. Mujur ketika itu dia bersendirian dan tiada kecederaan serius. Cuma ada sedikit pendarahan dalaman dan semestinya dia menjadi subjek ujikaji kepada doktor sehingga terpaksa berada agak lama di hospital. Namun, dia tetap bersyukur kerana dia pulih sepenuhnya. Hanya ada sedikit parut yang tertinggal sebagai peringatan kepadanya agar tidak memandu dengan laju dan terburu-buru ketika hari hujan. Masih jelas di ingatannya tentang kemalangan tersebut di mana kereta yang dipandunya berpusing beberapa kali di sebuah jalan raya kosong sebelum terbalik dan kembali ke kedudukan asal. Kereta tersebut tersadai pada bahu jalan. Nalisa tidak sedarkan diri. Mujur ada kereta yang lalu di jalan itu dan menelefon ambulans bagi pihaknya. Jika tiada bantuan, nescaya dia sudah lama meninggalkan dunia ini. Sejak hari itu, dia sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya apabila melalui jalan itu untuk pulang ke rumah orang tuanya. Tambahan pula orang ramai mengatakan kawasan itu 'keras'. Memang itu perkara biasa kerana sesetengah kawasan memang menjadi lokasi yang sering berlaku kemalangan. Manakala jalan-jalan lebuh raya pula dibuat merentas hutan. Kita sendiri tidak tahu mungkin ketika lebuh raya itu dibina, ada perkampungan makhluk halus yang dimusnahkan. Wallahualam.
Kali ini, Nalisa sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh sampai ke situ. Dia sedar pengalaman bertemu lembaga yang menakutkan itu cuma lah mimpi. Tetapi adakah pengalaman dia diculik dan diikat pada sebuah pokok juga adalah mimpi? Dia harap itu hanyalah mimpi kerana pengalaman itu amat menyakitkan dan tidak akan pernah hilang daripada ingatannya.
"Kau dah bangun, Nalisa?" Satu suara yang seperti pernah dikenalinya menyapa.
Dia mengamati wajah itu bagaikan tidak percaya. Walaupun ada garis-garis yang berubah sejak kali terakhir dia melihat wajah itu, tetapi wajah mesra tersebut masih dikenalinya dengan begitu jelas. Senyuman mesranya menghilangkan segala kekusutan yang menyesakkan mindanya.
"Difu, macam mana kau boleh tahu aku dekat sini?" soal Nalisa yang masih terasa hairan.
Difu tersengih. "Kau lupa ke, dalam negeri Sabah ni, tak ada berita yang aku tak tahu."
Nalisa membalas seloroh Difu dengan menjelirkan lidahnya. Mereka berdua ketawa.
"Sebenarnya Nalisa..." Difu mematikan ayatnya. "Kau rehatlah dulu. Lain kali aku cerita. Aku cuma datang jenguk kau sekejap je ni. Aku balik dulu."
Nalisa mengangguk tanda faham. "Terima kasih datang melawat aku."
Difu meninggalkan Nalisa di wad itu. Wajahnya yang tadi kelihatan mesra mula berkerut. Masih banyak perkara yang menyesakkan mindanya. Hanya dia yang tahu apa yang bermain di fikirannya.
"Aku tak boleh berhenti lagi. Nyawa pendudukSabah dalam bahaya."

ANDA SEDANG MEMBACA
Kanibal
Mystery / ThrillerHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.