"Celaka!" Aidil menumbuk dinding. Marah.
"Shhh, jangan buat bising. Nanti kau akan tarik perhatian orang ramai," tegur Fahmi.
Aidil masih belum berhenti menyumpah seranah dalam hatinya. Sudah setengah jam mereka berada berdekatan lobi hotel tetapi bayang Hafizah langsung tidak kelihatan. Perkara yang mereka takuti telah berlaku.
Sekarang, tiga jejaka kacak itu sedang menunggu Nalisa ke bilik hotelnya untuk mengambil barangnya. Setelah beberapa ketika, Nalisa turun dengan tangan kosong.
"Polis dah buat sekatan. Bilik tu dah dilabel sebagai lokasi siasatan," ujar Nalisa. Dia fikir tiada apa-apa yang perlu disiasat oleh polis di biliknya.
"Bilik aku pun. Mungkin sebab siasatan kes Khairul belum selesai," duga Fahmi.
"Mungkin polis sangka korang bertiga masih hilang di hutan," luah Difu.
"Mungkin juga." Nalisa bersetuju. Dia masih ingat sebelum mereka mendaki tempoh hari, mereka menjalani beberapa prosedur yang melibatkan beberapa helai borang dan juga bayaran.
Mereka berempat saling berpandangan. Semuanya kosong tanpa apa-apa idea.
"Jadi, apa kita nak buat seterusnya?" tanya Fahmi.
"Apa yang lanun tu nak sebenarnya?" tanya Aidil sambil menghalakan pandangannya ke arah Nalisa.
Nalisa menelan liur. Dia mengumpul keberanian untuk menceritakan hal yang telah berlaku kepada dirinya. "Semasa aku kena tangkap dulu, diorang kurung aku atas kapal. Dalam sangkar besi." Nalisa mula bercerita. "Diorang akan seksa aku untuk suka-suka. Makanan yang aku dapat cuma sisa-sisa. Jadi aku biasanya tak makan makanan tu. Aku tak lalu nak makan. Aku tak ubah dilayan macam binatang tak berakal. Selepas itu, diorang bawak aku ke hutan. Diorang..."
Suara Nalisa tersekat di kerongkong. Dia hilang keberanian untuk terus bercerita.
"Diorang jadikan Nalisa sebagai umpan untuk tangkap raksasa tu."
Dahi Aidil berkerut. Dia risau tentang Hafizah.
"Lanun tu bukannya lanun biasa. Ketua mereka ada rancangan jahat dalam fikirannya," tambah Difu.
"Lelaki yang digelar prof itu?" soal Nalisa inginkan kepastian.
Difu mengangguk. "Prof Abdul."
"Macam mana kau tahu semua ni? Kau kerja apa sebenarnya?" Fahmi mula curiga.
Difu menarik nafas panjang. Sejujurnya dia tidak mahu identitinya terbongkar. Dia cuba mencari alasan. "Aku tak boleh ceritakan di sini. Nanti aku ceritakan."
"Kau perlu ceritakan semua yang kau tahu kalau kita nak selamatkan Hafizah. Tapi seua tu boleh tunggu malam nanti. Sekarang ada benda penting yang kita perlu buat." Pandangan Aidil beralih ke arah Fahmi.
*****
Fahmi membetulkan tali lehernya. Dia perlu kelihatan segak. Dia rasa seperti sudah lama dia tidak menyarung baju kemeja dan berpakaian sut penuh begini. Dia membimbit sebuah beg bimbit. Dengan tenang dia berjalan masuk ke dalam balai polis. Tanpa berlengah dia terus ke kaunter.
"Saya nak ikat jamin Encik Amin bin Zack," ujar Fahmi yakin. Dia tidak boleh memberi ruang untuk polis mencurigainya.
Ini semua adalah rancangan Aidil. Dia kata mereka semua perlu bersatu untuk selamatkan Hafizah. Setiap kemahiran yang ada perlu digabungkan untuk menjayakannya.
"Encik ni siapa ya?" soal polis di kaunter.
"Saya peguam dia." Fahmi mengeluarkan sekeping kad yang tertulis nama syarikat guaman tempat dia bekerja beserta alamat dan nombor telefon pejabatnya. Sudah lama dia tidak menggunakannya sehinggakan kadang-kadang dia lupa bahawa dia sebenarnya adalah seorang peguam. "Maaf, saya ambik masa lama untuk datang ikat jamin dia. Maklumlah saya tinggal di semenanjung. Dan saya kena tempah tiket dan bla bla bla baru lah saya boleh datang ke sini," tipu Fahmi. Sebagai seorang peguam, secara automatik dia mempunyai kemahiran menipu yang baik. Benar, seorang peguam itu kerjanya selangkah ke syurga dan selangkah ke neraka. Mereka sama ada menegakkan tiang keadilan atau meruntuhkannya. Bergantung atas prinsip peguam itu sendiri.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kanibal
Mistério / SuspenseHafizah yang sudah lama hendak bercuti di Sabah berjaya mencapai hasratnya. Malangnya, legenda bulan berdarah muncul kembali di negeri di bawah bayu itu. Dia perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.