Prolog

6.7K 170 10
                                    

MENDENGAR suara ibu berdehem, aku dan Kak Ima serentak berpaling ke muka pintu.

"Pandai betul kau menggoda Tauke Wan tu ya?" Suara mendatar ibu, mencucuk gegendang telingaku.

Semerta berubah air mukaku bertembung dengan anak mata ibu yang tajam menikam. Beberapa saat sahaja kami bersabung pandang sebelum aku lekas melarikan anak mata ke arah lain, menyembunyikan rasa kecut dan terkejut. Terus terhenti perbualanku dengan Kak Ima berkaitan Tauke Wan.

"Kau tak malu ya berkawan dengan orang macam Tauke Wan tu! Kau tak sedar siapa diri kau? Keturunan perampas!" Melengking suara ibu menyerbu ke lubang telinga.

Kepalaku terpanggung sedikit, merenung jauh ke hujung halaman rumah. Gelaran di akhir ayatnya menyentap jantungku. Keningku bertaut. Kolam mataku berkaca. Pedih, pilu, sakit hati dan bingung!

Apa maksud ibu? Keturunan perampas? Siapa perampas? Abah? Atau ibu sendiri? Aku ingin melontar segala tanda tanya tetapi bibirku dikunci oleh sentuhan lembut di lenganku. Kak Ima memaut lenganku erat.

"Ibu cakap apa ni?!" Sedikit tinggi suara Kak Ima berbalas kata. Meninggikan nada suara apatah lagi menderhaka bukanlah sikap sebati Kak Ima, satu-satunya kakak yang aku ada. Tetapi dia tiba-tiba jadi berani. Mungkin didorong rasa tanggungjawabnya melindungi si adik yang terluka.

Ibu mendengus sinis.

"Jangan ingat selama hari ni aku diam, aku buat pekak, aku buat buta, aku tak tahu perangai sebenar kau, Nur Zahra! Aku kenal...cukup kenal! Perangai kau memang sebijik macam dia! Dasar perampas!!" Ibu masih belum puas menghambur lahar kemarahannya ketika air hangat merembes di pipiku.

Bibir kuketap kuat, mengurung tangis yang hampir pecah. Air mata yang laju mengalir menodai pipi tidak langsung kuhiraukan. Sungguh aku tidak mengerti kenapa ibu harus mendera hati dan perasaanku hingga sebegini rupa. Kenapa ibu? Kenapa? Batinku hendak menjerit tetapi lidahku kelu.

"Ibu cakap pasal siapa?" Kak Ima kebingungan. Sama sepertiku, dia juga tidak memahami gerangan siapakah yang sedang dimaksudkan ibu.

"Huh!!" Dengusan kasar ibu sempat singgah ke pendengaran sebelum derap langkah kaki dan tongkatnya kian menjauh. Terburu-buru ibu masuk ke dalam rumah, meninggalkanku dan Kak Ima tertanya-tanya.

Namun seluruh tanda tanya bubar tika Su Liya muncul di halaman rumah. Aku yakin ibu ternampak kelibat adiknya yang baru pulang dari ladang itu. Mungkin sebab itulah ibu terus berlalu tanpa sempat memanjangkan sengketa. Malas hendak melibatkan Su Liya pastinya.

Su Liya menuruni motosikal lalu mendekat ke arah kami yang masih duduk di pangkin depan rumah.

"Kenapa ni? Apa yang dah jadi? Ima? Kenapa Nur menangis?" Su Liya berdiri betul-betul di hadapanku, mengusap air mataku dengan jemarinya.

"Ibu marah Nur." Pantas Kak Ima menjawab.

Aku mengeluh perlahan lalu berdiri tiba-tiba. Wajah yang basah kulap dengan hujung tudung bawal yang tersarung di kepala.

"Nur nak ke mana?" Su Liya bertanya.

Tawar senyumanku menjamah matanya.

"Nur nak jalan-jalan, ambil angin."

"Kakak ikut!" Kak Ima segera menuruni anak tangga menghampiriku.

Aku pantas menggeleng, membejat niatnya hendak menemaniku kala ini. Aku tahu Kak Ima diselubungi kebimbangan melihat tingkahku yang aneh. Takut kalau-kalau aku melakukan sesuatu perkara di luar kewarasan. Tetapi aku ingin bersendiri. Tanpa menunggu lebih lama, aku terus memecut pergi meninggalkan Su Liya dan Kak Ima terkebil-kebil.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now