love

1.9K 108 22
                                    

-TEASER SAHAJA-

“Apa pendapat Nur tentang ladang ni?”

Aku mengulum senyum membalas renungan redup Abang Adli. Betapa tidak, satu kebiasaan Abang Adli yang berjaya kutangkap ialah dia gemar melontar pertanyaan yang memaksaku menggerakkan saraf otak mencari jawapan.

“Menarik sebab Nur tak pernah tengok. Rasa geram aje nak petik anggur-anggur ni.”

Aku mendongak memerhati gugusan-gugusan anggur yang bergayut betul-betul di atas kepala. Tawa kecilku terlepas melihat kepala Abang Adli yang sesekali terlanggar buah anggur yang bebas bergantungan.

“Kenapa tanya? Abang nak tanam anggur pulak ke?” Aku tersenyum sinis.

Abang Adli ketawa perlahan.

“ALLAH, tak adalah fikir sampai ke situ. Abang mana ada duit nak buat ladang anggur.” Keluh Abang Adli berpura-pura sayu.

Di luar sedar bibirku terjuih ke hadapan meragui kenyataannya. Sebagai petani moden, masakan tidak langsung terlintas di hati Abang Adli untuk menanam anggur setelah berkunjung ke ladangnya walaupun keadaan kewangan yang terbatas mengekang niat.

“Apa mulut herot-herot tu? Tak percayalah tu!”

Getus Abang Adli tidak berpuas hati membuatkan aku ketawa lepas. Lucu melihat mimik mukanya yang cemberut.

Aku melepaskan penat di bangku yang tersedia. Tidak kuhiraukan Abang Adli yang masih ralit merakam gambar sebelum turut melabuhkan duduk di sebelahku. Peluh renik membasahi wajah dijilat panas matahari.

Rengekan anak kecil menarik perhatian ke arah sepasang suami isteri yang berusaha memujuk anaknya yang kuagak berusia dalam lingkungan kurang dari setahun. Barangkali bayi itu tidak selesa dengan cuaca panas sebab itulah dia meragam.

Kesepian membuatkan aku segera menyedari kewujudan lelaki di sebelah. Dari ekor mata, aku perasan renungan Abang Adli melekat di wajahku. Semerta jantung berdegup kencang. Seketika aku dibuai kekalutan, tidak tahu hendak berbuat apa. Malu berbaur silu.

“Seronok, kan? Muda-muda dah ada anak.”

“Hemmm.”

Apa lagi yang mampu kubalas ketika minda seakan-akan dapat meneka apa yang sedang berlayar di fikiran Abang Adli.

“Agak-agaknya, bila giliran kita pulak?”

Hampir luruh jantungku apabila Abang Adli merapat, berbisik lembut di telinga.

“Err…kita pun dah ada anak.”

Dalam malu aku masih mahu mengusik Abang Adli.

Kerutan di dahi Abang Adli membiaskan kehairanan.

“Anak kucing.” Aku berlagak polos. Sedaya mungkin mengawal bibir dari memuntahkan tawa melihat muka Abang Adli yang melopong.

“Anak kucing nak buat apa?” Dia menggetus geram kerana dipermainkan.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now