Bab 14

2.4K 136 43
                                    

SUASANA ruang tamu sepi sama sekali. Yang kedengaran hanyalah suara jurunikah membaca khutbah nikah dan menerangkan secara umum tentang tanggungjawab suami isteri dan perkara yang berkaitan rumah tangga dari sudut agama. Kemudian dia berjabat tangan dengan pengantin lelaki, mengucapkan lafaz ijab sebelum disambut lafaz kabul oleh Abang Adli. Bibirku mengalun tahmid berulang kali kerana dengan sekali lafaz, aku dan Abang Adli bersatu dalam ikatan suci yang dipanggil perkahwinan.

Aku menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh jurunikah. Kemudian, Abang Adli membaca taklik dan menurunkan tandatangan di atas sijil nikah sebelum dia meminta diri untuk mendirikan solat sunat dua rakaat sebagai tanda syukur kerana majlis akad nikah sudah selamat berlangsung. Beralih ke arahku, Pak Mus menyerahkan sijil nikah memintaku menurunkan tandatangan di ruang yang disediakan.

Sementara menanti kemunculan Abang Adli, Su Liya dan Kak Ima mencuri peluang menarik perhatianku. Kucupan mereka singgah di pipiku serentak dengan ucapan tahniah. Entah mengapa hatiku tiba-tiba digamit rasa sayu merasakan gelaran isteri yang kusandang menjadi benteng pemisah antaraku dengan Su Liya dan Kak Ima. Mataku berkaca ketika usapan lembut Su Liya singgah di pipi kanan.

"Jadilah isteri yang taat pada suami, sayang."

Aku mengangguk lemah. Tidak sedar air jernih turut melimpah dari tubir mata.

"Hei, janganlah nangis. Dah jadi isteri orang, tak bolehlah nak manja-manja dengan Su lagi." Su Liya pantas menyeka linangan air mata di wajahku sebelum aku melontarkan diri ke dalam dakapannya.

Perasaanku berbaur mengenangkan nasib diri yang terikat pada Abang Adli, lelaki yang kini memegang gelaran sebagai suamiku. Entahkan untung atau malang, belum pasti kerana takdir yang mendatang bukan dalam jangkauan manusia. Tetapi tidak putus aku memanjatkan doa, berharap ikatan yang terjalin akan berkekalan sehingga saat maut yang memisahkan biarpun perasaan sebenar Abang Adli tiada dalam pengetahuanku. Kesanggupan Abang Adli mengorbankan diri demi menyelamatkanku dari Pak Lang Juhari berterusan menjadi tanda tanya. Sedikit pun dia tidak mengkhabarkan maksud tindakannya. Jauh sekali mengungkapkan cinta mencurahkan hampa dalam jiwaku.

"Abang tak nak Nur kahwin dengan Pak Lang. Abang tak nak Nur tinggalkan study semata-mata sebab Nur nak ikut cakap ibu Nur." Hanya itulah kata-kata Abang Adli yang berulang kali berputar di kepala, menjelaskan kekaburan di benakku.

Jujur kukatakan agak tertekan dengan permintaan Abang Adli yang menginginkan perkahwinan kami dipercepatkan. Selain dari ibu, aku juga memberontak tetapi dalam diam. Aku tidak mengerti makna kemahuan Abang Adli yang bersungguh menyegerakan perkahwinan. Anehnya Su Liya tetap bersetuju walaupun keputusan yang dibuat mengundang prasangka buruk jiran tetangga serta pekerja ladang. Bukan aku tidak tahu cerita-cerita buruk yang tersebar. Segala-galanya berpusar tentang hubunganku dengan Abang Adli. Dan perkahwinan segera ini seolah-olah membenarkan telahan mereka yang dahagakan berita-berita sensasi.

Persiapan yang dibuat cukup sederhana. Kenalan dan jiran-jiran terdekat sahaja yang diundang ke majlis kecil-kecilan yang diadakan. Itu pun untuk mengelakkan umpat keji sekiranya mereka melihat Abang Adli berulang-alik ke rumahku. Malah tiada anggota keluarga Abang Adli yang hadir. Menurut Abang Adli, bapanya tidak sihat jadi dia tidak dapat menghadirkan diri ke majlis kami yang serba ringkas. Entahkan betul atau tidak. Hal yang berlaku sedikit sebanyak mengikis kepercayaanku pada Abang Adli.

"Yang penting akad nikah, Nur. Biar antara kita ada ikatan yang halal dulu kemudian baru kita fikir hal lain. Soal majlis, abang tak nak Nur fikir sekarang. Abang janji, kita akan buat majlis tapi kita tunggu lepas Nur habis study." Begitulah jawapan Abang Adli bila aku mempertikaikan tindakan Abang Adli yang tergesa-gesa seolah-olah mengejar sesuatu.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now