Bab 6

1.9K 117 18
                                    

SETINGGI-tinggi rasa syukur kupanjatkan kepada ALLAH kerana aku terpilih untuk melanjutkan pengajian di utara tanah air. Jauh terpisah dari Kak Ima tetapi dia tetap gembira kerana aku berjaya merealisasikan impianku menyambung pengajian setanding dengannya.

Pada saat aku sibuk membuat persiapan untuk kemasukan ke universiti, kami dikejutkan oleh kunjungan keluarga Pak Lang Juhari yang berhajat besar.

"Kedatangan kami sekeluarga ni membawa hasrat Alang Juhari yang berkenan nak ambil Nur sebagai isteri. Jadi, apa kata Dijah dengan Liya?" Seorang lelaki berambut putih tersenyum-senyum menanti maklum balas dari Su Liya yang nyata terkejut manakala ibu beriak selamba.

"Kami harap sangat Dijah sekeluarga terima pinangan kami. Yalah, Alang Juhari tu dari dulu sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Bila tiba-tiba dia mintak kami pinangkan Nur untuk dia, saya rasa bersyukur sangat. Akhirnya ALLAH buka pintu hati dia nak beristeri." Sampuk seorang wanita bertubuh gempal.

Su Liya dan ibu saling berpandangan.

"Macam nilah. Boleh bagi kami tempoh beberapa hari? Bukan apa, soal pinangan ni bukan perkara main-main. Saya nak kena berbincang dulu dengan empunya badan." Bijak ibu menyusun patah bicara yang selebihnya seperti menghempas batu ke kepalaku. Betapa tidak, bicara ibu seolah-olah membawa sinar harapan pada keluarga Pak Lang Juhari.

"Kira jadi ajelah Dijah. Haiii...bukan senang nak dapat pinangan dari orang kaya. Nak pulak budak-budak zaman sekarang. Ada yang tak tahu nak jaga diri. Berkepit dengan lelaki ke sana ke mari. Bila ada orang pinang, jual mahal pulak." Suara lain pula mencelah.

Biarpun tidak menyebut nama sesiapa, tetapi sekeping hati meyakini bahawalah akulah gerangan yang dimaksudkan. Tentulah keakrabanku dengan Abang Adli dijadikan perencah madahnya.

Tidak sanggup menelinga lagi, aku mengangkat langkah menjauh membawa fikiran yang berkecamuk. Seboleh mungkin aku cuba mengelak dari bertemu dengan ibu mahupun Su Liya. Tidak bersedia hendak mengulas tentang pinangan Pak Lang Juhari yang hanya menyemakkan otak. Bagaikan mengerti niatku, Su Liya tidak menganggu. Begitu juga dengan ibu.

Kak Ima sendiri gagal menenangkan hatiku yang dilingkari galau. Ruang fikir disarati bermacam alasan sesuai untuk menolak hajat Pak Lang Juhari. Mana mungkin aku mahu menerima lelaki itu menjadi suami.

Sudahlah jarak perbezaan usia antara kami terlalu jauh. Kalaulah arwah abah masih hidup, tentu dia sebaya dengan Pak Lang Juhari. Teratas daripada itu, aku belum bersedia mahu menempuh alam perkahwinan. Keinginan mengejar cita-cita seperti Kak Ima lebih mendominasi hati.

Sentuhan lembut di bahuku mengembalikanku ke alam nyata. Senyuman hambar kuhadiahkan kepada Kak Ima sebaik pandangan kami bertaut.

Kak Ima melabuhkan duduk di sebelahku seraya merengkuh kepalaku ke dadanya. Sebagai pasangan kembar biarpun tak seiras, tentulah dia turut merasai suram jiwaku.

"Nur tak nak kahwin kak. Nur tak nak kahwin dengan dia. Nur nak masuk U, nak belajar sama macam kakak." Suara yang terlontar bersulam sendu. Sesungguhnya, itulah yang sedang kurasakan. Mengapa ibu tidak mengerti keinginan yang menggoncang diriku? Mengapa harus dicantas perjalanan yang sudah teratur elok buatku?

"Jangan risau, Nur. Kakak akan cuba pujuk ibu, mintak ibu tolak pinangan Pak Lang. Kakak pun tak sanggup tengok Nur kahwin dengan dia tu." Kak Ima cuba menenangkan menerbitkan rasa terharu di pinggir hati. Betapa tidak, di saat-saat begini, hanya Kak Ima dan Su Liya yang sudi mendengar rintihan serta membantuku mencari jalan keluar. Sedang ibu sendiri, sentiasa berusaha menggandakan derita jiwa yang kualami.

"Tak payah nak pujuk-pujuk budak tu Ima!"

Aku tersentak kecil dijerkah ibu yang tiba-tiba muncul di ruang tamu. Tidak berani mengangkat muka, aku sekadar menunduk. Sisa keberanian mencicit lari entah ke mana. Hilang terus patah bicara yang terangka di minda yang rata-rata berbau penolakan pinangan Pak Lang Juhari.

Terhincut-hincut ibu mengatur langkah menghampiri sambil bertompang pada tongkat ketiaknya sebelum menghempas punggung di kerusi tidak jauh dari kami.

"Ibu tetap dengan keputusan ibu. Ibu nak dia terima aje Pak Lang Juhari tu jadi suami. Lagi bagus kahwin dengan orang tua daripada hidup nak memalitkan lumpur kat muka aku!" Kasar bicara ibu menombak luka di tangkai jantung.

"Tapi Nur dah dapat tawaran masuk U. Ibu tak boleh buat macam tu. Kesianlah dekat Nur, ibu. Nur pun anak ibu jugak, sama macam Ima." Kak Ima cuba memancing simpati ibu, mengharapkan belas ihsan darinya.

"Budak ni bukan anak aku! Aku tak ada anak yang hanya tahu nak memalukan keluarga!"

Sekali lagi perasaanku bagai dihiris-hiris belati tajam. Tak semena-mena kelopak mataku digenangi air hangat. Walaupun sudah berkali-kali telinga diterjah ayat yang hampir serupa, tetapi bisanya tetap kurasa sehingga ke saat ini.

"Kau tak sedar ya? Orang kampung dah mengata kau sana-sini! Sibuk nak berkawan dengan tauke ladang tu tak padan dengan diri sendiri. Sedarlah, kau tu bukan anak orang senang. Jangan ingat yang Tauke Wan tu akan sembah kaki kau, bagi apa aje yang kau nak!" Bagaikan tiada sifat perikemanusiaan, ibu menghadiahiku kata-kata yang cukup memilukan jiwa.

"Kira nasib baiklah sebab masih ada orang yang nak kat kau walaupun dah satu kampung duk bercerita pasal kau. Kau sepatutnya bersyukur, ada jugak orang yang nak ambik kau jadi isteri." Ibu meneruskan kata tanpa menghiraukan kondisi sekeping hatiku yang terluka parah. Rupa bicara ibu seolah-olah Nur Zahra tidak pernah lahir dari rahimnya.

Kak Ima mengerlingku sekilas sebelum berbalas kata.

"Ibu, Ima merayu...bagi peluang untuk Nur sambung belajar."

Ibu mendengus kasar.

"Belajar ke tak belajar, sama aje! Perangai serupa tu jugak! Jadi lebih baik dia kahwin, biar suami dia yang ajar dia. Ima jangan serabutkan kepala fikir masalah orang. Ima balik rumah nak bercuti, bukan nak pening-pening tolong orang lain."

"Kak Dijah!" Su Liya muncul dengan telekung masih tersarung di kepalanya. Kulit wajahnya jadi merah padam. Barangkali menahan amarah mendengar bicara ibu yang bisa lagi menyakitkan.

"Sudah-sudahlah tu kak. Akak tak rasa bersalah ke dengan arwah Abang Mad? Apa yang arwah pesan pada akak sebelum dia meninggal?" Sama macam ibu, suara Su Liya turut meninggi. Mungkin sekadar ingin menyedarkan ibu agar melontar kata jangan ikut sedap mulut sahaja.

Seperti yang dijangka, ibu tergemap di tempat duduk. Bibirnya terkatup rapat. Entah mengapa, jika berhadapan dengan Su Liya, keupayaan mulut ibu persis lumpuh seketika.

"Jangan asyik fikir perasaan akak sorang aje. Fikirlah perasaan orang lain sama." Su Liya berjeda, menebar pandangan di laman wajah sugulku serta Kak Ima.

"Saya akan pastikan yang Nur akan sambung belajar. Nanti biar saya sendiri yang akan ke rumah Pak Lang, bagitahu dia yang kita tolak pinangan tu. Nur muda lagi dan nak sambung belajar. Akak tak ada hak nak halang apa yang Nur buat. Sebabnya? Macam yang akak cakap tadi, Nur bukan anak akak, kan? Jadi terang-teranganlah yang akak tak ada ke atas Nur."

Suasana ruang tamu dibungkus sepi. Baik aku mahupun Kak Ima, masing-masing membisu melihat Su Liya berlenggang meninggalkan ibu yang kematian idea. Namun dalam diam aku memanjatkan kesyukuran dikurniakan seorang ibu saudara yang sanggup membela nasibku yang terpinggir dari kasih dan perhatian ibu.


Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now