Adli Hadwan

2.3K 105 15
                                    

Biasa.

Dia lelaki biasa.

Hanya lelaki biasa.

Bukan jutawan.

Bukan hartawan.

Bukan jua si tampan.

Dia hanyalah seorang pemuda kampung. Namun lelaki ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Bicaranya menghibur hati. Fikirannya berseni.

Nikmat memilikki ibu hanya seketika menjadikan dia anak yang lebih bergantung pada ayah, Tuan Hanafi. Semenjak kecil, hidupnya sekadar dikelilingi ayah dan Adra, satu-satunya adik kandung yang dia punya.

Di bangku sekolah, dia remaja bermasalah. Seringkali mencetuskan kemarahan si ayah semata-mata mahu membolot perhatian. Jiwa mudanya memberontak. Namun pertemuan dengan Juliana, mengusir kenakalan. Atas dorongan gadis itu, Adli Hadwan berubah. Tingkahnya mula disenangi.

Bersungguh-sungguh dia menuntut ilmu. Biar selari dengan Juliana yang ingin menyambung pengajian di Turki. Kerana cinta remaja, Adli Hadwan mempertaruhkan masa hadapan. Biar rapuh keyakinan, dia sanggup memilih bidang yang sama semata-mata mahu menuruti kekasih hati.

Setelah beberapa ketika, Adli Hadwan ketandusan motivasi. Juliana memungkiri janji. Patah hatinya apabila Juliana memilih untuk berkahwin dengan lelaki lain. Nanar. Adli Hadwan kehilangan cahaya hidup. Langkahnya terbejat. Pelajarannya kandas sama sekali.

Pada saat dia tercari-cari arah tujuan, ayah tampil sebagai penyelamat. Jiwa yang lemau ditiupkan semangat. Sang anak yang terkulai layu dipimpin keluar dari gelap. Tuan Hanafi reda tatkala Adli Hadwan memutuskan untuk menghentikan perjuangannya menuntut ilmu.

Kunjungan Adli Hadwan ke Bostans, Istanbul menemukan lelaki itu dengan pemandangan yang belum pernah dilihat. Petak tanaman sayur di sepanjang Kubu Kota Konstatinopel membongkar minat yang terpendam. Adli Hadwan tekad pulang ke tanah air bersama azam baru. Dia ingin berbakti kepada tanah.

Tanah ladang kelapa sawit peninggalan arwah datuknya di Pahang memberi laluan untuk Adli Hadwan melaksanakan impian. Kebun bandar di Istanbul benar-benar mendorong darah mudanya bekerja keras. Hal ehwal pertanian dikaji dan didalami. Berbekalkan suntikan modal dari simpanan dan bantuan Tuan Hanafi, Adli Hadwan berusaha menjadi usahawan.

Tauke Wan. Panggilan untuk Adli Hadwan. Panggilan yang menaikkan semula motivasi dirinya. Terik matahari tidak diendahkan. Panas membahang bukan penghalang. Adli Hadwan bangkit dari kekecewaan dan kegagalan. Biarpun perjalanannya agak sukar dan tidak selancar yang lain, tiada kesal. Ladang sayuran organik yang diusahakan berharap dapat memberi manfaat untuk masyarakat.

Seiring masa, jiwanya pulih. Hidupnya hanya bertunjangkan cita-cita sehingga takdir menemukan Adli Hadwan dengan seorang gadis muda bertingkah nakal. Nur Zahra. Raut indah itu menarik hati lelakinya. Sendu di wajah itu menggandakan keinginan mendekati. Namun keadaan tidak mengizinkan dia menyingkap hasrat yang tersembunyi.

Dia Dambaan Hati ~ mencoretkan kisah Adli Hadwan dengan Nur Zahra.

*Saja merapu. Dalam Dia Dambaan Hati, cerita lebih fokus pada Nur Zahra. Sejarah hidup Adli Hadwan agak minima. Jadi, saja nak tampal kat sini.


Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now