Bab 4

2.1K 104 9
                                    

PERTEMUAN demi pertemuan meleburkan tekadku untuk menyingkirkan sebaris nama Adli Hadwan dari hati. Wajahnya menjadi santapan sepasang mata saban hari sejak aku menerima usul Su Liya untuk kembali bekerja di ladang sementara menunggu keputusan STPM diumumkan.

Biarpun terpaksa mengerah keringat di bawah terik matahari tetapi aku lebih suka berbanding terpaksa berhadapan dengan sikap ibu di rumah yang merimaskan dan melukakan perasaan.

"Nur!"

Aku tersentak mendengar laungan Abang Adli. Berterabur lamunan yang terlayar di minda. Lambaian tangannya menggamit kedatanganku.

"Buat apa tercegat kat situ? Kenapa tak masuk ke ladang?"

Soalan pertama Abang Adli menerjah lubang telinga. Pasti dia tertanya-tanya melihatku duduk di parkir motosikal.

"Nur tertinggal ni." Selamba aku menayang bekal makanan di hadapan Abang Adli membuatkan lelaki itu mengulum senyum.

"Dah lama Nur tak nampak abang." Aku mengubah topik.

Abang Adli mengeluh perlahan. Dia duduk mencangkung menghadap tanaman lidah buaya di dalam pasu.

"Dua tiga minggu ni abang memang busy. Lebih-lebih lagi sejak abang terlibat dalam Program Jualan Terus Dari Ladang ke Pasar Tani."

Seketika Abang Adli berjeda mempelawaku duduk di bangku plastik yang dibawanya.

Beberapa saat menimbang tara baik buruknya, aku duduk tidak jauh dari Abang Adli. Kebimbangan memburuku. Takut kalau ada mata-mata yang memerhati dan mengata. Bukan aku tidak tahu, keakrabanku dengan Abang Adli mengundang umpat keji para pekerja di ladang.

"Dah tahu diri tu bukan orang senang, ada hati nak berkawan dengan Tauke Wan!"

"Nak tumpang senanglah tu! Mana tahu kalau-kalau Tauke Wan nak kat dia. Bolehlah jadi pisau cukur."

Bermacam kata nista dilempar. Namun aku berpura-pura pekak, tidak mendengar cemuhan mereka di sekeliling. Pedih memang pedih tetapi perasaan itu kupendam sendiri. Tidak mahu dihebah-hebah. Untuk apa? Mengemis simpati?

"Rajin abang tanam pokok lidah buaya ni. Tak cukup ke dengan sayur-sayur yang berlambak kat ladang sana?" Dalam melahirkan rasa kagum aku sempat menyelit sindiran.

Abang Adli tertawa perlahan.

"Perli nampak!"

Senyumanku menghiasi bibir.

"Abang memang suka tanam pokok-pokok yang ada banyak manfaat macam pokok lidah buaya atau lagi famous dipanggil aloe vera ni. Pokok lidah buaya antara tumbuhan semula jadi yang paling banyak khasiat untuk manusia. Orang perempuan lagi suka sebab aloe vera mampu mengubati jerawat dan mengekalkan kulit berseri dan segar."

Sementara Abang Adli tekun berbicara, aku mencuri kesempatan meliarkan pandangan ke sekitar laman wajahnya yang hitam manis. Bersih tanpa sebutir jerawat.

"Hemmm, betullah!"

"Apa yang betullah?" Abang Adli mendongakkan muka mencari anak mataku.

"Patutlah tak ada jerawat langsung, rupanya pakai aloe vera." Di hujung ayat aku meleretkan suara. Apa lagi niatku kalau bukan hendak mengusiknya.

Sekali lagi Abang Adli memuntahkan tawa.

"Abang pun baru nak cuba. Itu yang rajin nak menanam pokok lidah buaya ni."

"Assalamualaikum."

Perbualanku dengan Abang Adli terbantut. Hampir serentak kami berpaling ke arah orang yang memberi salam.

Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an sedang berdiri tegak. Senyumannya membugar tatkala pandangan kami bertembung.

"Eh, Pak Lang Juhari!" Abang Adli bingkas menanggalkan sarung tangannya sebelum berjabat salam dengan Pak Lang Juhari diiringi senyuman ceria.

Seketika mereka berbual sementara aku hanya menjadi pemerhati. Sesekali aku menyedari kerlingan Pak Lang Juhari.

"Ni anak arwah Muhammad dengan Khadijah ya?"

Aku sedikit tersentak diterjah pertanyaan Pak Lang Juhari yang tiba-tiba. Sejenak aku terpinga-pinga ketika dua pasang mata melekat di mukaku. Lambat-lambat aku mengangguk.

Senyuman di rekahan bibir Pak Lang Juhari semakin lebar.

"Dulu masa arwah Muhammad ada, anak-anak dia kecik lagi. Sekarang dah makin besar, cantik pulak tu."

Tak semena-mena pipiku membahang hangat disapa pujian Pak Lang Juhari yang ramah bercerita. Malu.

"Nama apa?" Pak Lang Juhari masih menggali peluang mengajakku melontar kata.

"Err...Nur. Panggil Nur aje."

Sejenak Pak Lang Juhari sekadar menggumam.

"Nur buat apa sekarang? Belajar lagi?"

Asakan tanda tanya dari Pak Lang Juhari membuncah rasa kurang senang namun sedaya mungkin perasaan itu aku kurung, tidak tersingkap ke roman wajah.

"Nur ni tengah tunggu result nak masuk U, Pak Lang. Sementara tak ada buat apa kat rumah, saya ajaklah dia kerja sini." Melihat aku hanya membisu tanpa mahu bersuara, Abang Adli menyuakan jawapan sebagai ganti. Barangkali dia dapat membaca riak yang terpeta di mukaku mendorongnya menjadi penyelamat keadaan.

Kepala Pak Lang Juhari terangguk-angguk. Renungan dari sinar matanya mengirim gundah-gulana di hati. Entah makna apa yang tersirat di sebalik pandangannya, tak terjangkau dek firasatku.

"Bila Nur masuk U?"

Keningku terangkat. Tidak sangka kerana masih ada pertanyaan yang dilemparkan Pak Lang Juhari.

"Err...tak tahu lagi." Dalam serba salah aku menjawab juga.

Suasana dibungkus sepi seketika sebelum Abang Adli memecahkan hening.

"Nur, abang ada urusan dengan Pak Lang. Nanti kita jumpa lagi."

Aku menarik nafas lega. Abang Adli bagai memahami resah yang berperang di dadaku menyuruhku pergi. Sekuntum senyuman indah kuhadiahkan pada teruna yang mencuri hatiku saban waktu sebagai tanda terima kasih sebelum segera beredar.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now