Bab 13

2.2K 137 28
                                    

SEKALI lagi pinangan Pak Lang Juhari ditolak. Su Liya dengan rela hati memainkan peranan sebagai orang tengah. Tidak sanggup melihatku menjadi isteri kepada lelaki tua tetapi mengidam 'pucuk muda' itu. Namun demi menyelamatkan keadaan, Su Liya mendorongku menerima pinangan Abang Adli. Setidak-tidaknya Pak Lang Juhari tidak akan berani mahu mencuba nasib lagi.

Kedinginan ibu semakin dirasakan. Ternyata dia membangkang sekeras-kerasnya keputusan yang telah diambil tetapi Su Liya dan Kak Ima cepat menenangkanku, memintaku mengabaikan sikap ibu yang tidak pernah menyenangkan.

Aku menarik nafas dalam-dalam cuba meredakan debaran yang menyendati dada. Gementar seluruh urat sarafku menghitung detik pertemuanku dengan Abang Adli. Kehadiranku tidak dimaklumkan terlebih dahulu kerana bimbang akan mengganggu konsertrasi lelaki itu. Tetapi aku tahu dia berada di ladang berdasarkan maklumat yang kukorek dari Su Liya.

Sejujurnya aku belum mempunyai jawapan pasti. Jika diikutkan hati yang mengasihi tentulah pinangannnya kuterima dengan senang hati. Tetapi sebahagian hati digigit ragu-ragu dan tidak pasti. Cinta sahaja tidak cukup untuk dibuat bekal menempuh gerbang perkahwinan. Kesediaan fizikal dan mental perlu diutamakan. Terasa diriku begitu muda dan mentah untuk bergelar isteri.

"Umur bukan penghalang Nur...kalau ikutkan rasa tak sedia tu, sampai bila-bila pun kita takkan pernah rasa bersedia untuk berkahwin dalam erti kata sebenar. Pasal belajar pulak, Nur kena berbincang baik-baik dengan Adli. Su tak rasa Adli akan sekat keinginan Nur nak belajar sebab dia tahu apa matlamat hidup Nur. Jalan yang terbaik, Nur kena duduk berbincang dengan dia. Nur cakap apa yang Nur nak, biar dia tahu."

"Kakak tengok taman ni makin cantik pulak." Suara Kak Ima mengembalikanku pada realiti, mengusir bayangan Su Liya.

Mengikut sorot matanya, aku turut memerhati sekitar taman yang berubah dengan kehadiran meja bulat dikelililingi empat kerusi yang diperbuat daripada konkrit. Bilangan pasu sudah semakin berkurangan kerana tumbuh-tumbuhan dibiar tumbuh meliar di atas tanah. Sempadannya dipagari susunan botol-botol kaca berwarna coklat yang diterbalikkan. Kayu pallet yang menjadi sandaran pasu-pasu kecil yang diperbuat daripada botol-botol plastik masih berdiri teguh. Pemandangan hijau menyerlahkan kayu pallet berwarna putih yang disulami kuntuman bunga berwarna-warni begitu menarik perhatian.

"Ada apa ni?"

Aku tersentak disergah suara Kak Anis yang langsung tidak mesra. Pantas aku berpusing seraya mendekati Kak Ima yang berdiri tidak jauh dari kerani pejabat Abang Adli itu.

"Kak Anis...Aba err...Tauke Wan ada?" Gugup nadaku. Hampir sahaja aku terlepas menyebut panggilan nama yang biasa kugunakan untuk Abang Adli.

Dahinya berkerut seiring riak jengkel yang terlukis di muka. Jelas tidak senang dengan kemunculanku mencari majikan kesayangannya.

Kak Anis menyilang tangan ke dada, menayang riak sombong yang menyebalkan mata yang melihat. Tentulah Kak Ima dijentik rasa yang sama kerana dua kali kami saling berpandangan bertukar isyarat mata.

"Ada...tapi dia ada kerja kat ladang. Kenapa nak jumpa dia? Ada hal penting ke? Cakaplah, nanti Kak Anis bagitahu Tauke Wan."

Aku mengetap bibir menahan olakan rasa malu yang membekam di jiwa. Terasa menyesal pula kerana datang ke ladang semata-mata hendak bertemu dengan Abang Adli. Buat malu diri sahaja lebih-lebih lagi di hadapan Kak Anis. Sepatutnya, aku berhubung terus dengan Abang Adli menggunakan teknologi yang sedia ada. Tidak perlulah aku menebalkan muka berdiri di hadapan Kak Anis yang terang-terangan menolak kehadiranku.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now