Jealous

2.2K 121 46
                                    

-TEASER SAHAJA-

Lelah memaksaku berlabuh di bangku berdekatan Alisa dan Zahidah membakar sate ikan. Menggunakan akhbar yang dilipat, aku mengipas kulit muka yang membahang hangat. Sempat anak mata mencuri pandang pada keriuhan kumpulan Abang Zarif bersama teman-teman lamanya. Walau di mataku, bilangan mereka sudah cukup ramai tetapi masih ada yang belum sampai.

"Hoi, mana aci mengelat! Cepatlah, tolong sama! Nanti boleh main banana boat!" Jerit Alisa. Dia ketawa mengekeh bila aku mencerun, memarahinya dalam bisu. Malu kalau-kalau suara gadis itu mencuri tumpuan kumpulan Abang Zarif.

Sejak tadi, bukan aku tidak perasan renungan-renungan nakal teman-teman Abang Zarif menghala ke arah kami. Pasti kecantikan Alisa dan Zahidah menarik minat mereka.

Baru hendak mengangkat punggung, pergerakanku membeku saat anak mata tertancap pada kelibat Mitsubshi Triton berwarna putih yang sangat kukenali. Lama aku mengekori arah tuju kenderaan itu sehingga ia berhenti di kawasan tidak jauh dari tempatku berada.

Sekonyong-konyong, jantung berdenyut pantas. Berdebar-debar menanti pemandunya menampakkan diri. Namun aturan nafas tersekat ketika pintu di sebelah penumpang terbuka. Terasa ingin pitam sebaik sahaja seorang gadis anggun berambut panjang merapatkan pintu, menanti Abang Adli mendekatinya.

Lemah lutut ketika gadis itu mesra memaut lengan suamiku seraya menyangkutkan kaca mata hitam yang dipakainya ke kolar baju Abang Adli. Bertali arus tanda tanya menyerang benak, tertanya-tanya siapa gerangan gadis jelita yang mendampingi suamiku?

Oksigen kusedut dalam-dalam, cuba meredakan gelora cemburu dan sakit hati yang menghempas. Daripada memandang, aku memilih untuk berpura-pura tidak nampak. Berharap kewujudanku tiada dalam pengetahuan Abang Adli. Keadaan tidak mengizinkanku mendekatinya. Tiada teman-teman yang mengetahui tentang pernikahanku kecuali Alisa.

"Nur, tolong letakkan sate ni kat meja sana."

Bibir kugertap kuat diterjah arahan Alisa yang masih belum berpuas hati melihatku duduk berehat. Geram kerana dia seperti sengaja hendak mengenakanku. Tetapi memikirkan dia tidak tahu apa-apa, permintaannya kuturuti tanpa banyak cakap.

Terkocoh-kocoh aku berjalan, meletakkan pinggan berisi sate di atas meja. Tidak sempat hendak melarikan diri, Abang Zarif memanggil.

"Sudahlah tu, Nur. Dari tadi tak henti buat kerja. Pergi ajak kawan-kawan makan. Nak makan sekali dengan Abang Zarif pun tak apa."

Sekali lagi aku terasa seperti hendak pitam. Terkejut disapa Abang Zarif yang baru bersalaman dengan Abang Adli. Pastilah kini Abang Adli menyedari kehadiranku.

Hendak terus berlalu, bimbang Abang Zarif malu sendiri kerana aku mengabaikannya. Lambat-lambat aku berpusing, memandangnya dengan senyuman canggung.

"Abang Zarif makanlah dulu, nanti kita orang makan."

Aku ingin segera meninggalkan kawasan yang mulai memanggang hati. Tetapi dayaku melumpuh menangkap suara manja wanita di sebelah Abang Adli.

"Abang, kat sini panaslah. Kita duduk kat sebelah sana ya?"

'Abang?'

Terasa hendak tersungkur aku mendengar panggilan itu. Namun riak terkejut tidak kulepaskan ke riak muka. Beku wajahku seolah-olah Abang Adli bukan sesiapa.

Dalam hendak melarikan diri, pandanganku berlaga dengan renungan Abang Adli. Agak lama kami bersabung pandang sebelum Abang Zarif menyuraikan.

"Nur, jangan pandang kawan Abang Zarif ni lama-lama. Orang dah kahwin tu."

"Oh, err..."

"Jom pergi main banana boat!"

Kiranya jeritan Izri mencaras situasi yang merimaskan. Meminta diri, aku pantas menjauh. Tidak sanggup mahu berlama-lama di situ pada saat lengan suamiku sedang dipeluk mesra oleh wanita lain! 

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now