When you leave me

2.2K 137 70
                                    

-TEASER SAHAJA-

"Abang tak percayakan Nur?" Provokku dalam suara yang tertahan-tahan.

Abang Adli diam tanpa balasan. Sepenuh perhatian difokuskan pada pemanduan.

"Kalau tak percaya, kenapa simpan Nur lagi?"

Berhenti pada lampu isyarat, pandangan Abang Adli beralih ke mukaku. Berbekalkan cahaya yang sangat terbatas, aku nampak percikan amarah yang terpantul dari renungan tajam sepasang matanya. Rahangnya bergerak-gerak, lagak orang menahan perasaan sahaja.

Debar menendang dada. Sepanjang mengenali Abang Adli, inilah kali pertama dia mempamer riak tegang. Berbeza benar dari dirinya yang sentiasa ceria dan gemar mengusik.

"Abang faham kalau suami isteri bergaduh tu memang dah jadi resam hidup orang berumah tangga. Tapi cara Nur ni macam sengaja nak cari gaduh dengan abang. Kenapa? Apa masalah Nur? Abang buat salah apa?"

Bertubi-tubi soalan melompat dari mulut Abang Adli membuatkanku hanya mampu menelan liur. Serius nadanya usah dikata. Kemesraan melayang entah ke mana.

Benak kukerah menggali idea untuk melawan ketika Abang Adli kembali memandu.

"Buat apa kahwin kalau tak ada kepercayaan? Abang ingat Nur ni apa? Tak ada perasaan? Nak telan aje bila abang tuduh Nur macam-macam?" Tukasku tidak bertangguh.

Abang Adli tidak segera menjawab.

"I know you well, Nur Zahra. Hal sekecik ni takkan buat Nur melatah sampai cakap yang bukan-bukan." Selar Abang Adli dengan nada mendalam.

Aku mendengus seraya menyilang tangan di dada.

"Kecik pada abang tapi besar pada Nur. Abang tak percayakan Nur!"

Abang Adli ingin memegang tanganku tetapi pantas ditepis.

"Sayang, I'm sorry. Bukan tu maksud abang."

"Memang senanglah abang cakap sebab bukan abang yang rasa!" Di luar kawal, aku menempelak suami di sebelah. Namun perasaan bersalah kubenam dalam-dalam.

Abang Adli berdecit.

"Nur dah banyak berubah! Nur buat abang macam tak ada perasaan! Nur ingat abang suka bila Nur buat abang macam ni? Abang call banyak kali susah nak jawab. Abang WhatsApp pun jarang nak balas. Tak dengar lagi cara Nur bercakap dengan abang. Sepuluh patah abang tanya, sepatah aje Nur jawab. Bila abang datang, macam ni pulak layanan Nur pada abang. Lagi abang bengang bila Nur tak pakai cincin! Kalau ya pun tak suka, at least pakailah depan abang untuk jaga hati."

Nafas kuhirup dalam. Letupan emosi lelaki di sebelah sedikit-sebanyak menggugah keberanian. Kesalahanku disenarai satu per satu menandakan lelaki itu menyedari cubaanku menjarakkan diri darinya.

"Nur dah tak suka abang?"

Pedihnya nubari ditusuk pertanyaan Abang Adli. Tetapi aku cuba mengeraskan hati, berlagak seolah-olah tidak langsung terkesan dengan soalannya.

"Nur rimas!"

Hanya setelah suaraku mencecah telinga, barulah aku tersedar akan keterlanjuran lidah melontar kata. Pendek tetapi sudah cukup untuk menyentak ketenangan Abang Adli.

Alang-alang sudah memulakan, biarlah kucipta penyudahnya.

"Kononnya abang nak support Nur, nak tolong Nur capai cita-cita. Nak Nur habiskan study sampai sanggup kahwin dengan Nur. Tapi dalam masa yang sama abang ambik kesempatan! Abang lupa janji abang! Nur rimas tahu tak bila abang datang, abang selalu call. Nur ni banyak kerja nak buat. Last sem ni lagilah tak sempat nak buat apa-apa. Nur ni terkejar-kejar nak siapkan semua benda tapi abang pulak buat-buat tak faham. Ajak Nur pergi sana-sini!"

Belum sempat aku menghabiskan bicara, Abang Adli segera membuat pusingan U. Dalam kelajuan, tindakan mengejutnya mengundang bahaya. Hampir sahaja tubuhku menghimpit ke pintu kenderaan. Mujurlah cepat aku berpaut pada tempat pemegang khas. Tali pinggang keselamatan turut menyelamatkanku.

Denyut jantung berubah kencang. Aura kemarahan Abang Adli memenuhi ruang udara di dalam kenderaan. Sepanjang perjalanan pulang ke kampus, dia bungkam tanpa sebarang kata. Situasi yang sangat melemaskanku dalam pusaran perasaan bersalah, takut dan sedih.

Mitsubishi Triton berhenti di hadapan blok kediaman.

"Nur boleh turun. Biar abang seorang pergi rumah Kimi." Mendatar nadanya. Malah dia langsung tidak menoleh.

Dahiku berlapis. Muncul tanda tanya besar di kepala. Pelik tentunya kerana beriya-iya Abang Adli datang ke mari semata-mata hendak ke rumah Kimi di Perlis.

"Kenapa nak pergi rumah Kimi?"

"Pak Mat dah tak ada. Arwah meninggal petang tadi. Nur turun, abang dah lambat." Abang Adli mengerling jam di pergelangan tangannya. Masih seperti tadi, mukaku tidak ingin dipandang.

Terkejut. Spontan beralun doa untuk orang meninggal dunia seiring rasa bersalah. Melihat dari keakraban mereka, pemergian orang tua itu pasti mengganggu jiwa Abang Adli. Simpatiku membuak.

Sisi wajah Abang Adli kurenung sayu.

"Err...abang..."

Ingin sahaja aku meraung apabila panggilanku tidak diendahkan. Lengan kirinya kupaut erat.

"Abang, Nur mintak maaf kalau kata-kata Nur buat abang sakit hati."

Senyap. Sunyi. Abang Adli mengeraskan tubuh.

"Abang..."

Bulat mataku ketika Abang Adli merungkaikan lingkaran jemariku di lengannya.

"Abang tak tahu selama ni itu yang Nur rasa bila abang tunjukkan kasih sayang abang. Abang tak tahu sikap prihatin abang buat Nur rimas. Abang mintak maaf sebab salama ni abang tak pernah nak faham keadaan Nur. Tapi sekarang, abang nak Nur faham keadaan abang. Abang dah lambat, abang nak Nur turun sekarang." Abang Adli mendekatkan tubuhnya, menolak pintu di sebelahku. Cukup untuk memaklumkan bahawa dia benar-benar menginginkanku keluar dari kenderaan.

Akur dengan kehendaknya, aku menurut. Sebaik sahaja pintu dirapatkan, Abang Adli memecut pergi. Meninggalkanku sendiri, mengelap air mata yang menodai pipi.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now