Adli 1

1.4K 48 9
                                    

Kali ni kita bagi POV Adli masa mula-mula jumpa Nur. Selamat membaca!

Adli Hadwan
***** *****
“TAUKE Wan!”

Panggilan Anis membantutkan langkah. Tidak jadi memulas tombol pintu, aku berpaling memandang gadis itu. Kening terjongket.

“Kenapa Anis?”

“Tadi Kak Liya ada bawa anak saudara dia masuk kerja. Hari tu Tauke Wan cakap nak cari pekerja lagi. Sebab tu Anis bagitahu pekerja lain kot ada yang berminat.”

Makluman Anis segera menarik ingatan pada peristiwa beberapa hari lepas. Kekurangan tenaga di bahagian bangsal baja mendesakku menambah bilangan pekerja. Kasihan Uncle Lee dan Pak Mus. Tidak menang tangan jadinya. Mana hendak membuat baja, hendak mengangkut hasil tanaman lagi.

“Hemmm…eloklah tu. Nanti boleh minta dia tolong Pak Mus dengan Uncle Lee angkat baja.” Mudah aku memberi jawapan. Setidak-tidaknya dapatlah aku menjimatkan masa, tidak perlu mencari pekerja lagi.

“Err…tapi dia perempuan!”

Sekali lagi tindakanku menolak daun pintu pejabat tergendala. Informasi Anis memancung kelegaan yang baru hendak menjalar ke dalam diri. Sejenak terdiam, otak ligat berputar. 

“Kalau macam tu tak apalah. Saya letak dia sekali dengan Kak Liya dan Mak Bibah-lah. Kalau Anis jumpa dia, cakap nanti saya yang akan train dia sendiri.”

“Okey, Tauke Wan!”

Lori yang sengaja tidak dimatikan enjin kupanjat sambil mencampakkan topi mengkuang di tempat duduk sebelah. Mengerling jam di tangan, aku diburu perasaan bersalah. Tentu Uncle Lee dan Pak Mus sudah mula memunggah baja-baja organik yang hendak dijual. Kesal berbelit di dada, memarahi diri sendiri. Dek tertidur selepas subuh, aku terlewat hendak ke ladang.

Pedal minyak ditekan. Ngauman enjin tidak merencatkan pergerakan sepasang mata yang bagaikan radar, memerhati batas-batas sayuran yang mula didasari warna hijau. Kegembiraan menyendati nubari melihat pemandangan di hadapan mata. Walaupun tidak segah kebun bandar yang pernah dilihat di Bostan, Istanbul dulu, tetapi hati tetap dilingkari perasaan puas. Impian yang dulu sekadar berlegar-legar di kepala kini berjaya direalisasikan.

Keasyikanku menghayati kehijauan dicantas ulah dua manusia. Dahi berlapis apabila seorang terduduk dan seorang lagi berdiri kaku. Diterjah rasa ingin tahu, lori segera diberhentikan di tengah laluan. Raut Kak Liya yang menyeringai kesakitan bersama seorang gadis yang ketara cemas menerpa ke ruangan mata ketika aku menghampiri. 

“Kenapa ni?” Pandangan tertancap pada kaki Kak Liya yang dibasahi darah.

“Err…mak cik saya terpijak paku.”

Lunak suara itu menarik perhatian. Lingas bola mata melekat di seraut wajah resah di sebelah Kak Liya. Sepasang mata gadis muda itu memancarkan satu kilasan cahaya yang mengundang rasa aneh. Tak semena-mena dada bergetaran.

Mulut berdecit kecil, tidak menyenangi perasaan yang tiba-tiba datang bertandang. Mengingkari kehendak hati untuk terus memandang, anak mata dikembalikan pada Kak Liya yang terduduk kesakitan.

“Kita papah Kak Liya naik lori. Saya hantar pergi klinik.” Bersusah-payah aku dan si gadis manis itu memapah Kak Liya menghala ke arah lori.

“Eh, tak payahlah bawa pergi klinik! Kalau Kak Liya letak bawang putih yang dah dibakar, okeylah ni.”

Permintaan Kak Liya diabaikan. Terpijak paku berkarat bukan boleh dibuat main. Silap hari bulan boleh terkena kancing gigi. Malah lebih teruk sehingga membawa pada kekejangan otot. Sekurang-kurangnya, penyakit yang berpunca daripada bakteria Tetani pada paku berkarat itu boleh dihalang dengan mengambil suntikan Anti-Tetanus Toxoid.

Tidak banyak bercakap, Kak Liya menurut sahaja setelah lori diberhentikan di hadapan klinik.


Sementara menunggu Kak Liya yang berada di dalam bilik rawatan, pandangan dilirikkan pada gadis muda yang duduk selang dua kerusi dariku yang kupercaya adalah anak saudara Kak Liya yang dimaklumkan Anis tadi. Gelisah jelas terpancar di tampangnya, menarik bunga senyum di bibirku.

“Janganlah risau, mak cik awak tak apa-apa.”

Pantas gadis itu berpaling, melempar pandangan yang sukar dimengertikan. Lukisan di wajahnya menarik minat untukku terus memerhati. Saat ini kesal menimpaku berganda-ganda kerana tidak cakna untuk mendapatkan maklumat gadis itu daripada Anis. Paling tidak, biarlah sebaris namanya melekat di kepala.

Licik akal cuba mencari helah untuk merungkai desakan hati.

“Saya Adli, salah seorang pekerja kat ladang.” Benteng malu sudah kurempuh. Bersiap-sedia untuk menayang sengihan tak bersalah sekiranya ditempelak oleh gadis itu yang nampak tidak berminat dan ragu-ragu hendak berbual denganku.


“Pekerja baru? Tak pernah nampak pun sebelum ni.” Kejanggalan yang dipamerkan mendorongku untuk mencipta perbualan santai. Keinginan hati yang begitu melonjak-lonjak mahu mengorek maklumat tentangnya gagal dibendung.

“Nur baru aje habis SPM. Sementara tak buat apa ni, ada baiknya Nur tolong Su kat ladang.”

Sedaya mungkin aku menahan bibir dari membentuk huruf ‘o’. Sebaris namanya sudah terpasak di fikiran. Nur. Berulang kali namanya diseru, biar melekat kukuh di situ. Eh, takkan Nur aje? Namun mujurlah pertanyaan itu tidak sampai terluah dalam suara. Nampak ketara benar diriku yang begitu berminat mahu mengambil tahu tentangnya. Sudahnya aku sekadar mengangguk.

“Dah jumpa Tauke Wan?”

Senyuman manis kuhadiahkan tatkala pandangan kami berlaga. Soalan berbau perangkap itu sekadar hendak mengetahui sama ada dia sudah mengenali ‘Tauke Wan’ atau belum. Jika belum, berpeluanglah aku mahu mengenalinya sebagai teman santai tanpa didominasi rasa hormat kepada majikan.

Gelengan disua sebagai jawapan membuat hatiku bersorak riang. Sinar harapan untuk mendekati Nur semakin terang. Entah apalah daya tarikan yang dimilikki gadis itu sehingga berjaya membuat perasaanku nanar begini?

Keluhan yang terhempas dari bibirnya menarik perhatian.

“Kenapa mengeluh?”

Nur terdiam sebelum memberi jawapan yang merentap ketenangan.

“Tauke Wan tu cerewet eh?”

Ditujah pertanyaannya, aku tidak mampu hendak menahan bibir. Selamba sahaja aku melambakkan tawa sambil tergeleng-geleng. Betapa tidak, Nur memintaku mengulas diri sendiri? Lalu, gambaran bagaimana yang harus kuhidang?

“Bagi abang, Tauke Wan tu okey aje. Dia baik dengan semua orang.” Berhenti. Setakat itu sahaja yang mampu kuhuraikan peribadi sendiri. Kalau berlebih-lebih nanti bimbang Nur mengungkit di kemudian hari saat ‘penipuanku’ terbongkar.

***** *****

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now