Bab 7

2.1K 109 15
                                    

MENURUT Su Liya, Pak Mus yang akan menghantarku ke Kedah. Kami akan bertolak sehari sebelum hari pendaftaran. Namun kunjungan Pak Mus di pagi yang dijanjikan membawa berita mengejut. Pucat mukanya cukup menggambarkan kesihatan Pak Mus sedang terganggu sehingga tidak memungkinkan dia memandu dalam perjalanan yang jauh.

"Tapi Pak Mus dah mintak tolong dengan Tauke Wan. Dia dah setuju nak hantar Nur pergi Kedah."

Tersentak. Lama laman wajah Pak Mus kutatap, mencari kepastian. Melihat tiada seulas senyuman yang terukir di bibirnya meyakinkanku bahawa Pak Mus tiada niat mahu bergurau.

Resah menghimpitku. Sejak ibu mengaitkan nama Abang Adli, dalam diam aku memasang tekad mahu menjarakkan diri dari lelaki itu. Hubungan kami lebih banyak disalaherti berbanding difahami. Tetapi berita yang dibawa Pak Mus membuat hatiku jadi tak keruan.

Perjalanan dari Pahang ke Kedah bukannya dekat. Berlama-lama dengan Abang Adli di sisi boleh menyebabkan kasih yang terkunci menggebu kembali. Namun kepada siapa lagi yang dapat kusandarkan harapan menghantarku ke sana?

Dengan separuh hati aku merelakan sementelah Abang Adli sendiri sudah bersetuju. Orang sudi membantu masakan aku mahu membantah-bantah lagi. Nanti dikata tidak tahu bersyukur pula.

"Tauke Wan cakap bertolak lepas asar. Siang ni dia ada kerja."

Bicara Pak Mus kutelan dengan rasa yang berbaur.

Seperti waktu yang dijanji, Mitsubishi Triton yang dipandu Abang Adli menjalar masuk ke halaman rumah. Tergesa-gesa kami bersiap. Kasihan Abang Adli menunggu lama.

Aku meletakkan bagasi dan beg bimbit di muka pintu sebelum mendapatkan ibu di ruang tamu. Mengambil giliran selepas Kak Ima, aku tunduk menyalami tangannya. Sekejap sahaja kulit kami bersentuhan sebelum ibu pantas menarik tangannya. Tingkah ibu persis jijik benar dengan sentuhanku.

Pandanganku kabur digenangi air jernih. Lambat-lambat aku bangun menyapu si air mata yang hendak menitis.

"Akak jaga rumah elok-elok. Saya dah minta tolong Inang datang tengok-tengokkan akak." Su Liya menyalami ibu sebelum menggesaku dan Kak Ima agar cepat. Tidak wajar buat Abang Adli tertunggu-tunggu.

Sejenak aku terpaku memerhati tingkah Abang Adli mengangkat bagasi dan begku. Penampilannya agak berlainan dari hari-hari biasa. Di ladang dia nampak selekeh dengan t-shirt dan jeans lusuh berserta kasut but dan topi, menggambarkan kerjayanya sebagai petani. Tetapi hari ini dia kelihatan begitu santai tetapi kemas dengan seluar jeans hitam dan t-shirt putih berkolar jenama Polo.

Senyuman manis di wajah Abang Adli menampan mata, menyurutkan sedikit kesedihan yang melanda.

Sepanjang perjalanan aku membisu di tempat duduk belakang. Kak Ima sudah lama terlena. Hanya Su Liya sahaja bersembang dengan si pemandu. Aku tahu Su Liya dihantui kebimbangan. Dia takut Abang Adli mengantuk sekali gus menggugat fokus pemanduan. Kerana itulah dia bertahan mengekang kelopak mata dan mencetus perbualan.

Entahkan betul atau perasaan aku sahaja, kurasakan Abang Adli mencuri pandang melalui cermin pandang belakang. Sesekali aku sengaja menoleh cermin mencari kebenaran. Cepat sahaja dia melarikan fokus mata. Kesal datang bertimpa-timpa kerana memilih duduk di belakangnya.

'Ah, mungkin dia memandang kenderaan di belakang!' Aku cuba melunakkan hati yang kian merusuh dan semakin ditimpa perasan!

Berhenti solat di masjid, aku terus bertukar tempat dengan Kak Ima. Aku memekakkan telinga mendengar bebelannya. Namun sekejap sahaja ketenangan mengulitku. Selepas berhenti makan, Su Liya menyuruh Kak Ima duduk di sebelah Abang Adli memandangkan dia keletihan kerana sepanjang masa menahan mata.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now