hurt!

2.2K 137 77
                                    

-TEASER SAHAJA-

“Abang dah makan?”

Persoalanku disambut angin malam. Aku jadi malu sendiri. Mujurlah ruang kamar sekadar diterangi cahaya lampu tidur di sebelah Abang Adli. Kekelaman berjaya menyembunyikan perubahan air mukaku.

“Hemmm. Dah, dengan Ima tadi.”

Agak panjang jarak waktu yang diambil untuk dia menyuakan jawapan yang kedengaran acuh tak acuh sahaja.

Nama Kak Ima yang meluncur dari bibirnya menggandakan lara di laman rasa seiring cemburu seorang isteri.

Bukan aku tidak perasan keakraban antara kedua-duanya belakangan ini. Sejak awal, memang itulah yang kuharap-harapkan. Biarlah Abang Adli kembali ke dalam hidup Kak Ima seperti yang dimahukan ibu.

Sebagai isteri yang mencintai, bohonglah kalau kukatakan tiada langsung hasad dengki melihat kemesraan mereka. Tidak tahan terus-terusan makan hati maka aku lebih gemar terperap di dalam bilik berbanding menyertai kerancakan perbualan mereka.

Tetapi inilah risiko yang harus kutanggung saat mengambil keputusan mahu mengundur diri. Kehilangan seorang suami yang kusayangi demi kakak yang selalu melindungi.

Di luar sedar, air hangat mengalir di tubir mata. Cepat-cepat kukesat dengan belakang tangan, tidak mahu dilihat oleh Abang Adli. Dan ternyata lelaki itu langsung tidak mengendahkan kerana tumpuannya lebih berpusat pada telefon.

Sejenak aku terkesiap apabila Abang Adli memusingkan tubuh, membelakangkanku. Nampak benar dia tidak sudi lagi melihatku di sebelahnya. Berganda rusuhan di hati menyedari bertapa tingginya jurang pemisah antara kami. Hakikat aku bakal kehilangan Adli Hadwan semakin memburu ketenangan.

“Err…abang. Esok, Nur nak ajak kakak temankan Nur pergi pekan, boleh? Nur ingat nak cari barang…”

“Ima nak keluar? Kenapa dia tak bagitahu abang sendiri?” Pintas Abang Adli sebelum sempat aku menyudahkan kata.

Lama anak mata tertunak pada belakang tubuh Abang Adli. Dalam kekaburan pandangan, rindu menggamit rasa. Kalau dulu, belakangnya selalu kudakap dan usap penuh sayang. Namun malam ini, hanya pandangan yang mampu melampiaskan kehendak hati.

“Nur yang nak cakap dengan abang. Kalau kakak ambik cuti separuh hari, boleh?” Gugup suaraku menahan pilu yang menyendati dada.

Abang Adli diam lagi. Kebisuannya semakin mendera emosiku.

“Esok kita orang dah ada appointment dengan pegawai pertanian. Tengoklah macam mana. Nanti abang cakap dengan Ima.”

Bergulung rasa kecewa yang membadai. Balasannya yang berbau penolakan menambahkan kesedihanku. Sudahlah keinginanku meluangkan masa dengan Kak Ima tersekat. Diasak pula dengan tingkah Abang Adli yang melebih-lebihkan Kak Ima berbandingku. Seolah-olah Kak Ima adalah isterinya. Bukan aku.

Lemau fikiran mencari akal hendak ke pekan. Sudah agak lama tidak keluar bersendirian menjadikanku kekok mahu pergi ke pekan berseorangan. Jika tidak Kak Ima, Abang Adli-lah yang biasa menjadi peneman setia. Kenyataan itu mendalamkan lukaku. Lelaki di sebelah sudah tidak ingin mempedulikanku lagi.

Mengingatkan hal itu, rembesan air mata semakin laju. Bibir kuketap kuat mengurung sendu yang mahu meledak.

Bimbang tangisanku terburai, bingkas aku menuruni katil seraya menyepit rambut. Tidak betah berterusan ditekan situasi yang sangat merimaskan. Aku hendak meninggalkan ruang kamar ketika panggilan Abang Adli menampan telinga.

“Nak pergi mana?” Masih seperti tadi, dia tidak langsung menoleh.

“Err…nak pergi tengok Hanif. Rindu pulak dengan dia.”

Di saat fikiran bercelaru, alasan yang melintas di kepala terlontar begitu sahaja tanpa sempat aku berfikir kemungkinan dibidas Abang Adli.

“Dah lewat macam ni, Hanif dah tidur!” Kasar sahaja nadanya menujah ke lubang telinga.

Tergagap aku memberi dalih.

“Nak tengok sekejap aje. Lepas tu nak ambik angin kat luar.”

Abang Adli mengalihkan tubuh. Anak matanya memanah ke mukaku. Tajam dan beku.

“Kalau setakat nak pergi canang masalah rumah tangga kat orang lain, baik duduk senyap-senyap dalam bilik. Tak payah nak menambahkan dosa sedia ada!”

Bagai disiat-siat hatiku ditikam setiap bicara Abang Adli. Betapa rendahnya aku di mata Abang Adli sehingga mendorongnya berfikiran seperti itu. Mungkin baginya aku adalah isteri yang suka mengadu-domba walhal selama ini aku tidak pernah menceritakan masalahku kepada sesiapa. Pahit maung kehidupan semuanya aku simpan sendiri.

Berjauh hati dengan Abang Adli, dia kutinggalkan tanpa sebarang balasan. Biarlah kalau sudah begitu fikirnya.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now