you broke my heart

2.1K 118 56
                                    


-TEASER SAHAJA-

Keasyikanku direntap deringan telefon pintar milik Abang Adli. Spontan anak mata jatuh pada skrin meneliti nama pemanggil.

‘Yana Sayang’.

Kepala seperti dihentak batu besar. Terkejut bak orang baru terjaga dari lena yang panjang. Terasa tubuh menggigil.

“Insha ALLAH ada yang lebih baik menanti Juliana.”

“Manalah tahu jodoh Juliana dengan you.”

Bak pita perakam, perbualan Abang Adli dengan teman-temannya ketika kunjungan kami ke rumah Kimi dan Sarah di Perlis dulu kembali terimbau. Nama Juliana masih segar di ingatan. Firasat mengatakan pernah terjalin ikatan istimewa antara Abang Adli dengan Juliana. Dan mungkinkah Yana dan Juliana adalah orang yang sama?

Telefon itu menjerit sekali lagi setelah deringan yang pertama kubiar mati sendiri. Tiada sekelumit keinginan untuk menjawab bagi pihak Abang Adli ditekan cemburu dan sakit hati yang tak bertepi. Biar perempuan itu dibadai resah nanar mencari kekasih tercinta! Akal jahatku berbisik.

Namun segala macam perasaan terpaksa dibenam dalam-dalam apabila telefon Abang Adli berdering lagi. Aku menyambung talian dalam gelombang rasa yang tidak menentu.

“Abang!”

Seakan-akan hendak pecah dada sebaik sahaja suara mesra dan manja menyerbu lubang telinga.

‘Abang?’

Menjulang api cemburu meluap-luap membakar hangus kasih yang tersimpan. Tugu cintaku retak seribu.

“Err…maaf cik, Adli tak ada. Kejap lagi dia balik, saya suruh dia call cik balik ya?”

Aku mengawal nada suara menjadi selembut mungkin agar tidak terlampias perasaan yang sedang merajai.

Dengusan Yana sampai ke telinga. Cukup menggambarkan rasa tidak menyenangi.

“You ni siapa?” Kasar suara Yana. Langsung tidak mesra.

“Err…saya kawan Adli.” Gugup jawapanku menyerlahkan ketidakstabilan emosi.

Tidak tergamak hendak menggunakan perkataan isteri. Bimbang aku yang berbayang sendiri. Merasakan Abang Adli sudah berupaya membawaku masuk ke dalam hidupnya. Padahal dia sekadar melayanku atas dasar tanggungjawab seorang suami.

Yana terdiam sebelum merengus kuat. Tanpa salam atau kata-kata pamitan, dia terus memutuskan talian membuat aku terkedu.

Agaknya dia tidak dapat hendak mengawal api cemburu yang membakar jiwa apabila kekasih hati bersama perempuan lain. Sebab itulah dia bertindak sedemikian rupa.

Aku cuba berbaik sangka. Itu lebih baik daripada aku menganggap Yana ketandusan adab dan kesopanan. Masakan perempuan begitu layak digandingkan dengan Abang Adli yang jauh berbeza peribadinya?

Remuk-redam hati merenung kosong pada telefon pintar Abang Adli yang diletakkan di atas meja. Bergulung rasa kecewa bagai ombak gila menghempas pantai. Pilu mencucuk-cucuk tangkai hati. Perasaan bahagia yang mendakapku sejak di awal perjalanan lenyap entah ke mana diusir kenyataan pedih untuk ditelan.

Hati Abang Adli milik orang lain!

Harapan dan impian masa hadapan hancur lebur bersepai menjadi puing-puing yang dipukul puting beliung. Tanpa sedar tubir mata berkaca menzahir sakit yang menghunjam perasaan ke lembah nestapa. Seakan-akan sukar untuk kumamah hakikat sekeping hati milik Abang Adli sudah ditakluki. Bibir kuketap kuat mengurung getar duka yang berlagu. Sakitnya hati kala ini tak terungkap dalam kata-kata.

Dalam pergerakan yang tidak ketara aku menyapu mata melindungi kekecewaan yang melanda saat terpandang kelibat Abang Adli menghampiri sambil membawa minuman. Keindahan senyumannya seperti tidak sampai ke hati.

Dahi licinnya disimbah butir-butir keringat kecil dek bahang matahari yang menyengat.

“Sorry, lambat. Orang ramai.” Tutur Abang Adli lalu meletakkan punggung bertentanganku.

Bibir mengukir senyuman biarpun jelas hambar dan pahit. Seboleh mungkin aku mengelak dari bertembung pandang. Bimbang dia dengan mudah mengesan kekecewaan yang tentulah jelas terpancar lewat renungan.

Kuberi waktu Abang Adli mencicip minuman menghilangkan dahaga sebelum menolak lembut telefon pintar miliknya.

“Awek abang call.”

Aku tergamam mendengar nada suaraku yang mendatar. Jelas menggambarkan cemburu yang ditanggung!

Abang Adli memanggung muka menentang tepat ke bola mataku.

“Aik, macam jealous aje bunyinya.” Giat Abang Adli dengan senyuman mengusik.

“Memang pun!” Balasku selamba dengan riak serius.

Reaksi bagaimana lagi yang boleh kuhidangkan di saat perasaan yang terpendam hampir terbongkar. Namun kecewa datang bertimpa-timpa tika tawa senangnya menampar gegendang telinga menyerlahkan keriangan.

Siapa yang tidak bahagia apabila kekasih hati menghubungi. Apakah tidak bermakna gelaran isteri yang kusandang?
Namun persoalan itu berlalu pergi mengingatkan permulaan hubungan kami.

“Kita kahwin bukan sebab suka sama suka.”

Terngiang-ngiang kata-katanya menombak luka di jiwa.

Aku berpura-pura tenang menyedut minuman ketika Abang Adli menghubungi Yana semula. Namun di dalam hati, pedih, pilu, sayu dan segala macam rasa bergumpal menjadi satu mengundang tangisan yang akan pecah pada bila-bila masa.

“Ya sayang. Ada apa call abang?”

Seperti hendak terbalik duniaku demi mendengarkan bicara Abang Adli yang begitu mesra. Aku menggigit bibir kuat, menahan perasaan. Namun aku takut gagal mengawal kecewa dan lara. Pantas sahaja aku bingkas berniat melarikan diri seketika.

Aku menunjukkan isyarat hendak ke tandas kepada Abang Adli yang tersenyum-senyum bahagia melayan celoteh kekasihnya.

Ah, sakitnya hati!

Di dalam tandas tangisan bisu terburai. Terhenjut-henjut bahu meladeni kesakitan akibat kegagalan cintaku. Hati seperti kaca terhempas ke batu. Hancur berderai. Sakitnya tidak terkira. Tidak henti-henti aku menyalahkan diri sendiri yang degil mengikut kata hati. Biarpun Abang Adli sudah menjadi suami, tidak bermakna dirinya kutakluki. 

‘ALLAH, tiupkanlah kekuatan semangat dalam jiwaku untuk menghadapi keadaan ini’.

Aku merayu memohon belas ihsan daripada ILAHI pada ketika ribut terus memukul hati. Esakanku semakin menghiba teringat DIA. Terasa kerdil benar diri ini.

Hampir 15 minit aku berkelana melayan duka nestapa di dalam tandas. Mujurlah tiada pengunjung lain yang masuk bersama. Buat malu sahaja kalau mereka melihat keadaanku seperti orang mati suami sahaja.

Aku terpaksa membasuh muka bagi menghilangkan kesan air mata. Lega mata tidak bengkak dan merah. Jika tidak, pasti dengan mudah sahaja Abang Adli menangkap gelombang rasaku.

Perasan sepasang mata Abang Adli terpanah tepat ke arahku membuat aturan langkah kalut sedikit. Tanpa memandang mukanya, aku melabuh duduk di kerusi yang ditinggalkan tadi lalu mencapai gelas minuman.

“Lama sangat pergi tandas sampai ais pun dah cair. Abang belikan air lain ya?”

“Tak apa, tak nak!” Jawabku pantas menahan Abang Adli yang berkira-kira hendak bangun.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now