Bab 10

2.3K 108 11
                                    

SESEKALI pulang ke kampung, aku gemar meluangkan masa duduk di atas di pangkin di halaman rumah. Angin yang berpuput lembut menghembus wajah mengirim damai di ruang rasa.

"Dari tadi kakak nampak Nur tersenyum-senyum. Ingat buah hatilah tu!"

Sapaan Kak Ima mengembalikanku ke dunia realiti. Menyedari diri tertangkap sedang mengelamun jauh, aku tersengih malu.

"Nur dah ada special boyfriend ke?" Kak Ima melabuh duduk di sebelahku. Rautnya serius tanpa segarit senyuman. Cukup memberi makna bahawa Kak Ima bukan hendak bergurau.

Aku tahu, melihatku yang mengelamun jauh membuatkan hati kecilnya dicuit bimbang. Takut adik kesayangannya hanyut tenggelam dalam lautan cinta sementelah aku berada jauh dari pantauannya. Tidak lain tidak bukan, dia tentu khuatir tumpuan dan fokusku pada pengajian terjejas sekali gus mempengaruhi impian di masa depan yang kami bina sejak kecil.

"Kalau dah ada, macam mana? Kakak marah tak?" Aku memilih untuk menjawab pertanyaannya dengan pertanyaan juga. Aku menyembunyikan senyuman di hujung bibir menyedari perubahan air muka Kak Ima.

Dahinya berkerut seribu menzahir rasa terkejut bukan kepalang tetapi dia bijak mengawal emosi agar tidak terlalu ketara di mataku. Kak Ima menjelingku sekilas sambil mengulum senyum sebelum menala pandang ke halaman rumah.

"Kakak tak marah tapi..." Kak Ima meleretkan suara di hujung bicara, mengheretku berteka-teki sendiri.

"Tapi?" Soalku separuh mendesak setelah dia membisu beberapa ketika.

"Kesian Tauke Wan." Selamba Kak Ima menyambung tanpa memandangku. Riaknya serius semacam, menahan senyum.

Aku melopong. Terkelip-kelip menala mata ke sisi mukanya sebelum bertindak menghadiahkan seliang cubitan di lengan putih gebunya. Geram! Dalam situasi yang kuanggap serius begitu, Kak Ima sempat mengenakanku. Dia hanya ketawa mengada bila aku mengomel sendiri, memarahinya kerana mengaitkanku dengan nama Abang Adli.

"Eleh, yalah tu tak suka. Padahal dalam hati, melompat-lompat gembira." Kak Ima masih belum berhenti mengusik membuatkan pipiku membahang hangat. Betapa tidak, usikannya tepat menembak hati yang memekar indah setiap kali mendengar nama Abang Adli. Terasa seperti empunya diri berada di hadapan mata. Ah, sedang apakah dia?

"Jangan kata kakak tak tahu ya yang ada orang tu pergi ladang harumanis."

Berderau darahku saat otak mencerna patah bicara Kak Ima. Semerta bola mataku membulat. Terselit debaran kencang di dada. Cemas dan bimbang memikirkan anggapan yang hinggap di benaknya kala mengetahui berita yang kuyakini bukan tersebar dari mulutku. Jadi, mulut siapa? Abang Adli?

"Dahsyat betul Tauke Wan ni. Nampak sangat dah mabuk kepayang sampai sanggup pergi Kedah semata-mata nak jumpa Nur." Komen Kak Ima bila tiada reaksi dariku.

Dahiku berlapis tebal menyatakan ketidaksetujuan akan fakta yang sewenang-wenangnya dilempar Kak Ima. Bukan sahaja menimbulkan spekulasi tentang hubungan kami, malah turut menerbitkan harapan palsu di sudut hati.

Kunjungan Abang Adli ke utara tanah air atas sebab urusan kerjanya dan tiada langsung kaitan dengan diriku. Aku sendiri tidak tahu menahu tentang kehadirannya. Cuma secara kebetulan mengetahui aku berada di negeri yang sama dan sedang berhujung minggu, maka dia mengajakku menemaninya ke Perlis.

Aku merengus geram bila Kak Ima mengherot-herotkan bibir mendengar penjelasanku. Apalah lagi maksudnya kalau bukan jelas mempamerkan rasa tidak percaya!

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now