Bab 19: Ilmu Penunduk

4.9K 273 40
                                    


Benarlah seperti mana yang diramalkan oleh Izzat. Betapa hari yang mendatang di SMK Adrujha, Menggunung adalah antara hari-hari yang sangat berat untuk mereka empat sahabat. Betapa khabar angin keadaan Emmy sebelum pengebumian sedang tersebar merata tempat. Ketika Izzat dalam perjalanan ke sekolah dengan basikal, dia sendiri mendengar bisik-bisik jahat yang mengata Emmy dari pelbagai manusia.

Sampai sahaja di hadapan pagar sekolah, ketika dia sedang memarkirkan basikalnya di antara puluhan basikal pelajar SMK Adrujha, seorang lelaki bersama dengan beberapa orang dari kumpulannya memanggil namanya dari belakang.

"Izzat... aku dengar cerita makwe kau kena seksa masa pengebumian dia? Betul ke?" teriak Amran dari belakang. Izzat terhenti sejenak sebelum terus melangkah, mengendahkan kaki buli SMK Adrujha itu.

"Izzat... betul ke masa dia masih hidup, kat Rajawali, dia pernah buat video lucah?" laung Amran lagi.

"Sabar Izzat... sabar..." gumam Izzat yang terhenti lagi sekali langkahnya, sambil menggengam penumbuk kerana menahan kemarahannya.

"Izzat... aku harap kau tak ada video lucah kau dengan dia... atau mungkin kau pun akan menjerit dalam kubur macam perempuan sundal..."

Entah bagaimana, Izzat mencampakkan beg galasnya, terus menoleh belakang dan sedang meluru ke arah Amran. Namun, Najirah yang entah dari mana muncul sambil menghadiahkan tumbukan tepat mengenai wajah Amran membuatkan lelaki itu terpuruk di atas lantai.

"Kau nak pertahankan sangat si porn star tu ya?"

"Kau mengata Emmy lagi... aku akan pastikan kau tak hidup lagi esok!" tempik Najirah membuatkan Izzat tergamam. Muncul pula Megat Azizan menarik Najirah daripada Amran. Izzat terus menggapai beg galasnya dan menghampiri Najirah yang sedang ditenangkan oleh Megat Azizan.

"Terima kasih. Sepatutnya aku yang tumbuk si Amran tu," tutur Izzat.

"Kalau kau tak datang tadi Jiji, aku tak tahu apa yang jadi dekat dia!" gumam Najirah geram. Serentak itu juga, loceng dibunyikan menandakan perhimpunan dimulakan. Mereka mula memasuki barisan masing-masing. Izzat dapat menangkap kelihat Adilla yang sedang berdiri di hadapan. Gadis itu pun baru sahaja dibenarkan keluar daripada hospital selepas mendapat rawatan selama beberapa hari. Tak sangka seawal itu Adilla sudah hadir ke sekolah.

"Dua tiga hari ni... banyak betul benda yang berlaku kat Menggunung?" gumam satu suara dari belakang.

Kamarul menyertai mereka sambil membawa beg galas mereka.

"Lambat kau datang..." tegur Izzat sambil menoleh belakang.

"Aku bagun lewat pagi tadi," luah Kamarul jujur.

"Wow. Macam mana boleh lewat tu?" soal Megat Azizan.

"Aku rasa aku dah tahu macam mana cara untuk bebaskan Emmy dari Tok Anjang," gumam Kamarul sambil tersenyum. Serentak itu, Izzat, Megat Azizan dan Najirah terus menoleh ke arah Kamarul dengan wajah penuh pengharapan.

"Kamu bertiga! Pandang depan! Pengetua tengah berucap!" Adilla yang sedang berdiri di sisi barisan, bertugs mengawal kelas 5 Pahlawan menegur.

"Pandang depan. Buat-buat tekun dengar ucapan pengetua cakap pasal Emmy sementara aku bagitahu," arah Kamarul. Mereka bertiga terus memandang ke atas pentas, mendengarkan ucapan penuh retorik pengetua SMK Adrujha tentang betapa sekolah berasa kehilangan di atas pemergian Emmy dan betapa pihak sekolah berharap agar khabar angin yang menyelubungi batang tubuh Emmy dihentikan.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now