Najmi melangkah keluar dari dewan dengan keadaan kulit yang mengelupas seperti melecur satu badan. Anggota polis yang sedang berkawal diluar terus megacukan pistol mereka, berjaga-jaga takut Najmi bakal bertindak gila. Namun, mereka semua saling berkongsi pandangan melihat keadaan Najmi yang seperti baru sahaja dicurah air panas. Pak Ngah yang muncul dari belakang turut terkejut melihat apa yang berlaku. Baru sahaja beberapa detik tadi, Najmi meminta agar dibawakan ayam panggang untuk disantapnya pada malam itu.
"To...long... saya..." ucap Najmi sebelum air mata darah mengalir keluar tanpa henti dari biji matanya lalu jatuh melutut di atas lantai.
"Ambulans!" panggil Pak Ngah kepada beberapa petugas kesihatan yang berada di luar perkarangan dewan. Mereka meluru ke arah Najmi bersama beberapa orang pasukan polis yang lengkap bersenjata, memakai bajku kalis peluru dan helmet dan google hitam mengiringi sebagai langkah keselamatan. Namun salah seorang daripada petugas kesihatan yang menyentuh kulit Najmi tiba-tiba menggelupar di atas lantai sebelum simptom yang sama kena pada petugas kesihatan itu.
"Sakit! Kau tipu aku orang tua! Kau tipu aku!" teriak Najmi tiba-tiba. Semakin kuat jeritannya, semakin menggelupar petugas kesihatan yang sedang terbaring disebelahnya. Petugas kesihatan dan pegawal polis yang lain saling berkongsi pandangan.
"Bebaskan tebusan di dalam sana sementara suspek macam ni." Kedengaran suara Pak Ngah bercakap pada fon telinga yang terpasang pada pasukan polis tadi. Salah seorang yang kelihatan seperti ketua mengarahkan dua antara mereka tinggal disitu manakala yang lain ikutnya ke dalam dewan, untuk membebaskan tebusan yang berada di dalam dewan.
Najmi tiba-tiba berdiri dengan air mata darah yang masih belum berhenti mengalir dari kelopak matanya. Kali ini, kedua-dua anak telinganya juga sedang mengalirkan darah. Lidahnya pula terjelir panjang sehingga ke bawah paras dagunya.
"Celaka! Tak ada orang ke yang mampu tolong aku? Sakitlah bodoh! Orang tua, lepaskan aku!" teriak Najmi dengan lidah yang terjelir menahan kesakitan. Kemudian, Najmi termuntah-muntah darah yang berliter-liter keluar dari mulutnya.
"Sa...kit..." gumam Najmi yang kemudian, tanpa langsung disangka oleh semua orang disitu, meletup menjadi cebisan-cebisan kecil daging yang bertebaran ke merata tempat. Serentak itu juga, kelihatan anggota polis sedang mengiringi tebusan keluar. Salah seorang daripadanya ialah Izzat yang berbalut kepalanya oleh baju jersi bola sepaknya, sambil dipapah oleh Megat Azizan. Senyuman terukir pada wajah itu apabila melihat Pak Ngah bersama pembesar suara sedang menunggunya.
"Aku tak sabar-sabar nak jumpa kawan-kawan kita," ucap Izzat disebelah Megat Azizan.
"Aku rasa diaorang tengah tunggu kita kat luar. Tapi yang penting aku nak bawa kau ke ambulans dulu," kata Megat Azizan. Bersama dengan mereka, kelihatan juga Adilla yang dibawa di atas pengusung. Selain Izzat, Adilla teruk menjadi mangsa Najmi.
"Bahana melakukan perjanjian dengan syaitan," ucap Megat Azizan ketika mereka melintasi cebisan daging Najmi yang merata di atas jalan tar. Kelihatan unit forensik sedang mengutip cebisan daging Najmi yang masih bersisa.
Mereka berdua terus melangkah sehingga melintasi pita kuning yang diletakkan oleh pasukan polis. Apa lagi, terus Pak Ngah mendapatkan Izzat bersama dengan Kaira dan Ariq. Dia diselimutkan oleh Kaira lalu diringi bersama ke ambulans sebelum didudukkan di situ. Paramedik yang bertugas terus mencuci luka di kepala Izzat dengan begitu teliti sebelum membalutnya perlahan-lahan.
"Mana yang lain?" soal Izzat pada Pak Ngah.
"Yang lain?" soal Pak Ngah dengan kedua-dua kening terangkat.
"Kawan-kawan saya... Emmy... Jierah dengan Kamarul?" Untuk seketika, Pak Ngah dan Kaira saling berkongsi pandangan.
"Emmy kami tak jumpa. Tapi... Jierah dengan Kamarul... kami jumpa diaorang kena tangkap sebab ceroboh masuk rumah Tok Anjang." Mendengarkan apa yang berlaku pada sahabatnya, terus Izzat terus bangun dari belakang ambulans.
"Kamu nak ke mana ni?" soal Kaira.
"Balai polis!" balas Izzat.
"Kamu sakit..."
"Tolong Pak Ngah. Saya akan lebih sakit kalau tak jumpa diaorang," rayu Izzat. Pak Ngah terdiam sambil memandang wajah Izzat.
"Pak Ngah yang bawa kamu," kata Pak Ngah.
"Ayah..." Kaira cuba membantah.
"Tapi lepas kamu jumpa diaorang, terus ikut Pak Ngah ke Hospital?"
Izzat mengangguk.
"Saya temankan Izzat," kata Megat Azizan.
"Boleh," balas Pak Ngah sepatah.
Izzat dan Megat Azizan pun memasuki kereta Proton Wira Pak Ngah. Terus kereta itu meluncur laju ke arah balai polis Menggunung. Kemudian, sambil dipimpin oleh Megat Azizan, Izzat melangkah masuk. Kelihatan Najirah sedang menunduk sambil dimarahi oleh seorang lelaki dan wanita berusia. Kehadiran Izzat dan Megat Azizan ke dalam balai polis itu menarik perhatian mereka berdua.
"Lepas ni ayah haramkan kamu berkawan dengan budak Megat ni! Dia dengan ayah dia tetap sama! Penjenayah! Dan sekarang kamu pula jadi penjenayah macam dia!"
"Pakcik..."
"Tenang Datuk Nasir. Mungkin ada salah faham..." Pak Ngah cuba menenangkan keadaan.
"Ikut mama balik!" Wanita berusia tadi terus menggapai pergelengan tangan Jierah, memaksanya untuk mengikuti langkah kakinya. Jierah yang melintasi Izzat dan Megat Azizan sekadar merenung mereka dengan air mata yang bercucuran.
"Emmy... mana?" soal Izzat.
Najirah sekadar menggeleng sebelum menghilang ke dalam kereta Mercedes Benz lama milik ayahnya yang meluncur ke dalam kegelapan di hadapan Balai Polis Menggunung. Dia mahu mengejar langkah kaki Najirah, namun entah kenapa, dunia disekitar Izzat tiba-tiba berpusing, lalu dia rebah di dalam balai polis itu. Kata terakhir yang dia dengar adalah jeritan Pak Ngah menyuruh anggota polis disitu menghubungi ambulans.
Sedar-sedar sahaja Izzat sudah berada di hospital sambil Megat Azizan dan Kamarul menemaninya. Dia cuba bangkit dari katil namun melihatkan beberapa tiub bersambung dengan tangannya, dia terus menoleh sekitarnya mahu mencari kelibat seseorang.
"Emmy mana?" soal Izzat.
"Dah lebih 24 jam Emmy hilang. Pak Ngah kau dah gerakkan operasi mencari Emmy!"
Mendengarkan apa yang terjadi pada Emmy, terus Izzat berkeras mahu meninggalkan katilnya namun Kaira muncul ke dalam biliknya sambil bercekak pinggang.
"Nak ke mana?" soal Kaira.
"Nak cari Emmy..." gumam Izzat.
"Doktor belum habis pemeriksaan ke atas Izzat lagi. Lagipun kata doktor Izzat kena berehat," kata-kata dari Kaira menoktahkan terus hasrat Izzat yang terus menarik selimut katil lalu terus memusingkan tubuhnya bertentangan dengan Kaira dan rakan-rakannya yang setia melawat.
"Biarkan dia merajuk kat situ. Nanti bila kita dah jumpa si Emmy tu, akak nak tanya apa hubungan diaorang dua ni sampaikan si Izzat ni tak fikir langsung pasal diri dia!" bebel Kaira.
YOU ARE READING
Menggunung (Completed)
KorkuMenggunung, sebuah pekan yang terletak di tanah tinggi, betul-betul berjiran dengan sebuah empangan yang kalau sekali imbas dianggap seperti sebuah pekan biasa, yang terletak di Malaysia sama seperti pekan-pekan biasa yang lainnya. Namun, ada seribu...