Bab 40: Yang Tidak Mati

2.9K 250 11
                                    



Muntah yang menyebarkan bau masam sedang memenuhi baju-T yang sedang disarung pada badan Izzat. Kelihatan isi muntah tadi adalah seperti cebisan daging yang tidak sempat dicerna oleh perut Izzat, meluahkan bersama dengan makan malam yang baru sahaja ditelan beberapa jam tadi sebelum Izzat ditangkap bersama dengan Emmy dan Adilla. Selain itu, kelihatan juga beberapa ekor cacing dan ulat-ulat sedang berenang dalam cecair muntah Izzat yang turut terpelanting di atas lantai rumah itu.

"Awak..." panggil Adilla yang sedang duduk sambil memandang penuh sayu ke arah Izzat.

"Sekarang saya betul-betul masam... macam yang awak tuduh saya tadi," ucap Izzat sambil tersenyum. Namun, air mata Adilla sudah mengalir keluar dari kelopak matanya.

"Sekarang bukan masa untuk awak buat lawak macam ni!" tutur Adilla.

"Awak... okey ke?" soal Emmy pula, yang kini tidak lagi bertudung. Entah kemana pergi tudung yang membaluti kepalanya.

Izzat sekadar mengangguk. Dia kini sedang memerhati keadaan sekeliling rumah kayu dua tingkat itu. Mereka sedang berada ditempat makan malam. Makanan yang sedang mereput di atas meja hampir kesemua dibiar tidak bersentuh kecuali ayam panggang tadi yang disumbat ke dalam mulut Izzat. Izzat cuba sedaya upaya untuk melepaskan dirinya daripada kerusi tempat dia sedang duduk, namun dia seperti kehilangan upaya untuk berbuat demikian. Tenaga jantannya tiba-tiba hilang.

Tidak jauh dari tempat makan itu, ruang tamu yang terdapat sofa empuk, kesan darah panjang yang seperti sudah beberapa hari di situ berserta dengan televisyen yang sedang terpasang, memaparkan drama Melayu lama. Selain itu, kelibat tiga beranak pemilik rumah itu tidak ketinggalan.

"Saya rasa... saya dah boleh lepaskan diri..." kata Emmy tiba-tiba.

"Macam mana?"

Emmy terus menunjukkan kedua-dua pergelangan tangannya yang kini sudah bebas, dengan tali yang sebelum ini sedang membelenggu tangannya kini sudah longgar, tergantung tanpa ikatan. Ada senyuman terukir di wajah kacukan Melayu-Cina itu. Sempat lagi sebuah pisau kecil diambil oleh Emmy dari atas meja. Ketika Emmy mahu melangkah ke arah Izzat, cuba untuk membuka ikatan lelaki itu, Izzat tiba-tiba menggeleng.

"Buka ikatan Adilla dulu," arah Izzat. Untuk seketika, Emmy menoleh ke arah Adilla sebelum mengangguk. Dia terus melangkah ke arah belakang Adilla, lalu memotong terus ikatan yang membelenggu pergelangan tangan Adilla.

"Mana kau belajar lepaskan diri macam tu?" soal Adilla teruja.

"Masa aku terperangkap kat rumah Tok Anjang, aku tekad itu kali terakhir aku kena culik macam tu. Jadi, aku belajar sendiri macam mana nak buat semua ni," kata Emmy membantu Adilla untuk berdiri.

"Izzat pulak!" arah Adilla.

"Tak perlu suruh, aku tahu," balas Emmy, yang kedengaran agak dingin. Riak wajah Adilla sedikit berubah, menyedari perubahan nada dan cara percakapan Emmy.

"Badan saya busuk, harap awak boleh bertahan," kata Izzat ketika Emmy menghampirinya.

"Diam boleh tak?" kata Emmy, masih dingin sambil memotong tali yang mengikat kedua-dua pergelangan tangan Izzat.

"Awak marah saya?" soal Izzat, tetapi masih tersengih.

"Dah pun!" kata Emmy.

Ketika Izzat mahu bangkit, tiba-tiba tubuh dia tumbang dan... Adilla yang berhampiran sempat menangkap lengan kiri Izzat manakala Emmy pula sempat menangkap lengan kanan Izzat. Mujurlah lelaki itu tidak tersembam tadi atau bunyi bising yang kuat bakal memenuhi kawasan ruang tamu itu, sekaligus mencuri perhatian mana-mana anak beranak ahli keluarga menakutkan itu.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now