Bab 28: Pertempuran Menggunung

4K 247 42
                                    



Bunyi berkeriut yang aneh bergema sebaik sahaja pintu yang kelihatan usang dari luar itu ditolak. Megat Azizan tidak terus melangkah masuk sebaik sahaja laluan masuk ke dalam Perpustakaan Daerah Menggunung sedang terbentang di hadapan matanya. Rakan-rakannya yang lain sudah mula melangkah masuk, namun terhenti melihat Megat Azizan masih terpacak di muka pintu, melihat keadaan dalam perpustakaan dengan penuh takut-takut. Bahkan, udara sejuk yang datang daripada penghawa dingin yang sedang menyerbu ke arah batang tubuhnya tidak langsung membuatkan Megat Azizan tergerak untuk menapak masuk ke dalamnya.

"Apa lagi kau tercegat kat luar sana tu? Tadi beriya-iya nak ikut aku masuk?" soal Ikmal.

Megat Azizan menelan air liur yang terasa mengental dikerongkongnya. Melihatkan rak-rak buku yang sedang berdiri menyambut pandangan matanya, ia saling tak tumpah seperti sedang melihat berpuluh ekor hantu raya yang sedang bercangkung, sambil merenung penuh tajam ke arahnya. Meja-meja dan kerusi yang sedang tersusun itu seumpama diletakkan duri-duri yang amat tajam, yang menanti sahaja dia untuk duduk di atasnya.

"Masih fobia dengan perpustakaan?" soal Najirah sambil merenung sinis ke arahnya.

"Sekejap... Jiji fobia dengan perpustakaan?" soal Adilla tak percaya.

Ya, tidak pernah seumur hidup Megat Azizan menjejakkan kakinya ke dalam perpustakaan. Lagi-lagi Perpustakaan Daerah Menggunung yang setinggi dua tingkat itu. Kalau perpustakaan sekolahnya langsung tak pernah dijejaknya, janganlah perpustakaan yang lebih luas dan menyimpan buku sebanyak itu. Ia adalah pantang larang utama untuk hidup sebagai Megat Azizan.

"Patutlah bodoh," gumam Ikmal lalu terus melangkah.

"Kau panggil aku apa?" soal Megat Azizan tidak puas hati dari luar.

"Bodoh. Tempat ilmu macam ni pun kau benci." Suara Ikmal dari dalam terus berdendang, menjadi seperti puluhan peluru yang sedang dilepaskan ke atas gegendang telinganya. Tanpa langsung disedarinya, Megat Azizan melangkah masuk ke dalam, bergerak dengan sangat pantas ke arah Ikmal. Namun, ketika tapak tangan Megat Azizan menyentuh bahu Ikmal dari belakang, jejaka tinggi lampai yang berambut yang disikat ke tepi itu baru sahaja menyedari sesuatu. Dia telah menjejakkan kakinya ke dalam perpustakaan. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya seumur hidup.

"Akhirnya, kau termakan umpan pancing aku," kata Ikmal sambil tersenyum sinis. Entah kenapa, kedua-dua lutut Megat Azizan tiba-tiba menggigil. Dia seperti sedang berada di sebuah planet yang sangat kuat gravitinya, menarik seluruh tubuhnya untuk melutut di atas lantai di laluan masuk ke perpustakaan.

"Bagi Jiji, perpustakaan ni lebih menakutkan daripada rumah hantu," gumam Najirah di sebelah Emmy ketika gadis itu berkira-kira mahu bertanyakan keadaan Megat Azizan.

"Biarkan dia, kita banyak lagi benda nak buat," kata Adilla pula ketika Emmy mahu membantu Megat Azizan berdiri. Untuk seketika, Emmy menoleh ke arah Adilla dan Megat Azizan sebelum dia tersenyum lalu memilih untuk mengendahkan Megat Azizan yang sedang melutut di atas lantai. Riak wajah Megat Azizan tambah tidak percaya melihat rakan-rakannya terus mengekori Ikmal.

"Macam ini rasanya... sebuah pengkhianatan?" gumam Megat Azizan sambil mendongak melihat mereka sedang memanjat tangga di hujung laluan masuk itu.

"Masa Emmy kena tangkap dengan Tok Anjang... aku tak pernah fikir dua kali nak tolong kawan-kawan aku!" teriak Megat Azizan. Namun, tiada sesiapa yang mahu berpatah balik membantu lelaki itu berdiri di atas kedua-dua kakinya. Bahkan, beberapa orang penghuni perpustakaan itu pula memarahi Megat Azizan berbuat bising.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now