Di bilik sakit, Puan Shamsiah yang merupakan guru bertugas pada hari itu sedang teliti meletakkan ubat pada lebam dan luka yang terpapar pada wajah dan lengan Izzat dan Megat Azizan. Kelihatan peti pertolongan cemas menemani Puan Shamsiah dan Adilla yang sekadar berdiri di satu sudut bilik sambil berpeluk tubuh. Sesekali, Izzat dan Megat Azizan akan mengaduh kesakitan.
"Cikgu dah beberapa kali bagi amaran jangan carik pasal dengan si Amran tu... kamu degil Jiji. Nasib baik tadi Cikgu Aliff sempat masuk ke kelas. Kalau tak, cikgu tak tahu apa akan jadi pada kamu. Tak kesian ke mak kamu kalau kamu masuk hospital dan cedera parah?" soal Puan Shamsiah.
"Tapi..." Megat Azizan cuba membantah namun Izzat disebelahnya terus menyiku tepi perutnya membuatkan Megat Azizan menoleh dengan riak wajah tidak puas hati.
"Kami minta maaf cikgu. Tadi... saya dengan Jiji terbawa-bawa dengan darah muda kami," tutur Izzat sambil menunduk beberapa kali.
"Kamu Izzat. Cikgu harap kamu dapat bimbing Jiji. Dia tu anak yang baik. Cikgu kenal maknya. Kamu pun setahu cikgu pelajar cemerlang kat sekolah lama kamu. Bantu Jiji jadi pelajar yang berwawasan. Boleh?" soal Puan Shamsiah yang kini sedang menyimpan kembali alatan rawatan cemas ke dalam peti putih yang berlambangkan bulan sabit merah berwarna merah itu.
"Adilla. Kamu dah boleh bawa Izzat dengan Jiji ke kelas semula," tutur Puan Shamsiah lalu meninggalkan Izzat dan Megat Azizan yang sedang duduk bersebelahan di atas sebuah katil yang selimut dan bantal di atasnya masih belum terusik oleh sesiapa.
"Jom... mesti diaorang tengah risau pasal kita," ajak Megat Azizan.
"Kelas Fizik kan lepas ni?" soal Izzat.
"Arghhh... Kelas Cikgu Chong pulak!" ucap Megat Azizan dengan berat kaki bangkit. Dia kelihatan longlai, melangkah ke arah pintu sambil diikuti oleh Izzat yang sekadar tersenyum menggeleng melihat telatah rakannya.
"Izzat... Jiji.. tunggu dulu!" panggil Adilla membuatkan Izzat dan Megat Azizan terus terhenti seketika lalu menoleh ke arah Adilla.
"Menggunung...pekan kita sejak kebelakangan ni macam... macam ada sesuatu yang tak kena..." gumam Adilla.
Untuk seketika, Izzat dan Megar Azizan saling berkongsi pandangan.
"Tak kena macam mana tu?" soal Izzat tenang.
"Tak apalah. Aku gerak ke kelas dulu. Kerana kau, aku terlepas kelas Sejarah!" tutur Adilla sambil berlari meninggalkan mereka di bilik sakit.
"Kau rasa... dia macam kita?" soal Megat Azizan. Namun, Izzat sekadar mengangkat kedua-dua bahunya.
Mereka berdua kemudiannya terus kembali ke kelas. Cikgu Aliff sudah tiada. Kini Cikgu Chong, seorang lelaki cina yang merupakan guru paling membosankan di SMK Adrujha sedang mengajar subjek fizik yang menurut Izzat seharusnya merupakan subjek yang sangat menghiburkan. Namun, disebalik perasaan ingin tahu yang tertanam disebalik Fizik,
Cikgu Chong telah menjadikan subjek itu lebih membosankan daripada subjek Sejarah. Setiap hari, lelaki cina rendah bertumbuh gempal itu akan meletakkan begnya di atas meja guru, lalu berdiri di tengah-tengah kelas dan membaca sahaja penjelasan-penjelasan sebelum menunjukkan jalan kiraan pada papan hitam dihadapannya. Dia seperti tidak peduli sama ada pelajarnya memahami penjelasannya.
"Guru yang membuatkan fizik nampak bosan adalah penjenayah," gumam Izzat sendirian sambil menguap.
"Sorry?" soal Megat Azizan yang sedang duduk disebelahnya.
YOU ARE READING
Menggunung (Completed)
TerrorMenggunung, sebuah pekan yang terletak di tanah tinggi, betul-betul berjiran dengan sebuah empangan yang kalau sekali imbas dianggap seperti sebuah pekan biasa, yang terletak di Malaysia sama seperti pekan-pekan biasa yang lainnya. Namun, ada seribu...