Betapa sebenarnya menjadi seorang Izzat di Menggunung bukanlah tugas yang mudah. Betapa menjadi antara orang yang mengetahui rahsia terbesar Menggunung merupakan sebuah beban yang sangat berat untuk ditanggung. Betapa menjadi seorang adiwira tanpa dipinta, juga tanpa kuasa sepertinya sangat melelahkan. Kalaulah dia boleh mengundur masa, untuk sekurang-kurangnya ketika sebelum kematian ibu dan ayahnya, dia mungkin dapat merasai kehidupan Eurasia yang membosankan, tetapi sekurang-kurangnya tidaklah seperti sekarang, di mana nyawanya, nyawa sahabatnya dan juga nyawa 10, 000 populasi Menggunung yang tentunya tidak ada jaminan untuk kekal bernafas untuk hari esok. Kalau dia mahu melihat Menggunung yang sudah dianggap seperti rumahnya itu terus bernafas pada hari-hari terkemudiannya, dia harus memikul tanggungjawab itu.
Sahabat. Itulah yang menjadi kekuatannya. Termasuklah seorang gadis yang gigih mengayuh basikal disebelahnya. Tanpa motor yang kuncinya berada di tangan Pak Ngah. Atau tanpa kereta Toyota Avanza yang tentunya sudah ditahan oleh Datuk Nasri, mereka cuma ada basikal, yang didakwa oleh Najirah merupakan satu-satunya harta yang dimilikinya.
Mereka berdua berkongsi persamaan. Mereka berdua mungkin insan yang paling rapat pada seorang gadis yang juga seperti Najirah, menyimpan 1001 rahsia yang tidak mahu diketahui oleh orang lain. Emmy dan Izzat juga ada berkongsi persamaan. Mereka datang ke Menggunung mahu membina hidup baru. Mereka mahu lari dari masa silam yang penuh tragedi. Tetapi tentang siapa yang paling sadis, Izzat tidak mempunyai jawapan.
Tetapi sekurang-kurangnya, detik hitam dalam kehidupan silamnya bukanlah kerana atas pilihannya, tetapi maut yang sudah ditakdirkan. Cuma untuk Emmy, dosa besar itu mungkin akan kekal tidak terampun dalam hidupnya, menjadi mimpi ngeri yang kekal bersama Emmy. Tetapi itulah gunanya seorang sahabat. Hadir untuk walau tidak memadam sepenuhnya, membantu meringankan sebuah beban. Prinsip itulah yang mungkin memandu Izzat dan Najirah yang kini sedang berbasikal dalam rintik hujan yang turun dari atas langit pada malam itu. Mujurlah sekurang-kurangnya cahaya bulan masih ada menemani mereka.
"Kau ingatkan tempat terakhir kau dengan Emmy?" soal Izzat.
"Sana. Dah nak sampai kat rumah orang tua celaka tu," kata Najirah.
"Kita nak pecah masuk kali kedua ke rumah dia?" soal Izzat.
"Aku tak percaya yang aku cakap benda ni kat kau. Tapi ya! Tapi mungkin tak masuk ke dalam rumah dia, kita intai dulu dan cuba dapatkan bukti yang Emmy betul-betul ada dalam rumah dia. Lepas tu kita bawa ke ayah kau. Okey?"
"Pakcik aku. Bukan ayah aku," Izzat membetulkan.
"Oh. Maaf..."
"Sampai. Situ pun tempat dia!" ujar Najirah. Tanpa menurunkan tongkat basikalnya, dia menggapai beg galasnya yang diletakkan di dalam bakul basikalnya dan berlari meninggalkan Izzat yang terpingga-pingga mendirikan tongkat basikalnya.
"Perlahan sikit... haisy..." panggil Izzat dari belakang.
"Cepatlah sikit!" balas Najirah pula sambil berhenti sejenak, menunggu Izzat cuba mengejar langkah kakinya.
"Kepala aku belum baik sepenuhnya lagi. Kau tu dah sihat," rungut Izzat.
"Baik-baik. Ini yang aku tak berapa gemar nak bawa kau," kata Najirah pula.
"Kau nak aku biarkan kau pula yang hilang kat dalam hutan tu? Aku boleh jadi gila tau kalau kau pulak hilang!" tambah Izzat lalu terus bergerak menghampiri rumah usang dua tingkat yang sedang berdiri tidak jauh darinya.
"Tapi tak mak ayah aku..." gumam Najirah seorang diri membuatkan Izzat menoleh.
"Kau cakap something ke?" soal Izzat. Pantas Najirah menggeleng.
YOU ARE READING
Menggunung (Completed)
HororMenggunung, sebuah pekan yang terletak di tanah tinggi, betul-betul berjiran dengan sebuah empangan yang kalau sekali imbas dianggap seperti sebuah pekan biasa, yang terletak di Malaysia sama seperti pekan-pekan biasa yang lainnya. Namun, ada seribu...