Bab 45: Vampira Separuh Manusia

3.1K 260 39
                                    



Kalau tadi, kumpulan tentera orang asli dan pendekar bunian itu seperti mahu berbunuhan. Namun, entah kenapa mereka masih tercegat-cegat di tempat mereka berpijak, seperti menunggu sesuatu. Selepas lima minit mereka semua berdiri sambil menghadap antara satu sama lain, barulah Tok Batin mengarahkan agar tubuh Najirah diletakkan di atas lantai.

"Lepaskan Jierah!" teriak Megat Azizan sebaik sahaja dia melihat tubuh Najirah diletakkan di atas lantai hutan. Namun, dia hanya mampu menjerit kerana tiada seorang pun daripada pendekar bunian mahupun lembaga orang asli yang tidak sempurna wajah mereka mengambil sebarang tindakan.

Ada Sofea sedang berlindung memegang tapak tangannya, merenung takut-takut ke aah kumpulan tentera orang asli yang 500 tahun lalu, pernah mati dalam peperangan yang membinasakan. Cumanya, mereka tidak lagi terhijab seperti mana pendekar-pendekar bunian yang sedang mendampingi mereka.

"Wajah ini... wajah yang membuatkan anak lelaki aku jatuh cinta. 100 tahun yang lalu, aku gagal untuk mengaktifkan sumpahan Menggunung ke atas kau, hari ini, demi Sang Penguasa, aku tidak akan gagal lagi," tutur Tok Batin.

"Tok... aku tahu apa yang berlaku 500 tahun yang lalu! Tapi tolonglah... itu ialah dosa nenek moyang dia! Bukan Najirah yang sedang berdiri depan aku!" Megat Azizan bersuara lagi sebelum dia menoleh ke arah Raja Sang Tawal.

"Tolong... gerakkan tentera-tentera kau! Kerahkan tentera kau untuk selamatkan Jierah!" suruh Megat Azizan.

"Tak boleh..." gumam Raja Sang Tawal sambil dahinya berkerut seribu.

"Kenapa? Aku lihat dengan mata kepala aku macam mana kau selesaikan Semangat Hutan tu semua... tak akanlah nak sentuh lembaga depan tu tak boleh?" soal Megat Azizan tidak percaya.

"Ilmu hitam lelaki durjana itu!" gumam Raja Sang Tawal.

"Kaki mereka... akar-akar kayu hutan ini sudah membelenggu setiap penggerakkan kuda dan kaki mereka. Hutan ini, menyembah Sang Penguasa. Aku pula hamba Sang Penguasa yang paling setia, sudah tentu mereka akan akur pada arahan aku," gumam Tok Batin ketika dia mula menghampiri Megat Azizan. Menyedari tentang apa yang mahu dilakukan oleh Tok Batin, Megat Azizan dan Sofea berundur beberapa tapak ke belakang.

"Wajah kau anak muda... baru aku sedar... kau... keturunan Megat Teruna?" soal Tok Batin.

"Mungkin." Megat Azizan mendengus.

"Aku cuma mahu gadis di belakang kau... dia ialah keturunan salah seorang daripada pengasas Menggunung..."

"Langkah mayat aku dulu," gumam Megat Azizan.

"Aku hanya perlukan darah dia. Jangan risau, akan aku biarkan dia hidup," tutur Tok Batin.

"Tapi, Najirah akan mati!" Megat Azizan berundur setapak lagi ketika Tok Batin mula menghampirinya.

"Tidak selama-lamanya. Dia akan hidup semula, menjadi sesuatu yang bangsa manusia seperti kau takuti... penghisap darah dari benua Eropah!" ucap Tok Batin.

"Najirah bukan diciptakan hanya untuk memenuhi nafsu binatang kau!"

"Binatang itu ialah bangsa dan keturunan kau!" teriak Tok Batin tiba-tiba. Serentak itu, tubuh Megat Azizan tercampak ke arah pokok yang berdekatan. Sofea menggigil ketika dia berdiri menghadap Tok Batin yang sedang berdiri memandangnya. Lelaki tua dengan tongkat dan kesan tembakan dan rejaman lembing yang masih kelihatan pada koyak baju putih yang tersarung pada tubuhnya memandang wajah Sofea dengan penuh berminat.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now