Bab 9: Perempuan Sundal

4.3K 265 20
                                    


Jari-jemari Emmy kelihatan menggigil. Peluh sedang membasahi wajahnya. Wajah ketakutannya bertukar menjadi keresahan. Izzat menoleh ke arah Emmy dan lembaga hitam hangus terbakar itu silih berganti. Namun, langkah kaki Emmy terhenti apabila terlanggar sebuah batu nisan empat segi sebelum tubuhnya terjatuh. Ketika Izzat mahu membantunya untuk berdiri, dia pantas menepis. Namun, reaksi wajahnya bertukar seriau pula apabila matanya dapat menangkap nama dan gambar yang terukir pada batu nisan tersebut.


"Zach. Mati masa usia 15 tahun. Dia bunuh diri dengan gantung diri dia sebab kau pernah tidur dengan kawan baik dia sendiri. Video lucah kau dan kawan baik dia tersebar di sekolah lama kau membuatkan kau tukar sekolah ke kawasan pendalaman. Di sini, kau hanyalah seorang gadis Melayu terakhir sampai buatkan lelaki sebodoh Izzat hampir jatuh cinta pada kepalsuan yang kau pamerkan!" tutur wanita lembaga hitam itu lagi.


"Tak... tak... jangan cakap lagi..." Emmy sudah teresak-esak menangis di atas pusara yang kononnya milik Zakaria Azim itu.


"Kau larilah ke hujung dunia sekalipun, dosa kau tidak akan terhapus! Ia akan terus memburu kau wahai pembunuh!" teriak lembaga itu sebelum ketawa mengilai di udara. Serentak itu juga, tanah kubur dibawah Emmy runtuh dan tubuhnya terus jatuh ke dalam lubang kubur yang tiba-tiba terbuka. Aneh, lubang kubur itu sedalam hampir 2 meter, lebih dalam dari ukuran biasa untuk setiap kubur.


"Perempuan sundal... aku tak akan lepaskan kau walau kat dalam kubur ni!" Tengkorak yang sedang bersemadi bersama dengan caci-belulang di lantai kubur itu tiba-tiba terus mencekik Emmy yang sedang tersembam di bawah kubur.


"ALLAH..." ucap Emmy sambil cuba untuk melepaskan dirinya. Kakinya menendang-nendang dinding lubang kubur tempat dia dan tengkorak tadi terperangkap bersama, cuba untuk melepaskan diri.


Prap! Tulang belulang tadi berselerak membuatkan tangan yang sedang mencengkik leher Emmy terus layu ke atas tanah. Izzat sedang berdiri disebelah Emmy, membantu gadis itu untuk berdiri. Rupa-rupanya Izzat telah memijak tengkorak kepala lembaga tadi, sekaligus menyelamatkan Emmy. 


"Boleh panjat naik?" soal Izzat.


"Kaki saya terseliuh," balas Emmy.


"Sekejap... saya angkat awak naik!" kata Izzat. Dia duduk bercangkung sambil bersandar pada dinding lubang kubur yang muncul tiba-tiba itu.


"Panjat lutut saya dan saya akan berdiri. Awak boleh panjat keluar dari sini terus. Tak tinggi mana pun," kata Izzat.


Tanpa membuang masa, Emmy terus meletakkan tapak kakinya di atas lutut Izzat. Kedua-dua tapak tangan Izzat kemudian memegang tapak kasut Emmy lalu menggunakan segala kudratnya, dia cuba untuk bangkit dari dalam kubur. Apabila sudah berjaya berdiri tegak, Izzat cuba mengangkat tapak tangannya setinggi mungkin, memastikan Emmy mampu keluar dari lubang kubur itu.


"Ya ALLAH!" ucap Emmy spotan apabila di permukaan kubur itu, sekujur tubuh berbalut kain putih, berambut hitam panjang yang mengerbang dengan wajah hitam legam seperti terbakar sedang terapung menyambut pemandangan matanya sambil ketawa terkekek-kekek melihat Emmy jatuh terjelopok kembali. 

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now