Seminggu telah berlalu sejak Qashmir datang ke sekolah. Pada kali ini, Qashmir datang ke sekolah sekali lagi kerana Syam menghadapi tekanan perasaan apabila dia gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh cikgu pada hari Jumaat yang lalu. Dia juga baru sahaja ingat tugasan tersebut pada waktu pagi Isnin. Hal ini menyebabkan dia mahu lari daripada dunia realiti dan berfikir pelbagai kemungkinan yang berlaku. Tambahan pula, cikgu Matematik itu garang dan Syam tidak suka subjek Matematik kerana dia lambat mengira sifir.
Qashmir duduk di atas kerusi sebaik sahaja dia tiba di tempat duduknya. Tidak lama lagi waktu pembelajaran akan bermula selepas 30 minit guru-guru bermesyuarat di tapak perhimpunan seusai mereka berhimpun pada setiap pagi Isnin.
Tiba-tiba, seorang pelajar lelaki menepuk meja Qashmir. Qashmir hanya melihat ke arah pelajar lelaki yang merupakan rakan sekelasnya.
"Aku nak pinjam buku Matematik kau. Kau mesti dah siap, kan?" Dia duduk di atas kerusi yang terletak di hadapan meja Qashmir. Tempat duduk itu merupakan tempat duduk pelajar tersebut.
Qashmir segera membuka beg sandang dan mengeluarkan buku latihan Matematik. Buku tersebut diletakkan di atas meja. Pelajar lelaki itu mengambil buku tersebut dengan gembira dan pusing ke arah mejanya. Namun, sesuatu yang tidak dia duga telah berlaku sebaik sahaja dia membuka buku tersebut.
Dia terus pusing semula ke arah Qashmir bersama-sama buku tadi. Buku diletakkan di atas meja. "Apa semua ni? Kenapa latihan cikgu bagi minggu lepas kosong? Kenapa kau tak buat?"
"Kenapa kau tak buat sendiri? Kenapa kau harapkan aku?" Soal Qashmir kembali tanpa menjawab soalan pelajar lelaki tersebut.
Dia terdiam kerana berasa geram terhadap soalan tersebut. Kemudian, dia berdiri untuk menuju ke arah rakan sekelas yang lain. Qashmir pula hanya melihat buku latihan yang tiada jawapan itu.
"Aku patut siapkan kerja sekolah sebelum cikgu masuk." Kotak pensil dikeluarkan dari beg sandang dan buku latihan tadi dicapai olehnya.
*
Pelajar lelaki yang meminta buku Qashmir sebelum kelas tadi sedang merenung ke arah Qashmir dengan wajah yang tidak berpuas hati. Dagunya ditongkat menggunakan tangan kanan yang diletakkan di atas meja Qashmir. Qashmir pula hanya menyimpan buku teks Matematik di dalam laci meja.
"Kau tak siap buat tugasan buku latihan tu tapi kenapa kau hantar?"
"Aku dah siapkan tadi. Soalan tak susah pun. Kau pun patut buat sendiri." Kata Qashmir sebelum berdiri dan berjalan menuju ke arah pintu kelas.
"Hei. Kau nak pergi mana?"
"Tandas."
"Tandas sebelah kelas ni tak ada air. Pergi tandas blok darjah 6." Pesan rakan sekelasnya sebelum Qashmir keluar dari kelas tersebut.
Qashmir terus mengatur langkah menuju ke arah blok darjah 6. "Apa nama dia? Name tag pun tak ada."
*
Zay terus menuju ke arah kelasnya selepas selesai menghantar buku nota yang dikumpul olehnya di bilik guru. Hal ini demikian kerana guru Sejarah tidak dapat masuk ke kelas kerana ada mesyuarat penting dengan pengetua dan para guru penolong kanan yang lain. Tidak hairanlah jika guru Sejarah tersebut merupakan guru cemerlang di sekolah ini.
"Syam? Kenapa dia ada dekat blok kelas aku? Dia nak pergi mana?" Zay memerhati Qashmir dari jauh sehingga dia melihat Qashmir masuk ke dalam tandas lelaki yang terletak tidak jauh dari bilik stor peralatan pembersihan.
"Hmm... Cara dia jalan. Macam kali ketiga aku jumpa sebelum ni. Slow." Monolog Zay berdasarkan pemerhatiannya terhadap diri 'Syam' yang dikenalinya.
YOU ARE READING
A.K.U : ALTER
Mystery / ThrillerSyam Syahrul Azmi merupakan host kepada 8 alter yang lain. Tiga daripada mereka sering muncul dalam dunia realiti Syam dan tiga alter lagi berada di sebalik kebenaran. Dr, Syamila juga tidak mengetahui tentang kewujudan tiga alter tersebut kerana me...