SEJAK setengah jam lagi aku sudah terpacak di kafe ini. Bunyi keriuhan pelajar yang sibuk membeli makanan dan berbual serta bergurau senda melatari keadaan di sekelilingku pada ketika ini. Ayuni sudah pun berjanji mahu menemaniku makan tengah hari sebelum pulang ke hostel. Malangnya sehingga sekarang, batang hidungnya masih belum menampakkan bayang.
Disebabkan bosan menunggu, pandangan mata mula melinggas di segenap ruang kafe. Hari-hari menjamah orang berwajah putih kemerahan dan berambut blonde membuatkanku naik jemu. Lantas wajah-wajah sahabatku di tanah air berlegar di ruang fikiran. Rasa rindu pada mereka kian menebal. Hanya gambar-gambar yang dimuat naik di laman Instagram sahaja yang menjadi tatapanku yang jauh di negara asing ini. Agaknya apalah khabar mereka sekarang?
Menurut Ayuni, di kampung hanya aku dan dirinya sahaja yang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Alhamdulillah, atas rasa minat dan kecemerlanganku di sekolah kemahiran, pihak FELDA bermurah hati mahu menanggung perbelanjaanku di sini.
Siapa kata belajar di sekolah kemahiran tiada masa depan?
Hanya manusia yang berfikiran tohor sahaja yang berfikiran sebegitu. Buktinya pihak kerajaan sudah pun menaik taraf kedudukan sekolah kemahiran kepada peringkat kolej. Mereka juga diberi sijil diploma kemahiran menggantikan sijil SPM.
Aku sudah tidak betah menunggu lagi. Komputer riba dimatikan. Buku-buku serta pen dikemaskan lalu dimasukkan ke dalam beg sandang milikku. Kemudian beg tersebut digalas pada bahu. Setelah meletakkan beberapa not dolar di atas meja, langkah diatur meninggalkan kafe.
SENGAJA aku memilih untuk berjalan kaki. Mujurlah ada lorong khas yang disediakan di sini. Tidaklah aku terbatuk-batuk terhidu asap kenderaan. Di sini banyak pengangkutan awam disediakan. Dari seperlahan basikal sehinggalah selaju kereta api bawah tanah ataupun dipanggil Subway. Tinggal bawa badan dan duit sahaja.
Di New York rakyatnya digalakkan menaiki pengangkutan awam kerana mahu mengurangkan kadar pencemaran udara. Asap kenderaan boleh menyebabkan juga pemanasan global. Oleh itu, banyak perkhidmatan pengangkutan awam disediakan.
Di sepanjang lorong ini, kelihatan deretan pepohon maple teguh berdiri. Kebanyakannya sudah botak dan hampir togel tidak berdaun. Dedaun yang keguguran bergerak bebas mengikuti tiupan bayu sepoi-sepoi bahasa.
Mafela yang terlilit di batang leher diperkemaskan. Selendang bermotif flora yang kemas membaluti kepala berkibaran lembut.
Kehidupan manusia diumpamakan seperti pohon itu. Apabila pohon tersebut ditumbuhi daun yang lebat, ia menabur jasa tanpa disedari. Melindungi manusia daripada pencemaran bunyi dan suhu panas yang melampau. Tetapi apabila sudah tiba musim luruh, dedaun pergi dibawa angin sekaligus membiarkan pohon tersebut togel sehingga menampakkan ranting.
Seperti kehidupan, apabila kehidupan kita di waktu senang, kita menjadi perhatian orang serta disegani. Tetapi apabila kesusahan, kita tidak sedar bahawa insan yang berada di sisi kita sebelum ini pergi meninggalkan kita satu-persatu. Rupa-rupanya kita sudah ditinggalkan terkontang-kanting seorang diri.
YOU ARE READING
Mr. VS Miss Designer (C)
RomanceAIMAN DANIAL | IZARA SOFEA Status : Completed ✅ Izara Sofea. Seorang gadis yang merupakan anak jati FELDA telah pun ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perfesyenan selama tiga tahun di universiti fesyen yang terkenal di kota New...