TELEFON di tangan aku pusingkan berulang kali. Subuh tadi Danial sudah pun bergerak ke Manila. Hasratku ingin menghantarnya ke airport terbantut apabila dia sekeras-kerasnya melarang aku berbuat sedemikian.
Sah aku sudah gila! Tidak sampai setengah hari pun Danial hilang dari pandangan mata, aku bagaikan kucing kehilangan anak. Hati resah menanti panggilan mahupun mesej daripadanya.
Telefon yang bergetar menandakan terdapat mesej pesanan ringkas masuk. Skrin telefon digesek dan isi mesej tersebut dibaca.
Ara, jom keluar shopping. Haritu kau kata nak beli barang baby kan? Ni kebetulan aku tengah free ni. - Ayuni
Mood yang tadi agak merundum automatik naik mendadak apabila Ayuni mengajakku keluar berbelanja barang barangan bayi. Dalam kepala, pelbagai barang yang hendak dibeli sudah dirangka. Untuk warna barangan tersebut aku tidak pasti mahu membeli warna apa. Sejak awal-awal lagi Danial tidak mahu aku membuat pemeriksaan untuk mengetahui jantina anak kami. Tidak surprise nanti katanya. Bagi aku, lelaki ke perempuan jantina anak kami tidak mengapa, asalkan segalanya selamat dan dipermudahkan.
Aplikasi Whatsaap dibuka dan conversation antara aku dan Danial dibuka. Sebelum keluar rumah, aku akan mesej Danial dahulu untuk meminta izin. Apabila mesej tersebut dihantar, hanya satu tick sahaja yang kelihatan.
Jam di dinding dikerling sekilas. Nampaknya, suamiku masih dalam perjalanan ke Manila.
Apabila memikirkan bahawa Ayuni yang menemankan aku berbelanja pada hari ini, aku yakin pasti semuanya akan baik-baik sahaja. Insya Allah...
MASUK sahaja kamar tidur, bau haruman yang selalu Danial pakai mendominasi ruang. Sungguh, aku jadi angau walaupun bau haruman tubuhnya sahaja yang dapat aku hidu.
Baju yang belum bercuci kepunyaan suamiku yang terletak di dalam bakul aku ambil. Baju tersebut aku ambil lalu diletakkan di rongga hidung. Tidak dapat peluk orangnya, bau baju pun cukuplah, bisik hati kecilku.
Mata dilinggaskan di sekitar bilik tidur. Apabila dinding bilik menjamah ruang mata, automatik fikiran teringat akan struktur dinding yang sedikit terjongket tempoh hari. Apabila fikiran merewang kepada insiden tersebut, langkah kaki laju sahaja diatur ke tempat tersebut.
Kini, aku sudah pun terpacak di sini. Dengan lafaz basmallah, tapak tangan dilekapkan di dinding tersebut. Sedikit tekanan dikenakan di situ. Akhirnya...
Dinding tersebut bergerak perlahan-lahan sejurus itu menampakkan sebuah pintu besi yang agak berkilat dengan pad kekunci nombor. Dengan tangan yang agak terketar-ketar, pad kekunci tersebut lantas diketik. Otak ligat memikirkan apakah nombor yang menjadi kata laluan pintu tersebut.
"Nombor apa nak tekan ni..." gumamku perlahan.
Tanpa sedar, aku terus sahaja menekan pad kekunci tersebut. Nombor pendaftaran kereta Ferrari milik suamiku dimasukkan.
Klik!
Sejurus sahaja bunyi tersebut menyentuh telinga, pintu besi tersebut terbuka untukku. Dalam hati, ucapan syukur dipanjatkan kerana urusanku kali ini dipermudahkan. Langkah kaki diatur masuk. Bilik yang pada mulanya agak kelam dan gelap menjadi terang-benderang apabila aku melangkah masuk ke dalam bilik rahsia ini.
Ternyata tiada apa yang pelik yang berada di sini. Bilik yang berlatarkan warna putih dan hitam ini aku perhatikan segenap ruang tanpa tinggal seinci pun. Di sudut dinding terdapat susunan piring muzik antik. Terdapat juga deretan rak-rak buku yang sarat dengan buku berketinggian mencecah siling. Di sudut tengah bilik ini, terdapat sebuah meja kerja yang diperbuat daripada kayu jati yang berkualiti tinggi. Ukiran kayu yang diukir secara timbul itu aku usap lembut. Nampak gayanya, meja ini merupakan meja antik. Motif bunga dan daun yang diukir secara halus menandakan bahawa pengukir tersebut merupakan pengukir kayu yang profesional.
YOU ARE READING
Mr. VS Miss Designer (C)
RomanceAIMAN DANIAL | IZARA SOFEA Status : Completed ✅ Izara Sofea. Seorang gadis yang merupakan anak jati FELDA telah pun ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perfesyenan selama tiga tahun di universiti fesyen yang terkenal di kota New...