24

3.4K 221 2
                                    

MASUK sahaja bilik, aku terus sahaja mencapai telefon. Umi menyuruhku supaya berkemas kerana sekejap lagi kami akan pulang ke rumah semula.

Nenek sudah biasa duduk berseorangan di rumah ini. Sejak arwah datuk telah meninggal dunia, ramai sanak-saudara, adik-beradik nenek tidak putus melawat nenek. Mereka juga rajin mengambil tahu hal kebajikan nenek. Jika bekalan makanan di rumah nenek hampir habis, mereka membeli dan menambah yang patut. Jikalau nenek sakit, mereka cepat sahaja membawa nenek ke klinik. Alangkah bertuahnya nenek kerana mempunyai ahli keluarga yang prihatin sebegini.

Jari manis yang sudah pun tersarung cincin belah rotan aku pandang lama. Tanganku laju mencapai telefon yang terletak di atas meja sisi katil.

Mesej kiriman lelaki itu sebelum ini aku baca sekali lagi. Kini, gambar profilnya sudah kelihatan. Pasti dia sudah menyimpan nomborku di telefonnya.

Gambar dia sedang menunggang kuda menjadi gambar profil Whatsaap miliknya. Entah mengapa, rajin pula aku mahu menjadi stalker pada hari ini.

Kini, info kenalan dibuka. Rasa ingin tahu membaluti diri. Agaknya apakah perihal diri yang terpapar di profil Whatsaap lelaki itu.

When you said that you are mine, I'll try all of my best to own you. That is my promise.

Entah mengapa, kata-kata itu berjaya membuat aku tersenyum sendiri. Kata-kata itu seakan menjurus kepada peristiwa aku menyuarakan hasrat untuk dia mengahwiniku.

Eh, dia tak tulis pun nama kau dekat situ, kenapa kau perasan sangat Ara? Soalan itu dilontarkan dalam hati pada saat ini.

Malas mahu syok sendiri, aku terus sahaja bangkit dari pembaringan. Aku mula melipat baju lalu dimasukkan ke dalam beg.

Treet... treet... treet...

Telefon di atas meja solek bergetar menandakan ada mesej baru yang masuk. Aku meneruskan sesi melipat pakaian tanpa menghiraukan mesej tersebut. Jikalau bertangguh kerja ini nanti, alamat membebellah umi.

"Ara, keluar sekejap. Ni nenek ada benda nak cakap dengan kamu."

Aku bergegas keluar apabila umi memanggilku di luar. Dengan pantas, aku menghayun langkah untuk mendapatkan umi dan nenek di ruang tamu.

"Ya nek, ada apa?" soalku seraya melipat sila di atas karpet yang terhampar di ruang tamu manakala umi dan nenek sedang duduk di kerusi.

"Ara, nenek dengar kamu dah ada calon suami ya?" soal nenek lembut.

"Ya nek, Ara pun tak sangka dapat calon suami secepat ni," ucapku seraya tertawa kerana mahu menutup rasa risau yang melanda diri ketika ini.

Aku takut jika penerimaan nenek terhadap Danial sama seperti Mak Ngah Bedah kerana mengikut perancangan asal nenek aku akan disatukan dengan Hakimi.

Bahuku diusap lembut oleh nenek. Wajah yang kian dimamah kedut itu aku tatap dengan penuh kasih.

"Ara, nenek rasa kamu dah tahu kan hasrat nenek nak satukan kamu dengan Hakimi?"

Aku mengangguk. Dalam hati, aku menantikan apakah butir bicara yang akan meluncur dari bibir nenek sebentar nanti.

"Nenek lupa yang jodoh tu kita tak boleh nak paksa. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah perancang yang sebaik-baiknya. Ara, nenek tak kisah siapa pilihan kamu, asalkan lelaki tu boleh jaga kamu, bimbing kamu, dah cukup senangkan hati nenek dan umi," ucap nenek lalu memandang umi sejenak. Kemudian, wajahku ditatapnya semula.

"Terima kasih nek," ucapku seraya memeluk erat bahu nenek. Ternyata, nenek dapat menerima keputusan ini dengan lapang dada.

"Sama-sama sayang. Cepat kahwin dapat anak, nanti dapatlah nenek rasa macamana rasanya dapat jadi moyang."

Mr. VS Miss Designer (C)Where stories live. Discover now