BAWANG yang masih dikupas aku ambil selabu. Kulit bawang itu aku buang kulitnya menggunakan pisau. Baru sahaja mahu mengupas selabu bawang, airmata sudah pun menakung peluput mata. Terkerdip-kerdip mata menahan rasa pedih yang menjalar pada pelupuk mata pada ketika ini.
Aku sudah pun seminggu berada di kampung. Balik sahaja rumah minggu lalu, umi menyuruhku mengemas baju untuk ke rumah nenek. Dengar khabar, sepupuku Aisyah mahu melangsungkan pertunangan.
Selama seminggu itu juga aku menutup telefon. Aku masih belum mempunyai kekuatan untuk menjawab soalan rakan sekelas yang bertanyakan mengapa aku pulang ke Malaysia secara mengejut.
Lelaki itu ternyata menunaikan katanya. Sehari selepas berada di Malaysia, pihak bank telah pun memaklumkanku mengenai kemasukan duit dalam angka yang agak besar dari kebiasaannya. Aku juga hairan mengapakah aku diberi elaun yang sebegitu banyak.
"Hai termenung kamu Ara!"
Sergahan dari Mak Cik Maria yang merupakan jiran sebelah rumah nenek menyentakkan aku dari lamunan yang bertali-temali dalam ruang fikiran.
"Mana ada termenung cik..." ujarku dengan niat untuk menutup hakikat yang aku termenung sebentar tadi. Padahal, sudah terang lagi bersuluh aku tertangkap tadi. Dalam diam, aku menempelak diri kerana termenung tidak mengira tempat.
Aku menarik nafas lega apabila Mak Cik Maria telah pun diajak berbual dengan rakan yang duduk di sebelahnya.
Selabu bawang merah berbaki setengah yang belum dikupas aku ambil semula. Aisyah yang merupakan anak Mak Ngah Bedah iaitu adik kepada umi akan melangsungkan pertunangannya esok. Majlis pertunangan tersebut diadakan di rumah pusaka nenek kerana rumah Mak Ngah Bedah tidak muat untuk memuatkan ramai orang.
Masih terbayang lagi betapa terkejutnya aku apabila ramai orang yang berada di rumahku minggu lalu. Mereka juga memberi reaksi yang sama apabila melihat kehadiranku. Sudahlah aku pulang secara mengejut. Nasib baiklah umi memberitahu mereka kononnya umi terlupa untuk memaklumkan kepada saudara-maraku bahawa cuti semester sudah pun bermula.
Namun, aku dapat menangkap riak wajah umi yang juga berperasaan sebegitu. Disebabkan ramai orang di rumah kami, mujurlah umi tidak bertanyakan tujuan kepulanganku secara mengejut ini.
"Ara, ambilkan besen besar dalam bilik stor. Kentang ni tak muat letak dalam besen kecik ni." Arahan dijatuhkan oleh umi kepadaku.
Aku mengangguk seraya mula mengatur langkah penuh berhati-hati untuk ke belakang kerana tidak mahu terpijak hampas-hampas kulit bawang dan kentang di atas tikar. Langkah diatur menuju ke bilik stor yang berada di belakang rumah nenek. Suis lampu dipetik. Malangnya, lampu masih tidak menyala.
Mahu tak mahu, aku redah sahaja. Disebabkan bilik stor itu sudah lama tidak digunakan, pasti nenek tidak menyedari akan kerosakan lampu di sini.
Langkah diatur dengan berhati-hati. Bukan apa, banyak periuk belanga yang tidak tersusun diletakkan berdekatan dengan muka pintu. Aku terbatuk kecil apabila debu-debu hama memasuki hidung. Pada masa yang sama, tangan sibuk meredah sesawang labah-labah yang menyukarkan perjalanan.
YOU ARE READING
Mr. VS Miss Designer (C)
RomanceAIMAN DANIAL | IZARA SOFEA Status : Completed ✅ Izara Sofea. Seorang gadis yang merupakan anak jati FELDA telah pun ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perfesyenan selama tiga tahun di universiti fesyen yang terkenal di kota New...