SETELAH penat seharian berjalan, barulah aku dapat menghempaskan tubuh di atas katil. Semasa masuk sahaja ke bilik, aku pantas sahaja mencapai tuala untuk mandi. Kehangatan air panas yang membasahi tubuh membuatkan aku segar sedikit. Setelah giliranku membersihkan diri, kini giliran Danial pula yang mandi.
Bantal yang tersusun elok di atas tilam aku tepuk perlahan. Kemudian, kepala dilabuhkan. Gebar yang terletak di hujung kaki ditarik menutupi tubuh. Penghawa dingin tidak dipasang memandangkan cuaca pada malam ini agak sejuk dari biasa. Hanya heater sahaja yang dipasang untuk menghangatkan suhu. Mata dipejamkan.
Bunyi derapan tapak kaki yang kedengaran menandakan suamiku baru sahaja mandi. Tidak sanggup aku melihat pemandangan seksi yang terbentang di hadapan mata. Tubuh kekar lelaki yang dibaluti oleh bathrope. Itu belum masuk lagi air yang menitis dari hujung rambut tatkala dia mengirai rambutnya dengan jari-jemari jantannya.
Keadaan tilam yang sedikit tenggelam menandakan bahawa suamiku sudah pun berbaring di sebelahku. Disebabkan kedudukan aku yang membelakanginya, aku tidak tahu sama ada dia sudah memejamkan mata mahupun belum.
Mata yang pada mulanya terpejam aku buka perlahan-lahan. Bayangan gelang silver yang dihadiahkan oleh suamiku siang tadi kutelek dalam diam. Automatik mataku terasa panas. Cecair bening menakungi peluput mata. Hati ini merintih sayu.
Entah mengapa aku berasakan aku bukan isteri yang terbaik untuk seorang lelaki yang bernama Aiman Danial. Aku serba kekurangan jika mahu dibandingkan dengan dirinya. Air mata turun mencurah-curah membasahi bantal yang teralas di kepalaku. Aku cuba menyembunyikan bunyi tangisan agar dia tidak menyedari yang aku sedang menangis.
Tubuhku terasa hangat apabila terdapat tangan kasar yang memeluk erat tubuhku dari arah belakang. Rasa hangat nafasnya yang menyapa batang leher menandakan bahawa dia sudah pun selamat mendaratkan dagu di bahuku dalam keadaan berbaring.
"Kenapa kau suka menangis diam-diam? Kau tau, aku paling benci kalau ada orang yang menangis dalam senyap. Tak seksa ke tahan sendu tu?" bisiknya di telingaku. Automatik suaranya hangat memasuki gegendang telinga.
Aku masih lagi mengeraskan tubuh. Tidak sanggup rasanya mahu menatap wajahnya dengan mata yang sembap sebegini. Mata dipejamkan semula. Pertanyaannya aku biarkan tidak terjawab.
Jantung terhentak kuat apabila tangan kasarnya memusingkan tubuhku ke arahnya. Hampir terjerit aku akibat tindakan drastiknya. Kini, kepalaku sudah pun tersembam ke dadanya. Bau haruman tubuhnya yang maskulin membuat jantungku berdegup kencang.
Aku berasa tenang apabila tangannya menggosok lembut belakang tubuh. Lagaknya seperti mahu memujuk anak kecil untuk tidur. Walaupun perilaku itu selalu dibuat untuk budak kecil, entah mengapa aku amat terkesan dengan tindakannya itu. Aku berasa seakan tenang dan dilindungi. Dalam diam, hatiku juga berbunga hangat.
"Budak kecik, kalau ada masalah kau ceritalah dengan aku. Janganlah simpan sendiri. It's like you killIing me when the tears kiss your cheek. You had stabbed my heart," ucapnya dengan nada yang tertahan-tahan.
Suasana sepi seketika. Aku memejamkan mata sambil menikmati kehangatan tubuh suamiku. Aku membalas pelukannya dengan kejap. Disebabkan kepalaku sudah pun tersembam di dadanya, aku dapat mendengar bunyi degupan jantungnya dengan jelas. Detak jantungnya kedengaran sedikit tidak teratur. Sama dengan detak jantungku saat ini. Debaran halus mengisi ruang dada di saat aku bersama dengannya.
Pelukan dieratkan lagi. Kini, tiada angin yang mampu memborosi ruang di antara kami. Pada saat ini, aku memerlukan ketenangan. Dia masih lagi setia mengusap belakang tubuhku. Dalam hati, aku bersyukur kerana dia tidak menanyakan lagi gelodak yang melanda sekeping hatiku. Pada malam yang sejuk dan berangin itu, aku dan dia sudah pun lena dek kepenatan berjalan seharian di tanah asing ini.
BUNYI azan yang bergema dari telefon milikku sipi-sipi menyentuh cuping telinga. Aku mengeliat kecil. Aku tersenyum halus apabila menyedari lengan sasa Danial menjadi bantalku. Patutlah lena semacam sahaja, desis hati kecilku.
Aku masih lagi dalam keadaan berbaring. Peluang inilah aku ambil untuk menelek wajahnya. Kini, aku sudah pun berbaring menghadapnya. Aku pautkan lengan pada lehernya. Kemudian, dengan penuh kasih, aku mengucup dahinya.
Mata jelas menangkap urat-urat hijau pada dahinya. Menurut satu blog yang aku baca, orang yang mempunyai urat di dahi merupakan seorang yang panas baran. Tetapi bagi aku, lelaki di hadapanku ini tidak pernah bersikap sebegitu. Dia seorang yang tegas dan berpendirian tetap. Jika hitam katanya, hitamlah. Usahlah dibantah. Dia juga seringkali menjadi pelindungku. Sampai saat ini aku masih dapat bayangkan betapa bengisnya muka dia apabila membelasah penjahat-penjahat yang cuba untuk mencederakan aku tempoh hari.
Kemudian, aku mengucup kelopak matanya yang terkatup. Bulu matanya yang tidak terlalu lebat dan terlalu nipis. Iris matanya yang berwarna coklat kehitaman seringkali membuatkan aku terigau siang dan malam. Ada kalanya biasannya kelihatan lunak dan bersinar indah, ada kalanya dicerun tajam menombak ke mataku apabila ada perkara yang tidak disukainya aku lakukan, ada kalanya berdesis nakal dan seksi. Pada masa yang sama, jantung aku berdetak sama hebatnya.
Kini, hidung mancungnya yang menjadi sasaran tanganku. Aku mengusap lalu menggigitnya kecil. Sejak dulu aku amat geramkan hidungnya. Kemudian, bibir merahnya yang terukir cantik menjadi santapan mataku. Ulas bibirnya berwarna merah muda, jantung berkocak hebat apabila dia menciumku tempoh hari. Kemudian, bibir miliknya aku usap perlahan sambil jari-jemariku bermain di situ lama. Dengan penuh berhati-hati, aku mendaratkan bibirku pada ulas bibirnya.
Setelah selesai, kini rambutnya pula menjadi mangsa. Rambutnya amat lebat dan tebal. Aku mengusap rambutnya lalu mencium ubun-ubunnya. Sungguh aku suka menelek wajahnya sebegini. Barulah aku tahu mengapa ramai wanita yang gilakan dia. Sungguh kacak dan elok wajahnya.
Namun, hatiku seakan berasa sesuatu. Entah sampai bila aku mampu menahan diri daripada bertanyakan lebih lanjut mengenai perkara yang dirahsiakan daripadaku. Aku tahu, di sebalik kesempurnaan yang dizahirkan, terdapat perkara yang disimpan sekemas-kemasnya oleh dia sehingga saat ini. Aku berharap hari itu akan tiba jua. Biarlah aku mendengar dari mulutnya sendiri.
Walau siapa pun suamiku, buruk mana kisah silamnya, aku tetap mencintainya. Aku redha jikalau dia belum terbuka hati untuk menceritakan kenyataan tersebut kepadaku. Aku yakin dia pasti ada sebabnya tersendiri. Aku takut andai aku tidak kuat untuk menghadapi perkara tersebut.
Entahlah, aku berharap aku tidak terasa hati atau berkecil hati apabila mengetahui hakikat sebenar. Hati ini tertanya-tanya juga, adakah Danial telah pun berkahwin satu lagi di belakangku? Jikalau tidak, mengapa dia tidak ceritakan sahaja apa yang terjadi?
Airmata yang menitis dalam senyap, aku seka cepat. Tidak mahu mengejutkannya dari lena. Dalam keadaan sama, aku memeluk tubuhnya erat. Degupan jantungnya hangat menyentuh telinga. Hati kuat menyatakan bahawa Danial bukan lelaki yang begitu.
"Terima kasih Danial. Saya takkan lupa segala jasa awak pada saya. Terima kasih juga kerana sudi mengangkat darjat saya sebagai seorang isteri. Awak tau tak, gelaran isteri tu gelaran istimewa bagi setiap wanita. Saya harap jodoh kita kekal hingga syurga," bisikku perlahan. Senyuman ikhlas turut aku ukirkan. Hendak mengucapkan ucapan itu di hadapannya, aku tidak kuat. Pasti aku akan teresak-esak di hadapannya.
Disebabkan waktu Subuh kian ke penghujungnya, aku mula merungkaikan gebar yang membaluti tubuh. Namun, aku tersentak apabila lenganku dipegang kemas olehnya.
Aduhai, adakah dia dengar dan rasa apa yang aku lakukan sebentar tadi? Pada saat ini, darah merah menyerbu ke bahagian wajah. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang.
Dia masih lagi memejamkan mata seperti tadi. Mengenangkan dia mungkin bermimpi, aku teruskan hasratku yang terbantut tadi.
"Aku harap kau bahagia hidup dengan aku. Aku tak nak tengok kau menangis dan bersedih lagi. Enough hurt my feeling. It damn killing me silently."
Sekali lagi airmata aku luruh. Dengan kedudukan yang membelakangkan dia, aku menangis. 'Maaafkan saya sebab selalu buat awak rasa macam tu Danial. Saya ni cengeng kan.'
Kemudian, aku mengambil tuala lalu segera masuk ke kamar mandi untuk melaksanakan tangggungjawab sebagai hamba-Nya.
YOU ARE READING
Mr. VS Miss Designer (C)
RomantiekAIMAN DANIAL | IZARA SOFEA Status : Completed ✅ Izara Sofea. Seorang gadis yang merupakan anak jati FELDA telah pun ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perfesyenan selama tiga tahun di universiti fesyen yang terkenal di kota New...