15

3.5K 207 4
                                    

MASUK sahaja dalam bilik, aku terus sahaja menghempaskan tubuh ke katil

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

MASUK sahaja dalam bilik, aku terus sahaja menghempaskan tubuh ke katil. Bantal peluk yang tersadai di hujung katil dicapai lalu dipeluk erat. Telefon yang berada di atas meja kecil sisi katil aku ambil. Skrin diketik.

Whatsapp Message

5 chats from 3 converstions

Empat mesej dihantar dalam group WhatsApp kelas. Pasti mereka mahu bertanyakan mengapa aku cuti secara tiba-tiba. Ada satu perbualan yang dihantar oleh nombor yang tidak diketahui.

Hati seakan mendesak supaya aku membaca mesej tersebut. Sudahlah gambar profilnya tidak kelihatan. Dengan lafaz basmallah, mesej tersebut aku baca dengan segugus debaran di dada.

Kau okey? - Unknown Number

Aku tidak dapat menebak siapakah pengirim mesej tersebut. Pada saat ini, aku pasti ramai orang boleh menanyakan soalan sebegitu kepadaku kerana aku hilang dari kelas secara tiba-tiba. Aku malas mahu menjawab pertanyaan tersebut.

Typing...

Aku tidak jadi mahu mematikan data apabila pengirim yang tidak dikenali itu masih berminat untuk berborak denganku. Aku hanya menantikan apakah yang mahu ditanya olehnya lagi.

Take care for yourself. Jangan biarkan masalah tu ubah diri kau jadi orang lain. I hate if it happen to you.- Unknown Number

Hatiku tersentak apabila membaca mesej kiriman orang yang tidak dikenali itu. Ayat itu seperti aku pernah dengar sebelum ini. Sekejap, adakah Danial yang mengirimkan mesej tersebut?

Nafas lega ditarik. Sudah jelas nombor tersebut beralamat di Malaysia. Dia di New York, mana mungkinlah dia berada di Malaysia pada saat ini. Lagi satu, tak ada sebab yang mendesak dia ke sini.

Malas mahu berfikir panjang, aku terus sahaja melelapkan mata. Mujurlah sampai sahaja ke rumah nenek tadi perkara pertama aku lakukan adalah mengemas bilik ini.

"Ara, keluar sekejap. Umi nak minta tolong kamu ni."

Sudah, baru sahaja aku mahu melelapkan mata suara umi sudah pun memekik di luar sana. Haih, nasib badan.

Mahu tak mahu, aku laju sahaja bangun dari pembaringan seraya mengambil tudung yang tersangkut di kepala katil. Setelah menelek wajah di cermin, aku terus sahaja melangkah keluar dari bilik untuk mendapatkan umi.

"Yes umi, what can I help you?" tanyaku dengan wajah yang paling manis.

Umi pada ketika itu sedang sibuk mengisi kuih dan manisan ke dalam telap-telap kosong yang kelihatan agak baharu itu. Mana taknya, mataku jelas menangkap tanda harga yang masih terlekat cantik di bekas-bekas tersebut.

"Ni hah si Hakimi ni teringin nak merasa burger leleh. Bawaklah dia ke situ ye Ara. Kesian... kempunan karang."

What? Aku... aku tak salah dengar kan? Apa? Si Kimi tu nak makan burger leleh? Sekejap, apa fasal aku kena teman dia, dah tak ada orang lain ke dekat sini? Hatiku sudah pun mendongkol geram.

Riak wajah aku cuba kawal sehabis mungkin. Sudahlah ramai orang pada hari ini.

"Fea, maaf ye sebab susahkan Fea. Abang memang teringin nak makan burger leleh tu. Abang sampai selongkar tau dekat Facebook. Rupa-rupanya dekat Segamat je ada burger tu," ucap Hakimi seraya tersenyum manis di hadapanku.

Ya Allah, kau kuatkanlah benteng kesabaran dalam hatiku, monologku dalam hati pada ketika ini. Kalau diikutkan perasaan, mahu sahaja aku menyembur sekali di hadapan lelaki ini. Sudahlah memandang aku dengan pandangan mata yang semacam, asyik tersenyum sahaja. Hobi terbaru, suka mencuri pandang ke arahku.

Sabar Ara, sabar, fuhhhhh...

"Yelah cu, pergilah bawa Kimi makan dekat kedai Hafizul tu, burger dia memang dah terkenal dah luar negeri," tokok nenek yang baru sahaja datang dari dapur.

"Baik nek, Ara akan bawak Abang Kimi makan dekat situ," ucapku seraya mengukir senyuman. Aku cuba mengawal keadaan agar mereka tidak dapat menghidu gelodak yang sedang berperang di dalam hati pada ketika ini.

"Eloklah tu, Ara. Nanti bolehlah bawa Kimi jalan kampung sekali, dah lama dah dia tak balik sini. Sekali-sekala nak juga tengok suasana kampung." Kini, giliran Mak Ngah Bedah pula bersuara.

"Baik umi, nenek dan mak ngah. Abang, jom kita gerak sekarang." Aku membuat isyarat mata kepada Hakimi agar dia dahulu keluar dari rumah.

Aku membuntuti langkah Hakimi ke luar rumah. Dari hujung mata, aku sempat menangkap senyuman penuh makna Hakimi, mak ngah dan nenek. Memang sengaja. Konon nak temankan beli burger, padahal nak kenenkan kami berdua. Jangan harap, aku takkan sesekali akan jatuh hati pada lelaki ini.

"FEA jemputlah naik kereta abang ni, maaflah kereta lama je ni."

Hakimi sudah pun membukakan pintu tempat duduk di sebelah pemandu. Bunyi usikan dan pandangan mata saudara-mara menerpa gegendang telinga dan hamparan mata pada ketika ini. Pasti mereka berfikir bahawa kami mempunyai hubungan yang istimewa.

Mahu tak mahu, aku dengan hati yang terpaksa memboloskan diri ke dalam Toyota Prius kepunyaannya apabila dia masih lagi berdiri di situ menahan pintu.

'Kereta lama apanya ni, siap berplastik bagai.' Hatiku berbisik apabila sudah membolosi ke dalam perut kereta. Mataku kini singgah pada pemain lagu dan televisyen yang terpasang. Lagu She's Gone nyanyian Steel Heart berkumandang pada ketika ini.

Hakimi sudah pun memboloskan diri ke dalam kereta.

Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir dia berkata " Seat belt please, Fea."

Mahu tak mahu, aku terpaksa menarik tali pinggang yang terselit di belakang kerusi.

Setelah memastikan bahawa aku telah selamat memakai tali pinggang keselamatan, barulah aku dapat mendengar bunyi deruman enjin keretanya. Kereta yang dinaiki kami beransur-ansur bergerak keluar menuju ke jalan utama.

"Fea masih study lagi?" soal Hakimi apabila beberapa minit kami membisu.

"Study, nak dekat last sem dah."

"Baguslah..." ucapnya antara dengar tak dengar.

"Apa yang bagusnya?" soalku laju.

"Errr... baguslah lepas ni Fea boleh jaga umi. Kesian umi keseorangan dekat rumah," ucapnya dengan nada yang seperti teragak-agak.

Aku hanya menggangguk.

Ceh, ingat aku tak tahu hasrat nenek nak satukan aku dengan kau lepas aku habis study, hatiku mendongkol geram. Itu pun aku terdengar semasa waktu minum petang semalam.

Nenek dan Mak Ngah Bedah bercadang mahu tunangkan kami. Aku tidak pasti adakah umi tahu mengenai hasrat tersebut kerana umi tidak pula membangkitkan isu tersebut di hadapanku.

"Banyak dah berubah kampung kita ni," ujar Hakimi seraya menyalakan lampu signal untuk membelok ke kiri.

"Fea tahu tak, baru-baru ni ada banyak program dekat sini yang diadakan oleh belia kat kampung kita ni?" Soalan diajukan buatku. Dia seakan mahu memancing minatku untuk berbual dengannya.

"Tahu, ada kelas menjahit, ada aktiviti keusahawanan. Yang terbaru, ada aktiviti baru iaitu RB yang akan diadakan pada waktu petang."

"RB, apa tu?" soal Hakimi dengan kerutan di dahi.

"Roller blade," balasku sepatah.

"Owh, hahahahahahaha," Dia memuntahkan gelak.

Aku masih lagi statik dengan wajah biasaku. Aku tidak minat untuk menyertai gelak tawanya. Bukan apa, aku tidak tahu apakah unsur kelakar di sebalik akronim tersebut. Puas juga aku menganalisa unsur jenaka di situ. Tetapi, tiada pula yang kutemui.

Biasalah, zaman sekarang pelbagai singkatan yang dicipta. Contohnya, McDonald disebut McD, Kedai Serbaneka 7 Eleven kini dipanggil 7E.

Mr. VS Miss Designer (C)Where stories live. Discover now