SEJAK awal pagi tadi, aku sudah pun bersiap. Berbusana songket bertona hijau serindit, bertudung hijau pucuk pisang. Danial pula memakai kurta berwarna senada denganku dan berseluar slack berwarna hitam.
Selesai sahaja solat berjemaah bersama Danial, aku terus sahaja menuju ke bilik Aisyah. Pintu biliknya aku ketuk. Aku tahu pada saat ini debarannya sudah pun memuncak. Tepat jam lapan pagi nanti, sesi akad nikah akan diadakan di masjid.
Sejurus sahaja pintu dibuka, kelihatan Aisyah masih lagi bertelekung. Aku dapat mengesan birai matanya agak basah. Tanda baru lepas menangis.
Tanpa kata, aku terus sahaja melangkah masuk ke kamar pengantin yang telah dihias indah itu. Daun pintu ditutup rapat. Punggung dilabuhkan di atas katil. Aisyah yang masih bertelekung mengambil tempat di sebelahku.
"Ara, aku takut..." luahnya lemah.
Bahu gadis yang lagi beberapa jam akan bergelar seorang isteri itu aku usap lembut. Senyum halus diukirkan buat tatapannya.
"Kenapa kau nak takut Cah? Kau dengan Hafiz kan berkahwin atas dasar suka sama suka. Kau orang berdua pun dah setuju kan?" soalku lembut.
"Ya, memang kami suka sama suka. Tapi kan Ara, aku ni muda lagi. Dia pun sama. Aku takut kalau perkahwinan kami ni tak kekal lama..."
"Kau ni Cah, kata-kata tu satu doa tau!" marahku. Ada patut belum apa-apa dia sudah berfikiran jauh begitu.
"Macam mana aku tak fikir, Ara. Zaman sekarang banyak remaja kahwin awal. Last-last, bercerai-berai."
Aku menggoyangkan jari ke kiri dan ke kanan menandakan bahawa spekulasi tersebut adalah salah.
"Bukan semua orang yang kahwin di usia muda perkahwinan mereka tak kekal, Cah. Ada je yang kekal hingga ke akhir hayat. Itu semua bergantung kepada setiap individu. Perkahwinan yang terhenti separuh jalan tu disebabkan niat mereka untuk mendirikan masjid tu salah," ucapku panjang lebar.
"Niat yang salah?" soalnya dengan dahi yang berkerunyut.
"Contohnya, orang muda zaman sekarang ni, bila baca novel cinta, tengok drama cinta, mereka harapkan kehidupan mereka juga sebegitu. Kahwin awal sebab nak sweet-sweet. Kita tak bolehlah landaskan niat tersebut untuk dirikan masjid. Kena fikir aspek lain lagi. Tanggungjawab pun kena fikir. Tanggungjawab seorang isteri macam mana, suami macam mana. Lagi satu, kalau dah kahwin, kenalah hakis jiwa muda tu. Dah kahwin buatlah cara dan kahwin, janganlah nak melepak dengan member sampai tanggungjawab diabaikan. Makan pakai suami tak terjaga, dapur tak berasap."
Aisyah mengangguk-angguk sejak tadi.
"Lagi Ara?"
"Lagi apa?"
"Nasihatlah. Aku nak tuntut ilmu rumah tangga dengan kau ni..."
"Lagi satu, kalau ada masalah antara suami dan isteri, duduk berbincang elok-elok. Kita ni sebagai perempuan, kalau angin suka je cakap lepas kan. Tapi bila di depan suami, cuba kawal perasaan marah tu dengan baik. Walau marah macam mana pun, jangan tinggikan suara depan suami," nasihatku lembut.
Fikiranku kini disapa oleh peristiwa di penthouse tempoh hari. Pada malam itu, aku dan Danial duduk berduaan di ruang tamu sambil menghirup teh bunga. Pada malam itulah, aku menceritakan segalanya. Kisah silamku selama ini.
"Baguslah kau ni Ara. memang isteri solehah kau ni," puji Aisyah.
"Tak adalah, Cah. Aku ni pun banyak kekurangan. Tak salah kan kalau kita sentiasa lengkapi diri kita dengan ilmu," ucapku seraya tersenyum.
YOU ARE READING
Mr. VS Miss Designer (C)
RomanceAIMAN DANIAL | IZARA SOFEA Status : Completed ✅ Izara Sofea. Seorang gadis yang merupakan anak jati FELDA telah pun ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perfesyenan selama tiga tahun di universiti fesyen yang terkenal di kota New...