BAB 6

4.7K 401 54
                                    

HANNA mengambil kasutnya dan berjalan dengan berjingkit-jingkit. Sempat lagi dia melihat jam tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Baru tadi dia mendapat mesej dari Amar yang mengajaknya untuk pergi bersiar-siar.

Hanna terus berjingkit-jingkit sehingga sampai di hadapan pintu dapur. Dia mahu cepat-cepat keluar. Amar sudah menunggunya. Belum sempat dia memegang tombol pintu, tiba-tiba ada suara budak kecil yang sedang menegurnya.

"Kakak nak pergi mana tu?" tanya Imran.

Hanna terus mendengus. Kacau sahaja budak kecil ini. Imran merupakan adik tiri kepada Hanna. Sebenarnya ayah dan ibu kandung Hanna sudah lama bercerai. Jadi, Hanna dijaga oleh ayahnya. Ketika Hanna berumur 12 tahun, ayahnya berkahwin pula dengan pembantu rumahnya sendiri dan menyebabkan perkahwinan itu amatlah dibenci oleh Hanna.

Sebab itulah sampai sekarang, Hanna tidak dapat menerima ibu tiri dan adik tirinya. Dia merasakan seolah-oleh perhatian ayahnya dirampas oleh mereka. Dia tidak boleh menerima semua ini.

Hanna menoleh melihat Imran yang tunak menandang ke arahnya. Budak kecil ini memang cari nahas sahaja.

"Kau jangan nak sibuklah!" marah Hanna lalu tanpa membuang masa dia terus membuka pintu dapur. Dia tidak mahu membuat kecoh. Nanti ayahnya pula yang tahu.

"Kau jangan nak bagitahu siapa-siapa. Kalau kau bagitahu, siap kau aku kerjakan." Sempat lagi Hanna memberikan amaran keras dan membuatkan Imran seperti mahu menangis. Seusai itu, Hanna pun menutup pintu dapur dengan perlahan-lahan.

"Sayang!" panggil seseorang. Imran tersentak. Kelihatan Puan Liyana iaitu ibu tiri Hanna menuju ke arahnya.

"Kenapa Im duduk kat dapur ni? Bukan tadi cakap nak tidur ke?" tanya Puan Liyana sambil mengusap rambut anaknya perlahan-lahan.

"Mama… tadi Im nampak Kak Hanna keluar. Dia marah Im tadi. Dia tak nak Im bagitahu siapa-siapa." Imran terus sahaja mengadu kepada Puan Liyana sambil memeluk mamanya.

Puan Liyana hanya mengeluh perlahan. Kalau nak tegur pun, mesti dia akan dimarahi oleh Hanna. Dia pun tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk mengambil hati anak tirinya. Semuanya serba tidak kena. Dia sudah anggap Hanna itu sebagai anaknya sendiri.

"Im… mama nak minta tolong?"

Imran terus mendongak dan memandang Puan Liyana seraya berkata, "Tolong apa, mama?"

"Tolong jangan bagitahu papa pasal Kak Hanna. Boleh?" Imran hanya menganggukkan sahaja.





______________________________________











SITI Safea membaca buku 'Panduan Pengucapan Awam' tersebut. Ada beberapa catatan yang telah dibuat supaya dia lebih faham isi buku tersebut. Sudahlah petang nanti, dia ada perjumpaan Kelab pidato.

Rina ada memberitahu di Whatsapp Group bahawa setiap ahli baru mestilah bercakap satu topik di hadapan orang ramai. Masa yang diberi hanyalah tiga minit sahaja. Memang tidak dinafikan hatinya berasa gusar. Takut kalau dia tidak dapat melakukan yang terbaik.

"Pia."

Siti Safea tersentak kerana tiba-tiba sahaja ada orang memegang bahunya. Dia menoleh. Rupa-rupanya Aqilah yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Eh! Kau ni… terkejut aku." Siti Safea mengurutkan dadanya. Suka sangat muncul secara tiba-tiba.

"Tak payah nak terkejut sangatlah. Cikgu Liza nak jumpa kau sekarang kat bilik guru."

Siti Safea mengerutkan dahinya. Cikgu Liza merupakan guru matapelajaran matematik di kelasnya. Tak pernah-pernah pula dia dipanggil ke bilik guru. Rasa berdebar pula padahal dia tidak ada buat apa-apa salah pun.

Darlingku Mr Bad CrushWhere stories live. Discover now