BAB 29

5K 518 60
                                    

"ALONG!"

Langkah Haziq terhenti. Baru sahaja dia mahu menghampiri gadis itu tetapi ibunya pula sudah memanggil. Haziq Arfan mengeluh perlahan. Dia tiada peluang untuk meminta maaf kepada Siti Safea.

"Ya, ibu," sahut Haziq sambil menoleh ke arah Puan Hani. Puan Hani bercekak pinggang. Dia tidak jumpa barang yang diminta oleh Siti Safea. Nasib baik anak sulungnya itu pulang tepat pada masanya.

"Nasib baik along dah sampai rumah. Safea nak kalkulator dangan buku Math. Ibu cari kat bilik along tak jumpa. Along pergi ambilkan. Kesian Safea dah lama tunggu." Puan Hani sudah mula membebel.

Haziq Arfan terus melihat Siti Safea lagi. Gadis itu sepertinya tersentak lalu memandang ke arah lain. Mungkin sejak kejadian itu, gadis itu tidak sudi memandangnya. Haziq mengeluh perlahan.

"Okey, ibu." Haziq berkata perlahan lalu dia terus masuk ke dalam rumah. Puan Hani mengerut dahinya. Pelik pula perangai anak sulungnya itu. Macam ada yang tidak kena. Puan Hani terus menghampiri Siti Safea yang sedang menguis-nguis jarinya.

"Safea, tak nak masuk rumah dulu ke? Minum-minum dulu. Dah lama Saf tak datang rumah ni."

Siti Safea hanya menggeleng sahaja. Bukan tidak sudi, tetapi dia tidak berasa selesa lagi-lagi apabila berhadapan dengan Haziq Arfan. Lelaki itu sangat membencinya. Biarlah dia mengundur diri sahaja. Dalam tidak sedar, Siti Safea asyik menundukkan mukanya dan membuatkan Puan Hani berasa pelik.

"Saf okey ke?" tanya Puan Hani lembut. Apa masalah gadis itu? Ada kena mengena dengan Haziq ke? Gadis itu seperti ada masalah yang besar sahaja.

"Tak ada. Kenapa mak cik tanya macam tu?" tanya Siti Safea sambil tersenyum.

Belum sempat Puan Hani mahu menjawab, tiba-tiba terdengar bunyi derapan kasut yang menghampiri mereka berdua. Serentak Puan Hani dan Siti Safea menoleh. Kelihatan Haziq Arfan sedang menghampiri mereka sambil memegang buku dan kalkulator Siti Safea.

Jantung Siti Safea berdegup laju. Dia mahu segera untuk pergi dari sini. Terngiang-ngiang kata-kata nista yang dilemparkan oleh bekas crushnya itu beberapa minggu yang lalu. Dia tidak mahu juga Puan Hani mensyaki sesuatu.

"Lambatlah along ni. Kesian Safea tunggu," bebel Puan Hani lagi sambil mencekak pinggang. Haziq Arfan hanya mengurut tengkuknya sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk. Ada 'benda' yang dilakukan di bilik tadi. Harap gadis itu perasan 'perubahan' buku latihan Matematiknya itu.

"Sorry lambat." Terus sahaja Haziq Arfan menghulurkan buku dan kalkulator tersebut. Matanya tidak lepas memandang Siti Safea. Siti Safea hanya mengangguk sahaja lalu dia terus menyambut barang-barangnya itu. Dia tidak betah lama-lama di situ. Lagi-lagi mata Haziq Arfan yang cantik itu asyik melihat dirinya seperti mahu menelan sahaja. Rasa seram sejuk pula.

"Ada apa-apa lagi, Saf?" tanya Puan Hani lagi. Siti Safea tersenyum sambil menggeleng. Rasanya tiada barang lagi yang tertinggal. Semasa peperiksaan awal tahun yang lepas, nasib baik dia mempunyai dua kalkulator. Entah macam mana kalkulatornya  yang selalu digunakan boleh tertinggal.

"Terima kasih, mak cik. Saya balik dulu. Assalamualaikum," pamit Siti Safea. Muka Haziq pun tidak dipandang dan membuatkan lelaki itu seperti terasa hati. Haziq hanya melihat Siti Safea yang sedang mengayuh basikal.

"Peliklah dengan Safea tu. Senyap semacam je. Korang gaduh ke?" tanya Puan Hani sambil memeluk tangannya. Kadang-kadang Haziq Arfan tidak boleh percaya. Mulutnya itu kadang-kadang suka cakap lepas.

Terus sahaja Haziq Arfan terkedu. Dia cuba untuk bertenang seraya berkata, "Tak adalah, ibu. Mana ada along gaduh dengan dia."

Puan Hani mengecilkan matanya seakan-akan tidak percaya. Haziq Arfan sudah tidak selesa. Dia tidak mahu ibunya tahu tentang hal itu. Biarlah dia simpan sendiri.

Darlingku Mr Bad CrushWhere stories live. Discover now