BAB 39

4.1K 368 58
                                    

PUAN HALIMAH menekan ikon berwarna merah untuk mematikan panggilan. Dia baru sahaja selesai membuat panggilan dari anak tunggalnya, Siti Safea. Puan Halimah berasa lega apabila mendengar suara anaknya. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kopi.

Sekeping kertas berwarna putih bersaiz A4 diambil. Puan Halimah memicit kepalanya. Kertas putih itu merupakan borang tuntutan fasakh. Ya… Puan Halimah sudah nekad untuk meminta fasakh. Suaminya memang sejenis manusia yang tidak akan berubah. Itu semua sandiwara sahaja.

Sekarang ini pun, Encik Sharifuddin sudah pun menghilang. Sudah beberapa minggu dia tidak pulang ke rumah. Pada mulanya, Puan Halimah berasa risau juga. Tetapi, setelah dia terserempak melihat suaminya di sebuah kedai judi membuatkan Puan Halimah sungguh berasa marah. Dia sudah nekad. Dia amat kenal dengan suaminya. Encik Sharifuddin takkan pernah berubah. Dia sahaja yang bodoh mempercayai kata-kata suaminya. Puan Halimah sungguh tidak tahan. Lagi bagus kalau mereka berpisah. Lagipun selama ini, dia sudah biasa membesarkan Siti Safea berseorangan tanpa bergantung dengan seorang lelaki yang bernama suami.

Seusai Puan Halimah meletakkan borang fasakh itu di atas meja, tiba-tiba pintu rumah diketuk dengan kuat. Terhinjut bahu Puan Halimah. Jantungnya sudah berdegup kencang. Dia terus berdiri sambil memandang pintu rumahnya yang sedang diketuk dengan kuat.

"Woi! Bukak!"

Puan Halimah terus mengambil penyapu yang kebetulan berdekatan dengannya. Puan Halimah tidak ada pilihan lain lagi. Dia kena buka juga pintu itu. Ketukan pintu semakin kuat. Dia pun tidak tahu gerangan yang mengetuk pintu itu. Itu bukan suara suaminya. Dia amat pasti tentang itu.

Puan Halimah sudah berada betul-betul di hadapan pintu. Tangannya sudah terketar-ketar sambil memegang tombol pintu. Dengan lafaz bismillah, Puan Halimah memusing tombol pintu. Pintu itu ditarik. Puan Halimah terkaku apabila melihat ada beberapa lelaki berbadan sasa sedang merenung tajam ke arahnya. Puan Halimah sudah ketakutan. Dia menutup pintu semula tapi ada seorang lelaki berkepala botak sempat menahannya.

"Kenapa lu mau takut, amoi? Wa bukan cincang badan lu, ma," ujar lelaki cina yang memakai baju pagoda putih itu. Sempat dia menghembuskan rokoknya sambil memandang Puan Halimah.

Puan Halimah sudah tidak boleh bertenang lagi. Sudahlah dia sahaja yang berada di dalam rumah pada waktu malam begini. Dia tidak tahu mahu lari ke mana lagi. Dia juga tahu lelaki cina itu ialah Ah Chai. Lintah darat yang kejam. Apa yang lebih malang lagi ialah Encik Sharifuddin telah berhutang dengan geng Ah Chai. Dia sungguh-sungguh risau kalau mereka melakukan perkara yang tidak baik.

"A… aku kenal korang. Korang nak apa? Orang yang kau cari tak ada. Jangan babitkan aku dengan anak aku. Aku merayu…. Kau pergi minta hutang kat lelaki jahanam tu..." rayu Puan Halimah sambil menangis teresak-resak meminta simpati. Dia tahu geng Ah Chai sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat duitnya semula.

Ah Chai hanya tersenyum sinis. Rayuan Puan Halimah itu dia tidak hiraukan. Sebaliknya, dia terus masuk ke dalam rumah tanpa meminta izin. Puan Halimah cuba menghalang tetapi dia hanyalah seorang wanita. Kudratnya tidak setanding dengan mereka.

Ah Chai melihat sekeliling. Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah gambar seorang gadis yang berada di atas kabinet. Ah Chai tersenyum sinis. Dia tahu gambar itu adalah satu-satunya anak kepada Encik Sharifuddin iaitu Siti Safea.

Dia menghampiri ke arah Puan Halimah semula. Kepalanya digerakkan sedikit sebagai tanda arahan kepada pekerjanya untuj memegang lengan Puan Halimah. Darah Puan Halimah mula berderau. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri.

"Lepaslah! Apa yang korang nak? Ya Allah!" Pegangan semakin kejap. Pelbagai fikiran buruk yang menerjah di benak Puan Halimah. Ah Chai semakin menyeringai. Seusai dia betul-betul berdiri di hadapan Puan Halimah, Ah Chai terus sahaja mencengkam dagu Puan Halimah.

Darlingku Mr Bad CrushWhere stories live. Discover now