BAB 14

4.9K 451 81
                                    

SITI SAFEA sudah berdebar-debar. Petang ini merupakan pengumuman wakil sekolah baru pertandingan debat dan pidato yang diadakan dua bulan nanti. Sejujurnya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi. Dia yakin dirinya tidak akan terpilih menjadi wakil debat. Cakap pun masih tergagap lagi. Apatah lagi mahu berdebat.

Siti Safea memandang ke hadapan. Kelihatan ahli jawatankuasa tertinggi sedang berbincang sesuatu. Wajah mereka semuanya serius. Ahli-ahli yang lain hanya diam sahaja dan membuat hal mereka sendiri. Ada juga yang bersembang kosong.

"Aku tak setuju. Kenapa pilih budak Safea tu pulak jadi wakil? Dia tu tak ada basic dalam pendebatan. Pertandingan lagi dua bulan je. Kita tak ada masa nak bimbing dia," kata Rina. Sempat lagi dia memandang sekilas ke arah Siti Safea yang sedang khusyuk merenung ke hadapan melihat mereka.

Azrin sudah mengeluh kasar. Benda ini sudah diperbincangkan. Apa lagi yang perempuan itu tidak berpuas hati? Hari ini ahli jawatankuasa sudah sebulat suara untuk membuat pengumuman tentang pertandingan debat tersebut.

"Rina, kita dah bincang pasal benda ni. Aku pun dah rujuk kat Cikgu Akmar. Dia okey je. Kau dah kenapa ni? Salah ke aku ambil Safea tu jadi wakil debat sekolah ni?" Nada suara Azrin sedikit keras mengeluarkan ayat-ayat itu.

Rina hanya mendengus kasar. Baginya, Azrin sudah membuat kesilapan yang besar. Sekarang ini, Azrin seolah-olah meletakkan pasukan debat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bergawan dalam bahaya. Dia yakin sekolah ini akan mendapat kekalahan yang teruk jika Siti Safea menjadi wakilnya. Sejujurnya dia tidak yakin dengan budak rabun itu.

"Aku tak nak cakap apa-apa. Sejujurnya, aku tak yakin dengan budak nama Safea tu. Tapi, kalau Azrin selaku pengerusi memang nak sangat ambil budak tu dalam pasukan debat nanti… aku okey je. Aku tak ada apa-apa bantahan," kata Helmi selaku setiausaha Kelab Pidato dan Debat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bergawan.

"Aku pun sama. Aku ikut mana-mana yang terbaik." Pavitra yang selaku bendahari Kelab Pidato dan Debat itu juga hanya setuju sahaja.

Rina semakin tidak berpuas hati. Nampaknya, semua orang bersetuju dengan cadangan Azrin itu. Dia sudah kalah. Mahu atau tidak, dia kena menerima Siti Safea akan menjadi wakil debat sekolah pada tahun ini.

"Okey… kalau dah majoriti setuju, aku nak buat pengumuman sekarang."

Helmi dan Pavitra hanya mengangguk sahaja manakala Rina hanya diam. Dia malas mahu mengambil tahu lagi. Biarkan Azrin sahaja yang mahu menyelesaikan hal-hal itu sendiri.

Siti Safea semakin berdebar apabila melihat Azrin yang sudah berdiri di hadapan. Semua murid di dalam bilik tersebut hanya diam dan menumpukan sepenuh perhatian. Hanya bunyi kipas syiling sahaja yang berbunyi.

"Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Sebelum aku nak buat pengumuman, aku nak ucapkan terima kasih dan tahniah sebab korang semua dah buat ujian saringan dengan baik minggu lepas. Tahniah!"

Semua orang bertepuk tangan kecuali Siti Safea. Dia hanya diam sahaja menunggu kata-kata yang seterusnya dari Azrin. Sejujurnya, dia mahu mendengar keputusan tersebut dengan lebih cepat.

"Apa yang aku dapat simpulkan, ujian saringan minggu lepas… kebanyakkan korang semua boleh bercakap. Tapi… korang tak ada confident. Korang macam rasa takut. Bila korang bercakap kat depan, korang mesti tegakkan badan dan mata korang perlu melihat penonton. Gaya tangan pun penting jugak sebab benda tu akan menarik perhatian audience untuk mendengar. Faham?"

Semua pelajar mengangguk faham.

"Aku tahu korang tak jelas lagi apa yang aku cakap tadi. Tapi, tak apa. Aku dengan AJK kelab yang lain akan bantu dan ajar korang cara untuk tingkatkan keyakinan diri dahulu dan cara pengucapan awam yang betul sepanjang korang ada di dalam kelab ni."

Tiba-tiba, Helmi menghampiri Azrin dan menghulurkan sehelai kertas. Azrin hanya mengangguk sahaja. Sempat lagi dia mengucapkan terima kasih. Sudah tiba masanya dia membuat pengumuman tersebut.

"Kertas ni merupakan senarai nama untuk wakil sekolah pertandingan debat nanti. Yang terpilih... aku ucapkan tahniah dan semoga berjaya. Yang tak terpilih… korang jangan bersedih. Jangan putus asa. Tahun depan korang boleh join lagi."

Azrin terus sahaja meneliti senarai nama di dalam kertas berwarna putih tersebut seraya barkata, "Bila korang dengar je nama korang yang disebut, berdiri ke depan."

Semua pelajar mengangguk faham. Siti Safea menggosokkan jarinya untuk mengurangkan rasa gementar. Kenapalah dia berasa gementar seperti ini?

Nama di dalam senarai itu disebut satu persatu. Ada yang menerima tanggungjawab itu dengan hati yang terbuka. Ada juga yang tiba-tiba sahaja menyesal dan tidak dapat menerima bahawa mereka terpilih sebagai wakil debat sekolah. Ada yang teruja apabila melihat kawan sendiri menjadi wakil debat sekolah untuk tahun ini.

"Nama yang terakhir adalah…" Azrin hanya tersenyum sinis melihat reaksi semua ahli yang tidak sabar mendengar nama yang terakhir. Sempat lagi dia menjeling sekilas ke arah Siti Safea yang tunak memandang ke arahnya. Dia tahu hati gadis itu tidak tenteram mendengar pengumuman ini.

"Adalah... Siti Safea binti Sharifuddin."

Siti Safea sudah terngadah. Dia tidak percaya apa yang dia dengar sekarang ini. Jantungnya berdegup dengan laju. Dia betul-betul tidak sangka bahawa dirinya terpilih menjadi sebahagian dari  pasukan debat sekolah.

Semua mata terarah kepada Siti Safea. Ada yang menepuk tangan. Ada yang tidak memberikan respons apa-apa dan ada juga yang memberikan pandangan yang menjengkelkan.  Ada juga yang tidak puas hati apabila nama mereka tidak termasuk dalam senarai.

Siti Safea bangun perlahan-lahan dari kerusi lalu melangkah ke hadapan. Dia tidak tahu adakah peristiwa yang terjadi ini merupakan satu berita gembira ataupun satu beban. Kejadian yang berlaku pada hari ini tersangatlah pantas. Dia bingung dan buntu. Pelbagai perasaan yang bercampur tatkala ini.

Siti Safea sempat lagi melihat Azrin yang ralit memandang dirinya. Dia melihat Azrin sudah memberikan senyuman ke arahnya. Terus sahaja Siti Safea tertunduk malu. Dia berharap sangat tidak ada pelajar yang perasan akan hal itu. Takut jadi gosip murahan pula.

Rina sudah mengetap bibirnya. Dari tadi dia memerhatikan Azrin yang ralit memandang Siti Safea. Dia tidak tahu kenapa hatinya sakit melihatnya. Dia tidak betah lama-lama di bilik kelab itu. Tanpa sebarang kata, dia terus keluar dari bilik kelab. Dia mahu menenangkan diri dan lari dari melihat Azrin dan Siti Safea.

Setelah selesai dengan sesi pengumuman, akhirnya perjumpaam ahli-ahli kelab berakhir pada pukul empat petang. Kesemua pelajar beransur keluar dari bilik kelab tersebut.

Di kesempatan yang ada, Siti Safea terus sahaja berjumpa dengan Azrin. Dia mahu meminta penjelasan tentang pengumuman sebentar tadi. Banyak persoalan yang timbul di benaknya.

"Kenapa awak pilih saya? Saya rasa macam tak layak," kata Siti Safea dengan perlahan.

Azrin hanya menggeleng seraya berkata, "Kau boleh buat. Sebab tu aku pilih kau. Kau kena bersedia sebab selepas ini kau akan selalu jumpa dengan aku. Aku akan ajar kau untuk berdebat dengan baik. Apa yang aku nak sekarang, set mental kau… yang kau boleh buat benda ni. Yakin dengan diri kau sekarang."

Siti Safea hanya tersenyum sahaja. Dia tidak tahu kemampuan dirinya. Nampaknya, hari-hari mendatang semakin mencabar buat dirinya.




ShaDhia

Bersambung…








Hai korang… setakat korang baca bab 14 ni, boleh tak komen jalan cerita and pendapat korang pasal DMBC. Sebab ni first time saya buat cerita teenfic. And sedar banyak kekurangan. 🤧 Saya tak kisah. Komen je jujur pasal DMBC ni.

• Kalau ada typo... Please tegur. Saya dah banyak kali check. Tapi takut saya tak perasan pulak. 🤣 Almaklumlah... Mata dah kero. 🤣🤣

Darlingku Mr Bad CrushWhere stories live. Discover now