BAB 16

4.8K 411 44
                                    

SITI SAFEA meletakkan ke semua buku Matematik dan bekas pensel di atas meja kopi dengan teratur. Sekarang ini dia berada di rumah Haziq Arfan. Rasa segan pula apabila dia keseorangan di situ. Puan Hani pula sedang sibuk mengemas di dapur.

Walaupun sudah beberapa kali dia datang ke rumah Haziq, dia masih lagi terasa segan. Haziq pula masih lagi melayannya dengan dingin. Tapi apa yang boleh dipuji ialah cara Haziq Arfan mengajar Matematik sangatlah mudah difahami. Topik-topik yang susah juga mudah untuk dikuasai.

Siti Safea membuka buku latihannya. Hari ini Haziq kata topik yang akan diajar ialah Ungkapan Algebra. Salah satu topik yang kurang dikuasai oleh siti Safea. Banyak kali juga dia buat latihan tentang topik itu, tapi masih juga ada yang salah. Sudah banyak kali Siti Safea bertanya soalan tetapi masih tidak faham juga tentang topik tersebut.

"Safea, jemput minum." Kelihatan Puan Hani sedang meletakkan dulang dengan berhati-hati di atas meja. Senyumannya masih lagi terbit di bibirnya.

"Terima kasih, mak cik."

Puan Hani hanya mengangguk lalu dia pun melabuhkan punggungnya di sofa yang  betul-betul berhadapan dengan Siti Safea. Siti Safea pula menyisip sedikit air teh yang telah dihidangkan.

"Macam mana belajar dengan anak mak cik? Okey?"

Siti Safea hanya mengangguk perlahan-lahan. Setakat ini, dia tidak ada masalah untuk belajar Matematik dengan Haziq Arfan. Semua berjalan dengan lancar. Lagipun, siapa yang tidak suka belajar dengan crush sendiri? Lagi cepat masuk ilmu.

Tanpa sedar, Siti Safea tersenyum keseorangan membuatkan Puan Hani memandang pelik ke arah gadis itu. Rasanya pertanyaaan yang diajukan tidak ada lawak atau gurauan. Apa yang lucu?

"Kenapa senyum-senyum?" tegur Puan Hani.

Senyuman di bibir Siti Safea terus sahaja hilang. Rasa malu pula apabila ditegur sebegitu. Terasa macam orang hilang akal saja.

"Tak… tak ada apa-apa, mak cik. Teringat benda lawak kat… kat rumah tadi." Terus sahaja Siti Safea tergagap-gagap memberikan alasan. Puan Hani pula hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Ada-ada sahaja.

"Haziq mana, mak cik?" tanya Siti Safea. Sudah setengah jam dia menunggu lelaki itu, tetapi masih tidak muncul juga.

"Ada kat dalam bilik tu. Tengah bergayut dengan girlfriend la tu," ujar Puan Hani.

Siti Safea hanya tersenyum kecil. Ya… mestilah Haziq akan mementingkan Hanna dari dirinya sendiri. Hanna kan merupakan kekasih dan pengarang jantung Haziq. Dirinya inu tidak bernilai langsung di mata lelaki itu. Cemburu? Sudah penat rasanya. Tanpa sedar, Siti Safea mengeluh perlahan.

Keadaan menjadi sedikit canggung. Puan Hani dapat menangkap perubahan muka gadis itu. Dia dapat merasakan dengan kuat bahawa gadis itu sangat menyukai anak sulungnya itu. Dia tidak kisah sebenarnya. Sejujurnya, Puan Hani rimas juga dengan perangai Hanna yang sedikit manja dan mengada-ngada. Muak pula jadinya.

Puan Hani membetulkan suaranya seraya bertanya, "Ehem! Mak cik nak tanya satu benda. Tapi Safea kena jawab dengan jujur."

Siti Safea semakin berdebar. Nada suara Puan Hani yang sudah bertukar serius menggetarkan hatinya. Macam dirinya seorang pesalah pula padahal dia tidak melakukan apa-apa kesalahan langsung.

"Mak… mak cik nak… nak tanya apa?" Kelihatan Puan Hani sedang menghelakan nafasnya perlahan.

"Kamu kenal Hanna Adillah? Girlfriend anak mak cik tu?" tanya Puan Hani. Siti Safea menggarukan kepalanya yang diliputi tudung perlahan-lahan. Adakah sekarang ini sudah bermula sesi soala siasat bersama Puan Hani? Rasa gemuruh pula!

Darlingku Mr Bad CrushWhere stories live. Discover now