BAB 28

2.7K 304 47
                                    

FATEH di pelukan Hannah dipeluk dengan begitu erat tanpa lepas. Kejadian yang berlaku sebentar tadi masih terngiang-ngiang di dalam kepala. Air mata mengalir tidak henti-henti. Pelik juga dia, bagaimana boleh ada penculik di kawasan ladang milik keluarga Rayyan jika dikawal dan dijaga dengan begitu ketat dan rapi? Penculik itu seperti sudah ada perancangan yang teliti dan mereka seperti sudah lama memerhatikan Hannah dan Fateh. Kata-kata seorang lelaki jahat tadi berlegar-legar di dalam mindanya. Mereka merupakan musuh daddy ke? Kenapa dia suruh pesan kepada daddy bahawa mereka berdua akan mati?

Pelipis yang berdenyut diurut perlahan. Pandangannya kabur lalu diseka air mata yang bersisa. Fateh yang lena di pangkuannya dicium berkali-kali dengan kasih sayang yang melimpah ruah. Hampir gugur jantungnya saat mereka mengambil Fateh darinya. Tidak terbayang dek fikiran andai suatu hari nanti Allah mengambil nyawa insan yang paling disayanginya dari dunia ini. Terbayang pun dia sudah tidak sanggup, inikan pula jika bayangan itu menjadi realiti. Pasti dia umpama jasad yang tidak bernyawa. Hidup tapi tidak punya arah tuju, celik tapi buta untuk melihat nikmat yang terhidang di hadapan mata.

Dadanya sesak seakan dihimpap dengan batu yang berat. Matanya merenung ke luar. Menikmati pemandangan bukit bukau yang menghijau terbentang luas di hadapan mata. Tingkap kereta diturunkan. Angin yang menyapa pipinya dihirup dengan dalam, berharap secebis ketenangan meresap masuk ke dalam jiwanya yang resah. Tudungnya meliuk lentuk dititup angin, sudah tidak berbentuk. Fateh di pangkuannya bergerak-gerak sedikit tanda terganggu. Sebelah tangannya menepuk-nepuk perlahan belakang tubuh Fateh supaya dia kembali lena. Kakinya sudah lenguh menampung Fateh yang semakin berat tetapi dia tidak mahu berenggang dengan anaknya, jadi dibiarkan sahaja kakinya berasa semut-semut.

Rayyan di sebelah senyap sedari tadi, sama seperti dirinya. Masing-masing diam melayan perasaan. Barangkali masih terkejut dengan apa yang terjadi. Kedatangan yang tak diundang, kejahatan yang tak terjangka, kemalangan yang tidak diminta. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Sebaik sahaja berlaku insiden yang tidak diingini tadi, Rayyan bergegas membawa Hannah dan Fateh ke klinik yang berdekatan. Mujur tiada apa-apa yang serius berlaku. Kepala Hannah berbalut untuk menghentikan pendarahan. Kemudian mereka mengemas beg lalu Rayyan memberikan arahan supaya mereka terus pulang.

"Hannah." Panggilan Rayyan menghentikan lamunannya yang panjang. Jauh dia termenung.

"Aku minta maaf." Ujar Rayyan serba salah. Dia dihimpit perasaan bersalah dengan apa yang berlaku.

"Aku minta maaf sebab tak jaga kau dengan baik. Aku tak perasan phone dah habis bateri dan tak perasan aku dah lewat untuk berjumpa dengan kau dan Fateh tadi." Sebelah tangan menggenggam stereng, manakala sebelah lagi memegang gear kereta dengan kuat. Bibirnya digigit perlahan.

Hannah menoleh ke sebelah tanpa sebarang kata. Wajah tampan Rayyan yang tenang selama ini bertukar keruh. Dadanya dihimpit perasaan bersalah. Sedari tadi dia menyalahkan dirinya kerana terlalu leka menyiapkan kerja sehingga terlupa akan janji dengan Hannah. Dia juga lalai dalam menjalankan tugasnya untuk menjaga Hannah.

Hannah memandang ke hadapan semula. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku dan dia tidak mahu bercakap dengan sesiapa termasuklah Rayyan.

"Apa yang perlu aku buat untuk kau maafkan aku?" Soal Rayyan apabila wanita di sebelahnya diam seribu bahasa. Dikerling sekilas namun air mukanya tidak dapat ditebak. Mulut yang selama ini berceloteh tanpa henti terkunci erat tanpa sebarang kata. Pandangan yang sentiasa hangat dan lembut itu bertukar kosong. Bibir yang tidak pernah lekang dari senyum itu suram.

Hannah diam.

"Maafkan aku, ya." Suara Rayyan bertukar menjadi lembut.

Dia mengangguk.

"Aku tak sengaja. Aku janji aku tak akan ulang kesalahan tu lagi."

Dia mengangguk lagi.

Rayyan tidak puas hati dengan reaksi Hannah. Dia mahu Hannah bersuara. Dia mahu seulas bibir itu berceloteh itu ini seperti sebelum ini. Jika Hannah berdiam diri seperti sekarang, dia dihimpit rasa serba salah yang menggunung.

"Hannah, balik rumah aku. Kita tidur sekali."

Muka Hannah terkejut. Buang tabiat ke apa dia ni?

"Maksud aku, kau dengan Fateh tidur sekali di rumah aku. Bilik asing-asing." Dia berdehem bagi menghilangkan janggal.

"Aku risau dengan keselamatan kau dan Fateh. Takut-takut mereka ekori kau. Kalau aku ada, sikit pun aku tak akan biarkan dia orang sentuh kau. Nyamuk pun aku tak bagi hinggap, inikan pula tangan manusia yang berkudis dan kotor kerana buat kerja jahat." Sambungnya lagi.

Kening Hannah bertaut. Memang dia selesa apabila Rayyan berada di sampingnya. Kalau boleh, dia juga tidak mahu berenggang dengan Rayyan. Dia perlukan pelindung saat ini dan Rayyan adalah orang yang tepat untuk menjaganya, sama seperti apa yang Rayyan pernah buat sebelum-sebelum ini. Tetapi tak adalah sampai dia mahu tidur rumah lelaki itu. Dia bujang, Rayyan pun masih bujang, kalau kena tangkap khalwat, sia-sia sahaja muka terpampang di dada akhbar. Mana nak diletak air muka dan maruah yang sudah tercemar? Nasib sudah menjadi bubur, nak menyesal tiada guna.

"Tengku Hannah Medina, bila aku cakap, pandang aku." Suara Rayyan mematikan lamunan Hannah.

Dia buat tidak tahu.

Rayyan mengalah. Hannah langsung tidak mahu memandangnya. Namun dia tahu Hannah masih mendengar. Dia tidak protes mahupun membantah, bermakna dia setuju dengan cadangan Rayyan.

"Jangan risau, rumah aku ada mama dan papa aku. Bilik tetamu pun banyak. Pakaian itu, kita balik ke rumah kau sekejap kemudian terus ke rumah aku. Faham tak?" Seperti tahu apa yang mengganggu fikiran Hannah, Rayyan menerangkan hal yang sebenar.

Kepalanya dianggukkan sekali lagi tanda faham. Walaupun dia tidaklah selesa untuk tidur di rumah orang, tetapi dalam keadaan dan emosinya yang tidak stabil sekarang, dia sangat perlukan seseorang untuk berada di sampingnya dan memberikan semangat.

Keluhan akhirnya terlepas juga dari bibir Rayyan, "My lady, bagitahu aku. Apa yang perlu aku buat untuk kau maafkan aku."

My lady...

You touch my lady, I will kill you

My lady, please don't cry.

Hannah sorok senyum. Hatinya berbunga-bunga tatkala panggilan itu menitip di bibir Rayyan. Setiap kali itu, rama-rama di dalam perutnya mengepak hebat. Dia terasa seperti di awang-awangan. Rayyan, boleh tak jangan buat jantung saya berdegup kencang?

"Hannah, do you hear me or not?" Rayyan masih tidak berputus asa untuk menarik perhatian Hannah.

"Sorry, what is it again?" Akhirnya jongkong emas yang berada dalam mulut Hannah terkeluar juga.

"Apa yang perlu aku buat untuk kau maafkan aku?" Pertanyaan yang sama diulang lagi.

"Marry me." Mulut Rayyan ternganga luas. Stereng kereta digenggam dengan kuat. Dia tak salah dengar kan? Jika tadi Hannah yang terdiam seribu bahasa, kali ini Rayyan pula yang terkunci mulutnya.

Hannah menekup mulutnya. Macam mana dia boleh terlepas cakap. Pipinya serta merta menjadi panas dan rentak sistolik dan diastolik jantungnya menjadi tidak sekata.

Hannah ajak Rayyan kahwin? Adakah Rayyan terima? Tunggu sambungan okay ^^

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now