SUDAH EMPAT HARI Fateh berada di hospital. Hannah menemani Fateh pada setiap masa. Langsung tidak ditinggal walaupun untuk seketika cuma. Solat dan mandi pun di dalam bilik itu juga. Fateh dipindahkan ke wad VIP. Bab duit tidak menjadi masalah bagi Hannah, apa yang penting keselesaan dan dia mahu Fateh sembuh dengan cepat. Mr.Black? Setiap kali waktu melawat dia akan datang menjenguk Fateh. Pasti akan ada buah tangan yang dibawa bersama. Mainan, coklat, buah dan macam-macam lagi. Sudah ditegah berkali-kali supaya jangan membazir duit, namun seperti biasa ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Entah mamat itu kerja ke tak, banyak pula masa dia hendak datang ke hospital setiap hari. Kaki Hannah semakin beransur pulih. Kaki sendiri yang sakit, dia jugalah yang mengurut kakinya. Mujurlah ilmu mengurut pernah diturunkan oleh arwah ibunya semasa beliau masih hidup.
"Mama, papa mana?" Soalan itu dilontar oleh Fateh sambil tangannya sibuk bermain dengan mainan Mini Force yang Rayyan belikan. Oh, ya! Panggilan Papa yang Fateh letakkan pada Rayyan kekal sehingga ke hari ini. Sudah Hannah tegah berkali-kali, juga sudah diingatkan bahawa Rayyan bukan ayah kandungnya, namun panggilan itu tetap digunakan. Akhirnya, Hannah hanya membiarkan. Rayyan juga seperti tidak kisah apabila digelar sedemikian rupa.
Fateh hanya dapat merasai kasih sayang seorang ayah sehingga umurnya setahun sahaja. Dia amat dahagakan kasih sayang seorang ayah. Apabila muncul Rayyan dalam hidup mereka, dia melayan Fateh seperti anak sendiri. Rayyan begitu penyayang dan prihatin terhadap Fateh. Hati wanita Hannah menjadi sangat lembut dan sedikit terusik dengan sikap yang Rayyan tunjukkan terhadap Fateh, meskipun layanan Rayyan terhadapnya begitu berbeza sekali.
"Ma, papa mana?" Pertanyaan yang sama keluar dari bibir kecil itu apabila tiada sebarang jawapan diterima.
"Papa kerja, sayang." Ah, hentam saje! Kebiasannya waktu begini Rayyan sudah datang melawat. Namun, batang hidungnya langsung tidak kelihatan saat ini.
'Beep.' Satu notifikasi daripada aplikasi Whatsapp diterima.
Mr. Black : Tolong bagitahu Fateh yang aku tak dapat datang petang ni. Ada kerja sedikit. Esok aku datang.
Hannah : Okay awak. Nanti saya bagitahu dia.
Mr.Black : Tc.
Hannah : Hah?
Tc? Apa benda yang dia maksudkan? Yang dia tahu TC adalah Teluk Chempedak. 5 minit menanti, tiada balasan daripada Rayyan maka tiada jawapan untuk persoalan yang berlegar-legar dalam kepada Hannah.
Apa-apa sahajalah, Mr.Black oi!
"Sayang..."
"Ya, mama." Fateh yang sedang bermain terhenti perbuatannya. Sepasang matanya mencari anak mata Hannah, menanti apa yang bakal diucapkan. Sudah pasti berkaitan dengan papa.
"Papa kata ada kerja petang ni. Esok papa datang ya, sayang?" Diusap pipi Fateh dengan penuh kasih yang tidak berbelah bahagi.
Wajah Fateh bertukar mendung, matanya tunduk ke bawah. Langsung dia tidak memandang Hannah.
Memahami gelora hati kecil Fateh, Hannah cuba memujuk. "Fateh, jangan macam ni. Papa kata dekat mama, papa tak nak datang kalau Fateh sedih-sedih. Papa nak Fateh gembira selalu supaya cepat sembuh dan boleh keluar hospital."
"Betul ni papa akan datang lagi? Betul papa tak akan tinggalkan Fateh lagi?"
Soalan yang terakhir membuatkan Hannah terkedu. Dia yang menabur janji walaupun Rayyan tidak pernah berjanji apa-apa. Mampukah dia tunaikan permintaan Fateh andai dia berjanji? Perkara ini bukan main-main dan bukan hanya melibatkan diri dia sahaja tetapi Rayyan turut terbabit sama. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan lagi lelaki itu selepas ini. Selepas sahaja Fateh keluar hospital, dia akan berhenti berhubung dengan Rayyan. Dia hanya menjadi beban kepada Rayyan kerana dia selalu menyusahkan lelaki itu. Mereka tidak mempunyai sebarang ikatan malahan tidak mengenali antara satu sama lain pun sebelum ini.
"Betul ke mama?" Soal Fateh meminta kepastian setelah persoalannya sebentar tadi dibiar sepi.
Mulut Hannah seakan-akan terkunci. Lambat-lambat dia bersuara, "Ya, esok papa akan datang lagi. Papa kena siapkan kerja. Jadi Fateh kena jadi good boy. Okay?"
"Betul papa tak akan tinggalkan Fateh?" Diulang sekali lagi persoalan yang Hannah mengelak untuk dijawab.
Hannah memejam mata sambil menghirup udara yang tersisa. Mengharapkan Tuhan pinjamkan dia secebis kekuatan. Tubuh kecil Fateh didakap dengan erat lantas diusap belakang badannya. Berharap agar anak itu faham bahasa tubuhnya bahawa dia tidak mahu menjawab persoalan tersebut.
Dia yang terlalu dambakan kasih seorang ayah yang dia hilang seawal usia setahun. Pantaskah anak kecil ini menderita apabila dia tidak mempunyai keluarga yang sempurna seperti orang lain? Seorang ayah dan seorang ibu. Apabila bangun pagi, ibu akan kejut bangun. Kemudian disiapkan sarapan pagi serta kelengkapan untuk ke sekolah. Ayah pula mengambil tugas untuk menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah. Kemudian, di malam hari, solat berjemaah sekeluarga diimamkan oleh seorang ayah. Ayah mengajar mengaji bersama rotan di tangan. Sebelum tidur, disalam tangan ibu dan ayah lantas dibacakan surah di dalam Al-Quran lalu ditepuk anak-anak sehingga akhirnya tertidur lena.
Sudah 4 tahun Hannah mengorbankan masa mudanya untuk menjadi seorang ayah dan juga seorang ibu kepada Fateh. Dia yang memasak, mendidik ilmu dan teori, mengajar solat dan mengaji, dia jugalah yang menghantar dan menjemput dari sekolah. Tidak cukup lagikah apa yang dilakukan selama ini? Penting sangatkah insan yang bernama ayah dalam hidup?
Hatinya sedikit terguris apabila Fateh acap kali menyebut perkataan ayah. Namun, anak kecil yang masih suci sifatnya masih belum mengenal erti hidup. Pantaskah dia untuk berjauh hati?
Jauh di sudut hatinya, dia berasa kasihan terhadap Fateh. Tetapi apakan daya, jika hidup ini dia aturkan, sudah lama dia mencari ayah baharu untuk Fateh. Sudah lama Fateh hidup bahagia dengan kehadiran sepasang ibu bapa di sisinya. Malah, dia tidak akan lagi diejek oleh rakan-rakannya kerana tidak mempunyai seorang bapa.
Lama-kelamaan, perasaan hiba tidak dapat dikawal. Mutiara jernih mula menodai setiap lekuk di pipi Hannah.
Ya Allah, pinjamkan aku kekuatan.
YOU ARE READING
HER GUARDIAN ANGEL
Romance"Kenapa awak perlu buat semua ini?" - TENGKU HANNAH MEDINA "I'm your guardian angel. Bear in your mind, young lady." - SYED RAYYAN DANIAL Apabila nyawa berada di hujung tanduk, seorang lelaki yang sangat misteri, dingin, beku dan sombong telah meny...