HANNAH BERTUNGKUS LUMUS menyiapkan laporan. Banyak kerja yang tertangguh kerana dia telah bercuti lama. Sekarang merupakan waktu rehat tetapi dia tidak turun membeli makanan. Sempat dijamah sebungkus roti sebentar tadi yang dibawanya dari rumah bagi mengisi perut yang lapar. Pelipis yang sedikit berdenyut diurut perlahan. Minyak angin dibubuh pada tempat yang sakit.
Beep. Satu mesej masuk. Siapa pula yang menghantar pesanan pagi-pagi waktu bekerja ini. Dikerling sekilas nama penghantar yang tertera.
Melihat sahaja nama Mr.Black muncul di skrin telefon, laju sahaja Hannah membuka mesej lalu membacanya. Sudah beberapa hari mereka tidak berhubung sejak pulang dari hospital hari itu. Sudah diagak oleh Hannah perkara sebegini akan terjadi kerana tiada perkara penting untuk dibincangkan.
"Free tak malam ni?" Hannah membaca satu persatu perkataan yang dihantar. Dia baca berulang-ulang kali kerana berasa tidak percaya. Betul ke Rayyan yang dingin dan beku tanya soalan seperti ini?
Setelah berfikir-fikir sejenak barulah Hannah membalas mesej tersebut, itu pun ringkas sahaja, "Kenapa?"
"A dinner? Three of us."
Hatinya berbunga-bunga bahagia. Walaupun firasatnya kuat mengatakan bahawa Rayyan mengajak mereka makan malam sekali kerana dia rindu dan mahu berjumpa dengan Fateh tetapi bukan dirinya, namun dirinya tetap dilanda rasa seronok. Memikirkan bahawa dia bakal menatap seraut wajah jejaka kacukan arab yang kacak itu, terpancar sinar bahagia di wajahnya.
"Hai. Senyum sorang-sorang. Teringat boyfriend ke?" Suara seorang perempuan yang menegur dengan sedikit pelat Cina membuatkan Hannah mengangkat mukanya.
Dahi Hannah berkerut sedikit kerana dia tidak mengecam wajah wanita yang berdiri di kubikel bersebelahan dengannya itu. Seorang wanita berbangsa Cina berusia sekitar 20-an seperti dirinya, berkulit cerah, rambut yang lurus diikat gaya ekor kuda. Kelihatan sangat sopan saat pertama kali dipandang apabila dia memakai busana baju kurung bercorak batik berwarna biru lembut.
"I Mei Ling. Panggil Mei. Cikgu baharu yang baru sahaja masuk pada minggu lepas." Cikgu Cina itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman sebagai tanda perkenalan.
Hannah menyambut huluran tangan tersebut, "Hai Mei. I Hannah Medina. Boleh panggil Hannah." Baru dia perasan, meja guru di sebelahnya yang kosong sebelum dia mengambil cuti panjang telah dipenuhi dengan barang-barang. Leka sangat buat kerja sedari tadi sehingga tidak sedar akan perubahan yang berlaku di sekeliling.
"Macam mana kaki you? Dah okay?" Ramah Mei bertanya.
"Eh? You tahu?" Terkejut Hannah.
"Ya, cikgu Latifah yang beritahu I kelmarin." Terang Mei.
"Alhamdulillah, dah okay. I makan ubat yang doktor bagi sambil urut sikit-sikit. Sekejap je lah baiknya." Hannah menerangkan dengan panjang lebar.
"Wah, baguslah kalau macam tu. Kalau sakit kaki lama-lama pun susah nanti nak bergerak ke sana ke mari." Kata Mei.
"Betul tu." Hannah sekadar menganggukan kepala.
"You lama dah kerja sini?" Soal Mei.
"I tak adalah lama mana bekerja di sini. Adalah dalam 3-4 tahun. Kalau you ada apa-apa masalah atau you nak tanya apa-apa, boleh je tanya I. Nampak je I ni macam garang orangnya, tapi I tak makan orang tau." Hannah berseloroh.
Mereka sama-sama tergelak.
"By the way, welcome to SK Sri Putra." Rasanya masih belum terlambat untuk dia mengucapkan selamat datang kepada guru baharu itu.
YOU ARE READING
HER GUARDIAN ANGEL
Romance"Kenapa awak perlu buat semua ini?" - TENGKU HANNAH MEDINA "I'm your guardian angel. Bear in your mind, young lady." - SYED RAYYAN DANIAL Apabila nyawa berada di hujung tanduk, seorang lelaki yang sangat misteri, dingin, beku dan sombong telah meny...