HANNAH berdiri di hadapan kelas. Tahun ini dia ditugaskan untuk mengajar murid darjah dua. Di tangannya kini terdapat keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun murid-murid 2 Jupiter. Dia merupakan guru kelas untuk kelas itu. Seramai 30 orang murid yang terdiri daripada 10 orang lelaki dan 20 orang perempuan. Biasalah tu... Murid perempuan akan lebih ramai daripada murid lelaki.
"Perhatian..." Hannah sedang menarik perhatian anak-anak muridnya.
"Shhhh!" Mereka meletakkan jari telunjuk di bibir sambil membuat bunyi shhh. Begitulah cara yang diajarkan oleh Hannah kepada mereka apabila mereka tidak memberi perhatian dan berbuat bising.
"Murid-murid, di tangan cikgu sekarang adalah keputusan peperiksaan kamu yang lepas. Cikgu akan panggil nama seorang demi seorang, kemudian kamu datang ke depan dan cikgu akan beritahu keputusan ujian kamu. Akhir sekali, cikgu nak kamu tanda tangan di sebelah nama kamu. Faham semua?" Hannah menerangkan dengan jelas apa yang perlu dilakukan.
"Faham, cikgu." Semua murid kelihatan begitu fokus terhadap apa yang dikatakan oleh Hannah.
"Nur Alya Faqirah.... Muhammad Zaim..." Hannah memanggil nama satu demi satu. Pelbagai reaksi terpancar di wajah anak-anak muridnya. Ada yang kelihatan begitu gembira kerana keputusan peperiksaan mereka amat memberangsangkan, namun ada juga yang sebaliknya. Ada juga yang langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi, sedih tidak, gembira pun tidak. Mungkin bagi mereka, tidak menjadi isu pun sekiranya keputusan cemerlang atau teruk. Yelah, budak-budak kan... Otak fikir nak main je...
"Okay, nama yang terakhir, Muhammad Naufal."
1 minit berlalu.
"Muhammad Naufal." Hannah memanggil sekali lagi. Kepala diangkat, pandangan ditebarkan ke seluruh kelas, tercari-cari kelibat anak muridnya itu. Di suatu sudut, kelihatan Naufal sedang meletakkan kepalanya di atas meja, pandangannya dihalakan keluar. Dia seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri, langsung tidak tahu apa-apa mahupun berminat dengan apa yang berlaku di sekelilingnya kini.
"Naufal, pergi ke depan lah."
"Naufal, cikgu panggil tu."
Rakan-rakannya turut memanggil Naufal. Dia tersentak daripada lamunan, lantas mengatur langkah menghampiri Hannah.
Hannah melihat keputusan di tangannya. Naufal mendapat tempat yang paling tercorot di dalam kelas. Hampir kesemua subjek dia mendapat keputusan 10% dan ke bawah.
"Naufal..." Hannah cuba mencuri perhatian anak muridnya yang kelihatan seperti masih mengelamun.
"Ya, cikgu..." Jawab Naufal lambat-lambat.
"Boleh tolong cikgu bacakan nama ni tak?" Hannah menunjuk nama Naufal yang tertera di kertas peperiksaannya.
"Wu... Wuhammab... Em... Em..." Terkial-kial dia cuba membaca namanya sendiri.
Diperhatikan Naufal atas dan bawah. Kasut yang dipakainya juga terbalik kiri dan kanan.
"Cuba baca nama cikgu pula..." Hannah menunjuk ke arah tag nama yang terlekat pada tudungnya.
"Hauuah..." Sebutnya.
Hannah dapat merasakan sesuatu yang tak kena pada anak muridnya itu. Masih terkial-kial untuk membaca walaupun nama sendiri. Huruf juga tunggang terbalik. Kebiasaannya murid darjah dua sudah tahu membaca atau sekurang-kurangnya mereka sudah mengenal suku kata.
"Naufal, tak apalah. Kamu duduk semula di tempat kamu." Hannah memberi arahan setelah dia perasan tumpuan seluruh kelas kini adalah pada Naufal. Dia tidak mahu murid-murid lain memandang rendah terhadap Naufal jika mereka tahu dia mempunyai kesukaran untuk membaca.
"Baik, cikgu."
"Naufal, sebelum tu..." Naufal yang baru sahaja ingin mengatur langkah terhenti. Dia memandang muka Hannah tidak mengerti.
"Kamu pakai kasut terbalik ni... Meh sini cikgu betulkan." Hannah tunduk ke bawah lalu menyarungkan kasut ke kaki Naufal dengan betul.
"Okay, sekarang kamu boleh duduk." Ujar Hannah setelah selesai.
Naufal berlalu ke tempat duduknya.
"Perhatian..."
"Shhhh!"
"Murid-murid..."
"Ya, cikgu..." Jawab seisi kelas.
"Dengar apa yang cikgu pesan ni elok-elok. Pertama sekali, cikgu nak ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang untuk peperiksaan lepas. Untuk mereka yang mendapat keputusan rendah, jangan sedih-sedih. Cikgu juga amat berbangga dengan kamu sebab cikgu tahu kamu dah lakukan yang terbaik. Tapi, kamu perlu usaha dengan lebih keras lagi di masa akan datang. Faham semua?"
"Faham cikgu."
"Lagi satu cikgu nak pesan, kalau kamu nampak ada kawan-kawan yang tak faham sesuatu topik, kamu perlu tolong dia kalau kamu faham benda tu. Kamu semua perlu tolong-menolong antara satu sama lain. Jangan sesekali merendah-rendahkan kawan yang terkebelakang dan jangan pernah kedekut ilmu. Kamu tahu sebab apa?" Soal Hannah kepada pelajarnya.
Seorang murid mengangkat tangan tanda meminta izin untuk menjawab.
"Ya, Azri?"
"Sebab nanti Allah tak suka." Jawab anak kecil yang polos itu.
"Ya, betul tu. Allah tak suka orang yang kedekut ilmu. Allah juga tak suka kalau kita ejek orang lain."
Kelihatan beberapa orang murid menganggukkan kepala tanda faham.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya" (Hadis Riwayat Muslim).
"Daripada hadis yang cikgu bacakan tadi, Rasulullah ada sebut, sesiapa yang berkongsi ilmu yang berguna kepada orang lain, maka dia akan dapat pahala yang berterusan walaupun dia telah meninggal dunia. Siapa tahu apa akan jadi dekat akhirat nanti kalau kita kumpul banyak pahala sewaktu kita hidup dekat dunia?"
"Kita akan masuk ke dalam syurga, cikgu." Jawab seorang murid perempuan bernama Ainur dengan lancar sekali.
"Ya, tepat sekali. Semua nak masuk syurga, kan?" Tanya Hannah kepada seisi kelas.
"Nak!" Jawab mereka lantang.
"Kalau macam tu, janji dengan cikgu yang kamu semua tak akan kedekut ilmu dan akan tolong orang lain kalau mereka tak faham sesuatu topik tu. Boleh semua?"
"Boleh, cikgu!" Balas murid-muridnya dengan penuh semangat.
"Bagus anak-anak murid cikgu." Puji Hannah. Senyuman tak lekang di bibirnya. Memegang amanah sebagai seorang cikgu adalah berat, tetapi pekerjaan itu amat mulia. Bukan senang hendak mendidik anak bangsa supaya menjadi orang yang berguna di masa akan datang.
Mereka ibarat kain putih, jika dicorak dengan baik, maka cantiklah hasilnya. Jika dicorak dengan buruk, hodohlah natijahnya.
Kring!!!
Loceng panjang berbunyi, tanda waktu persekolahan telah pun tamat.
"Okay, murid-murid, kelas dah habis." Hannah mengemas barang-barangnya di atas meja.
"Bangun semua."
"Terima kasih cikgu." Ujar ketua kelas, kemudian seisi kelas turut mengucapkan perkataan yang sama.
"Sama-sama."
Sebelum dia keluar kelas, ada murid yang telah mendahuluinya. Awal-awal lagi sudah kemas beg, tak sabar-sabar hendak balik. Hannah menggeleng-gelengkan kepala melihat keletah masing-masing.
Sebelum melangkah pergi, mata Hannah mencari-cari kelibat Naufal. Murid itu masih merenung keluar tingkap. Tangan kanan diletakkan di bawah dagu bagi menampung berat kepalanya. Entah apalah yang berada di fikiran anak muridnya itu. Teringin dia hendak tahu. Murid itu seakan-akan menaggung sesuatu. Tetapi, nanti-nantilah dia tanya. Risau jika anak muridnya itu tidak selesa dengan kehadirannya secara tiba-tiba, nanti dia dikatakan menyibuk pula.
Lalu, Hannah pun berlalu.
YOU ARE READING
HER GUARDIAN ANGEL
Romance"Kenapa awak perlu buat semua ini?" - TENGKU HANNAH MEDINA "I'm your guardian angel. Bear in your mind, young lady." - SYED RAYYAN DANIAL Apabila nyawa berada di hujung tanduk, seorang lelaki yang sangat misteri, dingin, beku dan sombong telah meny...