RAYYAN memasuki bilik tidur mereka yang sudah berpindah ke tingkat atas sebaik sahaja kaki Hannah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami. Dia baru sahaja pulang dari pejabat. Dilihatnya Hannah sedang berbaring santai di atas katil sambil melayan drama Korea di Netflix bertajuk Dr Romantic. Sikit pun dia tidak memandang mahupun menyambut kepulangan Rayyan seperti kebiasaan. Sudah tiga hari mereka tidak bertegur sapa. Dia sudah cuba memujuk Hannah tetapi marahnya kali ini lama.
Dia membuka pakaian kerjanya lalu mengambil keputusan untuk membersihkan diri. Ada sedikit masalah di syarikat hari ini, jadi kepalanya agak berserabut.
Keluar sahaja dari bilik air, dia terus mendapatkan Hannah. Dengan hanya bertuala, sengaja dia hendak mengusik isterinya. Sudah lama dia tidak mendengar tawa dari bibir mungil itu.
"Sayang, abang rindu." Sekilas pipi Hannah dicium namun tindakan Hannah yang terus mengelap tempat ciuman itu menyentakkan hatinya.
"Tak sukalah," dengus Hannah. Meskipun dia sedikit terbuai dengan layanan Rayyan ditambah dengan bauan suaminya yang begitu wangi, namun egonya mengatasi segala-galanya.
"Sejak bila sayang tak suka dengan sentuhan abang ni? Bukan sayang suka ke...?" Rayyan masih tetap mampu tersenyum. Tangannya naik menyentuh pucuk hidung sang isteri lalu dicuit perlahan.
Laju sahaja Hannah menepis tangan Rayyan, "Jangan kacaulah."
Sekali lagi Rayyan terpempan apabila Hannah menengkingnya. Selama ini, Hannah akan marah-marah manja apabila dia bertindak sedemikian tapi, kali ini Hannah benar-benar berang.
"Sayang, boleh kita bincang? Abang tak sukalah kita dalam kedaan macam ini. Kalau ada apa-apa masalah atau sayang tak puas hati apa-apa dengan abang, bagitahu abang," tuturnya lemah lembut.
"Saya tak nak bincang apa-apa dengan awak." Hannah memandang Rayyan dengan renungan tajam. Api kebencian jelas terzahir di wajahnya. Meluat melihat Rayyan yang sengaja tidak berbaju, konon hendak mengambil hatinya. Tapi hakikatnya hanya sekadar berpura-pura dan menipu.
"Kalau macam itu, macam mana kita nak selesaikan masalah kita?" Tangan Hannah ditarik ke dalam genggamannya, dibawa ke bibir lantas dikucup lembut.
"Saya nak berpisah." Kata-kata yang keluar dari mulut Hannah membuatkan Rayyan rasa dihempap dengan satu batu yang sangat besar. Tak pernah terlintas di fikirannya yang Hannah akan meminta sebegitu.
Rayyan seperti hilang kata-kata. Apa maksud Hannah? "Abang salah dengar ke?" Rasanya dia baru korek telinga semalam. Atas dasar apa Hannah membuat permintaan bukan-bukan seperti itu?
"Saya. Nak. Berpisah." Diulang sekali lagi apa yang dikatakan sebentar tadi. Satu-satu perkataan disebut oleh Hannah.
Rayyan menggali nafas sedalam yang boleh, cuba untuk mencari serba sedikit ketenangan. Sifat Hannah yang kadang-kala berubah-ubah itu menguji kesabarannya.
"Tak, tak akan. Benda itu tak akan jadi. Abang boleh tunaikan semua permintaan saya, tapi bukan permintaan ini." Terselit nada ketegasan dalam katanya. Besar sangat ke salah yang dia buat sampai Hannah membencinya dan ingin berpisah?
"Sampai bila lagi awak nak tipu saya? Sampai bila lagi awak nak permainkan dan seksa saya?" Air mata mengalir dengan laju di pipi Hannah. Dadanya dicengkam rasa sakit yang teramat. Dia mahu bencikan lelaki itu kerana telah melukakan hati dia, tetapi perasaan cinta dan sayang tu masih tetap utuh.
"Apa ni? Abang tak faham." Dahi Rayyan berkerut-kerut. Sejak hari itu Hannah cakap dia tipu Hannah tapi dia tipu apa? Dikesat air mata yang mengalir di pipi Hannah tetapi tangannya ditepis kasar.
YOU ARE READING
HER GUARDIAN ANGEL
Romance"Kenapa awak perlu buat semua ini?" - TENGKU HANNAH MEDINA "I'm your guardian angel. Bear in your mind, young lady." - SYED RAYYAN DANIAL Apabila nyawa berada di hujung tanduk, seorang lelaki yang sangat misteri, dingin, beku dan sombong telah meny...